ArkibWilayah PersekutuanWP Kuala Lumpur

GEGAR DEWAN FADHIL NOOR: PAS WILAYAH PERSEKUTUAN ISYTIHAR SIAGA PRU16, ANNUAR MUSA BAKAR SEMANGAT JENTERA

Oleh : Abdul Fateh 

TAMAN MELEWAR, 28 Jun – Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Dewan Dato’ Ustaz Fadhil Noor hari ini menjadi medan kebangkitan semangat apabila kepimpinan parti mengisytiharkan kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Annuar Musa, yang menyeru seluruh jentera agar memperkukuhkan kesatuan, memperbanyak gerak kerja akar umbi dan bersedia menghadapi cabaran politik yang semakin sengit.

Turut mengiringi beliau ialah Azhar Yahya, yang menegaskan bahawa PAS Wilayah Persekutuan kini memasuki fasa gerak kerja pilihan raya secara menyeluruh.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada barisan ketua-ketua dewan, iaitu Azahar Yaakob, Azmeer Syazwan Suparmin, Rosni Adam dan Puzi Ahmat yang sepakat menyeru seluruh jentera memperhebat usaha mendekati rakyat.

Kemuncak program menyaksikan simbolik penyerahan bendera oleh Ustaz Azhar Yahya kepada sembilan kawasan sasaran PAS Wilayah Persekutuan sebagai tanda bermulanya gerak kerja PRU16, melibatkan kawasan Batu, Wangsa Maju, Lembah Pantai, Putrajaya, Segambut, Bandar Tun Razak, Setiawangsa, Labuan dan Titiwangsa.

Dalam perkembangan yang turut mencuri perhatian, PAS Lembah Pantai menyerahkan 300 borang keahlian baharu PAS, sekali gus memperlihatkan momentum pertambahan sokongan di peringkat akar umbi menjelang PRU16.

Pada majlis sama, Tan Sri Annuar Musa turut melancarkan Tabung Dana PRU16 dengan sasaran kutipan sebanyak RM100,000 bagi memperkukuhkan persiapan menghadapi pilihan raya.

Himpunan itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PAS Wilayah Persekutuan kini menggerakkan jentera secara agresif, memperkukuhkan organisasi dan menyusun langkah bagi menghadapi PRU16 dengan penuh keyakinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️