WP Kuala Lumpur

JENTERA PAS WANGSA MAJU DIGERAKKAN KE DUN TIRAM, TEKAD MENANGKAN CALON PERIKATAN NASIONAL

Tebrau, 4 Julai – PAS Kawasan Wangsa Maju mula menggerakkan jentera pilihan rayanya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram sebagai tanda komitmen bagi membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi pilihan raya kecil yang akan datang.

Gelombang PN melibatkan Jentera Muslimat PAS Wangsa Maju yang telah berada di DUN Tiram bagi melaksanakan pelbagai gerak kerja kempen, termasuk menyantuni pengundi, ziarah rumah ke rumah serta membantu operasi bilik gerakan.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS (JPRP) Wangsa Maju, Haji Rahim, jentera Pemuda PAS Wangsa Maju turut sedang digerakkan secara berperingkat bagi memperkukuhkan kekuatan kempen di kawasan tersebut.

“Insya-Allah, jentera Pemuda PAS Wangsa Maju juga sedang digerakkan ke DUN Tiram bagi membantu seluruh gerak kerja pilihan raya. Kita akan memberikan komitmen sepenuhnya sehingga hari pengundian,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju Ustaz Abdul Rani berkata, seluruh jentera PAS Wangsa Maju telah bersiap siaga dan akan memainkan peranan sebaik mungkin bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional.

“Pilihan raya ini bukan sekadar pertandingan politik, tetapi satu amanah untuk memastikan suara rakyat terus diperkasakan. Saya menyeru seluruh jentera PAS Wangsa Maju agar bekerja dengan penuh keikhlasan, disiplin dan semangat ukhuwah. Insya-Allah, dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta pertolongan Allah SWT, kita akan sedaya upaya memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional di DUN Tiram.”

Beliau turut mengajak seluruh ahli dan penyokong agar terus memperbanyakkan doa, menjaga adab sepanjang berkempen serta mempamerkan akhlak yang baik ketika berinteraksi dengan masyarakat.

PAS Wangsa Maju yakin kerjasama erat antara semua komponen Perikatan Nasional serta kesungguhan para petugas di lapangan akan menjadi pemangkin kepada usaha meraih sokongan rakyat dan seterusnya memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional di DUN Tiram.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️