Khidmat Malaysia Setiu Teroka Kerjasama Bersama Agensi dan Jabatan
SETIU – Khidmat Malaysia Cawangan Setiu buat pertama kalinya telah menganjurkan simulasi pertolongan cemas dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku musibah.
Pengerusinya Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir menyifatkan program tersebut amat bermakna kerana menambahkan ilmu kepada para peserta, serta dapat merapatkan lagi hubungan PAS dengan agensi-agensi masyarakat.
“PAS Kawasan juga mengucapkan terima kasih pada pihak JPAM terhadap ilmu yang di bekalkan dalam menghadapi kecemasan dan bersedia membantu dengan kelengkapan,
“petugas serta peralatan yang tersedia ada dalam menghadapi banjir jika berlaku”ujarnya ketka ditemui selepas program tersebut yang diadakan di Dewan Lukman al-Hakim, Pejabat PAS Kawasan, di Kampung Guntung dekat sini.
DiPertua PAS Kawasan Setiu itu juga berhasrat untuk meneruskan kerjasama dan bercadang mengadakan hubungan dengan agensi dan jabatan lain termasuk pihak Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Latihan dan Operasi JPAM Setiu Kpl Mat Jais Mohd Yatim yang mengendalikan ‘simulasi’ itu menekankan pentingnya ilmu pertolongan cemas ketika menghadapi sebarang bencana.
“ilmu semasa bencana, pertolongan cemas seperti kebakaran, lemas dan sebagainya adalah penting untuk kita tahu bagaimana cara nak ha dapi dan menyelesaikannya,”kata beliau.
Beliau hadir bersama 3 anggotanya memberikan taklimat dan simulasi pertolongan cemas di hadapan anggota Khidmat Malaysia, Unit Amal, Ameerah serta AJK PAS kawasan.
Majlis yang berlangsung selama hampir dua jam itu telah mendedahkan secara praktikal bagaimana cara untuk menghadapi sebarang suasana kritikal disamping bersedia melakukan pertolongan cemas dalam situasi menghadapi musim tengkujuh yang di jangka akan berlaku pada bila-bila masa sekarang.