WP Kuala Lumpur

“INI MASA BEKERJA, BUKAN MENONTON” PEMUDA PAS WP GESA JENTERA TURUN PADANG

Oleh : Abdul Fateh 

KUALA LUMPUR, 28 Jun – Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Azmeer Syazwan Suparmin menggesa seluruh jentera pemuda di Wilayah Persekutuan agar memperhebatkan gerak kerja mendekati pengundi muda sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Berucap dalam Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, beliau menegaskan bahawa golongan muda khususnya pengundi berusia 18 tahun perlu diberi perhatian serius melalui pendekatan yang lebih dekat dan berkesan.

Menurut beliau, perubahan landskap pengundi hari ini memerlukan jentera parti untuk turun padang dan membina hubungan secara langsung bersama anak muda.

“Sasaran undi 18 tahun kali ini perlu kita dekati. Mereka bukan sekadar angka dalam daftar pemilih, tetapi mereka adalah generasi yang akan menentukan masa depan negara,” katanya.

Beliau turut menyifatkan suasana semasa sebagai mood pilihan raya, justeru seluruh jentera perlu berada dalam keadaan siap siaga dan tidak menunggu saat akhir untuk bergerak.

Katanya, Pemuda PAS perlu memanfaatkan pelbagai platform seperti Dewan Anak Muda Sejahtera (DACS), Alternative Riding Club (ARC) dan gerak kerja lain bagi memperkenalkan PAS dengan lebih dekat kepada masyarakat khususnya anak muda.

“Ini masa untuk bekerja. Bukan masa untuk hanya melihat dan menonton. Setiap anggota pemuda mesti memainkan peranan masing-masing untuk turun, menyantuni dan menyampaikan mesej perjuangan,” ujarnya.

Beliau berharap seluruh jentera Pemuda PAS Wilayah Persekutuan terus memperkukuhkan disiplin gerak kerja, memperluaskan jaringan masyarakat serta memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️