NegeriTerengganu

80 Kanak-kanak Disuap Pulut Kuning Sebelum Dikhatan

SETIU – Untuk tahun yang ke-16 berturut-turut semenjak 1999, PAS Jabi tidak pernah ketinggalan menganjurkan program berkhatan beramai-ramai sebagai pada setiap kali cuti akhir penggal persekolahan.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Dr Azman Ibrahim berkata dengan kos sangat minima, RM60 yang perlu dibayar oleh para ibu bapa dan penjaga, ternyata ia sangat membantu.

“acara tahunan ini untuk memudahkan mereka (ibu bapa dan penjaga) menunaikan tanggungjawab agama dan kesihatan kepada anak-anak mereka.

“Apatah lagi dengan peningkatan kos umumnya pada hari ini, ia juga meningkatkan kos berkhatan di klinik-klinik swasta yang sekarang ini mencecah melebihi seratus ringgit,

“dalam suasana musim cuaca tak menentu, penoreh getah dah lama tak dapat ke kebun, para ibu bapa perlu dibantu bagi meringankan beban mereka.”ujarnya.Beiau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat MTD Jabi dekat sini, selepas merasmikan program Khatan yang disertai oleh 80 orang kanak-kanak.

Oleh itu, katanya, ia bagaikan sudah menjadi satu amalan bagi ibu bapa yang berhasrat untuk mengkhatankan anak-anak, akan menunggu sehingga akhir tahun bagi bersama program anjuran PAS itu.

Apa yang agak istimewanya bagi program di DUN Jabi itu, kata beliau, anak-anak yang bakal ‘bersunat’ itu disuapkan dengan pulut kuning sebelum dikhatankan.

Kemudian katanya, mereka dikhatankan menggunakan teknik serta kaedah moden terkini oleh tenaga pakar yang didatangkan khas dari Kota Bharu.

“Penggunaan kaedah moden membolehkan proses berkhatan dilakukan secara cepat, selamat dan tidak menyakitkan bagi anak-anak,”jelasnya.

Tambah beliau, berkhatan bukan hanya satu tuntutan agama sebagai proses penyempurnaan bersuci dan beribadat malah ia juga disyorkan dari segi kesihatan dan diiktiraf oleh pakar-pakar perubatan seluruh dunia.

Selain itu, katanya menjadi amalan biasa bagi PAS Jabi, peserta program berkhatan akan dilibatkan pula dengan beberapa program susulan seperti kem motivasi dalam rangka untuk membentuk mereka menjadi generasi berguna pewaris perjuangan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️