TASTI Perkasa Ilmu Sejak Awal Usia
KUALA TERENGGANU – Taman Asuhan Tunas Islam (TASTI) yang dikendalikan oleh Muslimat adalah komitmen sayap parti itu, yang berterusan dalam memperkasa pendidikan Islam sejak usia awal.
Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman berkata PAS telah lama meletakkan pendidikan sebagai teras perjuangan, bermula daripada TASTI sehinggalah ke peringkat lebih tinggi seperti Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad(KUIZM) yang berperanan melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya kepimpinan.
“Imu adalah asas kepada segala perubahan. Tanpa ilmu, perjuangan akan pincang sebab itu PAS membina ekosistem pendidikan yang lengkap, bermula dari kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi,” ujar beliau.
To’ Puan Zarani berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi TASTI yang diadakan TASTI Salam, Telaga Mengkudu di sini pada 1 Januari.
Turut hadir Pengarah TASTI Malaysia,Rashidah Arbain.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga apabila ramai tokoh ilmuan serta wakil rakyat hari ini merupakan lepasan institusi pendidikan di bawah rangkaian PAS, termasuk Madrasah Diniyyah Qanuniah (MDQ), sekali gus membuktikan keberkesanan sistem pendidikan yang dibangunkan.
“Pembinaan generasi berilmu mesti bermula dengan asas yang kukuh, tersusun dan berterusan melalui institusi pendidikan yang diyakini,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah TASTI Muslimat Terengganu, Norhayati Mohamad di dalam ucapannya menyatakan bahawa Program Apresiasi itu merupakan yang pertama dianjurkan khusus bagi meraikan pelajar tahun akhir yang telah menamatkan fasa awal pendidikan mereka di TASTI.
“‘TASTI Terengganu mempunyai 13 orang pelajar yang berumur empat tahun ke bawah dan hari ini seramai sembilan orang pelajar telah menerima Sijil Tamat Belajar sebagai simbol penghargaan terhadap usaha, kesungguhan serta perkembangan sahsiah mereka sepanjang berada di TASTI,” jelasnya.
Katanya, program ini bukan sahaja menjadi medan meraikan kejayaan pelajar, malah turut memberi pengiktirafan kepada para pendidik dan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berteraskan nilai Islam.
“Majlis Apresiasi ini jelas mencerminkan kesungguhan Muslimat Terengganu dalam melahirkan generasi pewaris perjuangan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, bahkan seimbang dari aspek rohani, akhlak dan jati diri.
“TASTI ini yang mula beroperasi pada tahun 2020 dengan dua orang guru serta 10 orang tenaga sokongan,” ujarnya lagi.