‘Sudah Kuasai PN, Kini Masa Tawan Putrajaya’ Dewan Ulamak PAS WP Perhebat Gerak Kerja PRU16

Oleh : Abdul Fateh
KUALA LUMPUR, 28 Jun – Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Dr. Azahar Yaakob menyeru seluruh jentera parti agar terus mempergiatkan gerak kerja di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, usaha memperkukuhkan organisasi dan mendekati rakyat perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan PAS Wilayah Persekutuan berada dalam keadaan paling bersedia apabila pilihan raya diadakan.
Menurutnya, selepas kejayaan PAS memperkukuhkan kedudukan dalam Perikatan Nasional, tumpuan kini perlu diberikan kepada usaha untuk membentuk kerajaan Persekutuan dengan menguasai Putrajaya.
Dr. Azahar turut mengingatkan bahawa PAS pernah mencipta sejarah apabila memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum 2008, sekali gus membuktikan bahawa parti itu mempunyai potensi untuk meraih sokongan rakyat di Wilayah Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau berkata PAS Wilayah Persekutuan perlu menyasarkan kemenangan di beberapa kerusi Parlimen sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuhkan kedudukan parti dalam usaha menuju Putrajaya pada PRU16.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Dewan Ulamak PAS di setiap kawasan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menggerakkan agenda dakwah, tarbiah dan penerangan kepada masyarakat, di samping menjadi penggerak utama dalam memperkukuhkan jentera parti di peringkat akar umbi.
Beliau yakin kerjasama erat seluruh saf kepimpinan dan jentera parti akan menjadi pemangkin kepada usaha PAS Wilayah Persekutuan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang PRU16.