Perkasa Organisasi Salah Satu Agenda Utama Pemuda
Oleh: Aslam Wira
MARANG – Selari dengan peralihan tampuk kepimpinan kerajaan negeri, agenda utama pemuda adalah untuk memperkasakan organisasi, gerak kerja dan penambahbaikkan khususnya di kalangan belia menjelang 2020.
Ketua Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Ziyad Zakaria berkata, ia adalah untuk memperkuatkan jentera pemuda di peringkat DUN masing-masing.
“Kita berkumpul bagi membincangkan permasalahan yang perlu diselesaikan dan melontarkan idea bertujuan untuk mengerakkan produktiviti pemuda dengan lebih efektif.
“Ianya amat penting untuk pulangan manfaat kepada seluruh pemuda untuk memberikan khidmat terbaik bagi membantu di peringkat kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam Program Brainstorming Pemuda PAS DUN Rhu Rendang di Tasik Kenyir, pada Sabtu, 28 Disember.
Turut hadir ialah Setiausaha Institut Kajian Polisi PAS Negeri Terengganu, Zulhilmi Abdul Rahman.
Menurutnya, program yang berlangsung selama tiga hari dua malam telah disertai seramai 40 orang Ahli JawatanKuasa Pemuda.
Ziyad menambah, para pemuda juga merupakan aset utama dalam sesebuah gerakan Islam.
“Dimana mereka perlu faham dan menghayati apa yang dibawa oleh baginda Muhammad SAW untuk masa depan islam yang lebih gemilang.
“Tugas utama kita ialah menjadi khalifah di bumi, yang menjaga agama, mengurus dan mentadbir bumi dengan agama Allah,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pemuda agar bersama-sama memberi sokongan pada program yang dianjurkan oleh parti.
“Supaya kita menjadi kelompok pemuda yang cintakan islam, berakhlak mulia, dan sayangkan tanah air,” tambahnya lagi.