ADUN Bukit Payong Rai Anak Yatim Dan Guru PASTI
MARANG – Setelah berusaha beberapa tahun bagi mencari dana untuk menjalankan program bersama anak-anak yatim pada bulan Ramadhan, tahun ini, Majlis Tindakan DUN (MTD) Bukit Payung telah berjaya mendapatkan dermawan yang sudi menaja program ini.
Hasrat yang murni in telah lama disuarakan oleh Pengerusi MTD Bukit Payung yang juga wakil rakyat kawasan itu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang begitu tersentuh apabila melihat anak-anak yatim di kawasan beliau berhari raya tanpa ibu atau bapa.
Sebagai satu cara mengambil sunnah rasulullah yang menggembirakan anak yatim di hari lebaran, beliau dan seluruh jawatan kuasa MTD akhirnya berjaya menjalankan program yang mulia ini semalam.
Bertempat di sebuah kedai borong terkemuka di Kuala Terengganu, seramai 50 orang anak-anak yatim terpilih di DUN Bukit Payung, telah diberikan satu pasang baju raya seorang, bagi menceriakan mereka menyambut Aidilfitri nanti.
“Alhamdulillah, akhirnya program yang diidam-idamkan ini berjaya juga dilaksanakan.
Kami merasa sungguh berbesar hati kerana apabila melihat wajah keriangan anak-anak yatim ini mendapat baju raya, kami terus teringatkan bagaimana rasulullah menceriakan anak yatim di hari raya.
Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada semua penderma dan juga AJK yang berkerja keras bagi menjayakan program ini dan terima kasih yang tak terhingga kepada semua yang terlibat,” ujar Ustaz Mohd Nor, gembira.
Ditanya adsakah program ini akan diadakan setiap tahun, beliau menjelaskan PAS bukanlah parti yang kaya, tetapi pihak MTD akan berusaha bagi menjadikan program ini sebagai program tahunan bersama dengan program Bantuan Ramadhan dan Raya.
Turut sama memeriahkan program ini ialah isteri Ustaz Mohd Nor, Ustazah Zainun Abdul Wahab yang juga membantu anak-anak yatim ini memilih pakaian mereka.
Dalam satu lagi majlis yang lain pada hari yang sama, seramai 22 orang guru Pasti di seluruh Dun Bukit Payung turut menerima penghargaan sempena aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Bantuan berbentuk wang tunai itu disediakan oleh Pemuda Dun bagi menceriakan hati guru-guru Pasti yang sedia berkhidmat walaupun dengan berbagai cabaran yang datang.
Majlis penyampaian duit raya itu disempurnakan oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah di Kompleks Madrasah Darul Iman di Titian Baru.