Remaja Ceria Bersama ‘Kem Junior’
KUALA NERUS – Seramai 180 orang peserta remaja lelaki dan perempuan dari Kawasan Kuala Nerus yang berusia antara 13- 17 tahun telah menyertai Kem PAS Junior, anjuran Waja dan Ameerah di Dewan Masjid Jamek Tok Jiring .
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Nerus.
Seorang peserta perempuan yang ditemui, adik Hajar Binti Halmi, 12 tahun berkata, program yang diadakan itu sangat bagus kerana beliau dapat menambahkan kenalan.
“Sangat bagus……..program ni saya dapat kenal lebih ramai kawan, dapat ilmu baru, makanan sedap- sedap ustaz dan ustazah pun ‘best-best,”ujar Hajar.
Program tersebut turut mendapat pujian ibu bapa anak-anak yang menghadirinya.
Puan Faridah Muda, 46, mengucapkan syabas kerana program tersebut akan dapat melahirkan para pejuang Islam masa depan.
“Tahniah kepada ibu bapa yang prihatin dengan menghantar anaknya menyertai kem ini pada cuti sekolah dengan harapan anak-anak jamaah untuk jadi aset jamaah,
“Yang akan istiqomah di masa akan hadapan,”kata Faridah.
Sehubungan itu, Pengarah Program tersebut, Ustaz Abu Ammar Mohd Ariffin berkata, objektif program adalah untuk mengeratkan ukhuwwah Islamiyah dalam kalangan anak pemimpin PAS dan menerapkan ciri-ciri kepemimpinan di kalangan para peserta.
“Ia juga akan memberi pendedahan awal tentang kepentingan berada di dalam jamaah Islam (PAS),”katanya.
Beliau berharap program itu juga dapat menyemai sifat dai’e di kalangan anak-anak remaja yang akan menyampaikan mesej Islam di seluruh pelusuk pada masa depan.
“Kita berharap agar para remaja terus beristiqamah bersama jemaah Islam (PAS) dan menjadi aset kepada jemaah untuk kepimpinan akan datang,
“di samping turut membantu menyampaikan mesej Islam dalam kalangan remaja. In shaa Allah,”ujarnya.