Minda Presiden PAS
PERNIAGAAN MEDIA
Media merupakan satu bisnes terkini yang laris di seluruh dunia, termasuk di Malaysia kini tanpa peduli berapa jumlah modal dan berapa banyak kerugian, asalkan berjaya mencapai matlamat, kerana keimanannya kepada konsep pujaan “the end justifies the means” (matlamat menghalalkan cara).
Sehingga menghalalkan segala cara yang haram, sekalipun boleh mencetuskan kekacauan dan mengancam keselamatan negara, tanpa mengira akibat yang menyesatkan dan menjadi bencana, khususnya apabila penyumbangnya tidak beriman kepada Hari Kiamat.
Ramai kalangan anti Islam terlibat dalam perniagaan media, sudah tentu tidak mempedulikan kepada perhitungan dosa dan pahala, kerana tiada iman yang menjadi sebati dalam diri mereka, termasuk juga penglibatan kalangan yang ada sedikit Islam sangat lemah imannya dan tidak budiman (berakhlak mulia), kerana otaknya diletakkan dalam perut berisi najis yang tidak dijunjung di atas kepala mengikut ketetapan Allah yang memuliakan kejadian manusia dengan akalnya.
Malangnya apabila ada manusia menghina dirinya sendiri, sehingga semua perkara boleh dilakukan apabila sudah menjadi laksana binatang. Allah berfirman mendedahkan wujudnya kumpulan ini:
﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam ramai daripada kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai”. (Surah Al-A’raaf: 179)
Binatang ternak itu ialah haiwan yang dipelihara makan minumnya untuk disembelih dan dijual beli atau ditunggang.
Islam mengajar penganutnya, bahawa semua berita yang bohong dan fitnah haram disiarkan, termasuk berita yang benar sekalipun ada juga yang haram disiarkan, kalau menjadi masalah kepada masyarakat umum. Apatah lagi yang nyata bohongnya.
Berita yang benar tidak boleh disiarkan kepada umum, sekiranya boleh menjadi masalah kepada masyarakat yang tidak mampu mencapai tahap kefahaman berfikir untuk menilai dengan matang. Begitu juga kalau mendedahkan rahsia keselamatan negara dan umat yang wajib dirahsiakan.
Ada juga yang bertindak mengelirukan masyarakat dengan mencampur adukkan perkara yang betul dengan yang salah, benar dan bohong kerana tujuannya untuk meramaikan pelanggan. Inilah perangai Kafir Yahudi yang paling dimurkai Allah. FirmanNya:
﴿وَلَا تَلۡبِسُواْ ٱلۡحَقَّ بِٱلۡبَٰطِلِ وَتَكۡتُمُواْ ٱلۡحَقَّ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ٤٢﴾
“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”. (Surah Al-Baqarah: 42)
Islam menegaskan bahawa semua yang terlibat dalam perkara yang diharamkan secara langsung atau tidak langsung akan menerima dosanya.
Seperti arak, dosanya bukan sahaja kepada orang yang minum, termasuk juga orang yang bekerja menanam anggur bagi tujuannya, orang yang memerah, membawa dan menghidangkan, semuanya berdosa.
Bukan sahaja duit haram membeli makanan dan minuman yang masuk ke dalam jasad, bahkan semua kegunaannya sehingga mamakai, menunggang, membelanjakan untuk orang lain, tetap dikira menjadi umpan api neraka bagi semua yang terlibat, kalau tidak bertaubat sebelum mati meninggal dunia.
Begitulah juga dosa perniagaan media yang salah, dosanya tersebar luas lebih besar dan panjang masanya, walaupun untungnya mendapat harta sepenuh bumi diberikan kepada petugas dan semua yang ada kaitannya.
Wahai yang menerimanya! Pikullah dosa dan celakanya sepanjang zaman sehingga ke dalam kubur dan hidup semula selepas mati.
Rasulullah S.A.W. menegaskan mimpinya yang benar bagi seorang Rasul, kerana sebahagian daripada wahyu. Sabdanya:
وأمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أتَيتَ عَليْهِ يُشرْشرُ شِدْقُه إِلَى قَفاهُ ومَنْخِرُه إِلَى قَفاهُ وعَيْنهُ إِلَى قفاهُ فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدو مِنْ بَيْتِه فَيكذبُ الكذبةَ تبلُغُ الآفاقَ (البخاري).
(Malaikat pengiringnya berkata): “Adapun orang yang engkau saksikan seksanya disangkut pipinya dengan penyangkut besi menembusi belakang lehernya, disangkut hidungnya menembusi lehernya juga, dan disangkut mata menembusi lehernya juga ialah orang yang bekerja sejak pagi menyebarkan berita bohong (termasuk yang merosakkan) ke seluruh ufuk dunia”. (Riwayat Al-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. mendedahkan perkara di masa hadapan yang tidak berlaku pada zamannya tiada teknologi maklumat apabila manusia menyampaikan kejahatan menyebarkan maklumat dengan tujuan yang salah, tetapi berlaku pada zaman kini dengan pencapaian teknologi terkini yang disalah gunakan sebarannya ke seluruh ufuk dunia, termasuk di Malaysia kini yang terletak di alam dunia.
Allah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya berhati-hati apabila mendapat berita daripada orang yang fasik. Firman Allah:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ٦ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ فِيكُمۡ رَسُولَ ٱللَّهِۚ لَوۡ يُطِيعُكُمۡ فِي كَثِيرٖ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ لَعَنِتُّمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِي قُلُوبِكُمۡ وَكَرَّهَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡكُفۡرَ وَٱلۡفُسُوقَ وَٱلۡعِصۡيَانَۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ٧﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (6); Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah dia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu; perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus”. (7) (Surah Al-Hujuraat: 6-7)
Al-Quran adalah petunjuk bermukjizat sepanjang zaman selepas kewafatan Rasulullah S.A.W., bahkan menunjukkan perkara masa hadapan mendahului zamannya.
Media terus dijadikan alat penting oleh semua pihak dalam kegiatan hidup seharian, pendidikan, politik, ekonomi, sosial, sehinggalah hiburan, laksana senjata yang boleh digunakan bagi semua tujuan tanpa mengira baik dan jahat. Kalau baik dapat pahala yang besar, kalau jahat dosanya juga besar.
Fasik itu ialah orang yang melakukan dosa besar dan berterusan melakukan dosa kecil, termasuk perkara yang mencacatkan maruah, walaupun bukan dosa. Akibatnya seseorang yang fasik mengikut hukum Islam, tidak layak menjadi saksi dan memegang jawatan penting dalam masyarakat. Berbeza dengan masyarakat barat bukan Islam yang boleh menerima siapa sahaja yang mendapat sokongan majoriti walaupun paling bohong, bodoh dan jahat.
Dunia seluruhnya, termasuk di Malaysia kini, menerima acuan pemikiran Barat, bukannya acuan Islam.
Islam menegaskan besarnya pahala dan fadhilat orang yang menunjukkan ajaran yang baik, namun besar akibatnya menunjukkan perkara dosa dan sesat. Sabda Rasulullah S.A.W.:
“مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ . وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ”. (رواه مسلم)
“Sesiapa yang berada dalam Islam, menunjukkan ajaran yang baik maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengikutnya selepasnya tanpa dikurangkan pahalanya sedikit pun. Dan sesiapa yang berada dalam Islam, lalu menunjukkan kejahatan dia dibebani dosanya dan dosa orang yang terpengaruh dengannya tanpa dikurangkan dosanya sedikit pun”. (Riwayat Muslim)
Maka jadikanlah media sebagai satu lapangan amal soleh dengan membebaskan akal fikiran daripada pengaruh asing yang sedia menyumbang seberapa banyak dan tiada dalam dirinya niat baik dan ikhlas terhadap umat Islam. Termasuk agen-agen yang masih berkeliaran di negara kita ini, sehingga sanggup berbelanja besar walaupun rugi, apatah lagi kalau mendapat keuntungan duit dan mencapai tujuannya.
Islam memberi petunjuk dalam semua perkara di alam dunia ini supaya dijadikan jambatan menuju ke akhirat khususnya ke Syurga, bukannya jambatan ke Neraka. Alam Akhirat yang kekal abadi menjadi rukun iman kepada penganut Islam, tetapi menjadi ejekan oleh bukan Islam.
Allah berfirman:
﴿زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُواْ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا وَيَسۡخَرُونَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۘ وَٱلَّذِينَ ٱتَّقَوۡاْ فَوۡقَهُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَٱللَّهُ يَرۡزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٖ٢١٢﴾
“Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertakwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada Hari Kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya)”. (Surah Al-Baqarah: 212)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 3 Jamadil Awwal 1441 / 30 Disember 2019