PAS Kawasan Besut Pertahan Kepimpinan Ulamak
BESUT – PAS Besut menzahirkan sikap dan pendiriannya bahawa konsep kepimpinan ulamak yang menjadi teras kepada kepimpinan parti sejak tahun 1982 itu harus dipertahankan.
Justeru itu, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata PAS perlu menyakinkan rakyat betapa konsep menjadikan PAS terus megah dipersada politik negara.
Menurutnya, bimbingan para ulama’ telah mewarnai jatidiri qiadah dan jundiyyah bagaimana perjuangan ini harus digalas.
Katanya, keterbukaan parti dalam menerima pelbagai kategori fikrah menyebabkan PAS melalui zaman segar dan suram.
“Kita (PAS) perlu menyakinkan rakyat betapa konsep (kepimpinan ulamak) ini menjadikan PAS terus megah dipersada politik tanahair ini. Bimbingan ulama’ telah mewarnai jatidiri qiadah dan jundiyyah kita bagaimana perjuangan Islam ini harus digalas.
“Keterbukaan kita (PAS) dalam menerima kepelbagaian fikrah juga menyebabkan PAS melalui zaman segar dan suramnya.
“Segar disaat kita bekerja dengan semangat ukhuwwah fillah untuk mendapat redha Allah SWT sehingga Allah menganugerahkan kemenangan (PAS) di Kelantan, Terengganu dan Kedah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kwasan Besut kali Ke-56, di Dewan Haji Salleh, Kampung Alor Lintah, Jertih, Besut pada Sabtu 4 April.
Mesyuarat Agung tersebut dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob.
Namun, katanya situasi suram itu berlaku disaat PAS dihimpit ‘gelora’ dengan pelbagai masalah dalaman kerana sedikit perbezaan pendapat.
Beliau yang telah menyandang jawatan YDP Besut sejak tahun 2009 itu menegaskan PAS mengalu-alukan penyertaan anggota dari pelbagai latar belakang secara berlapang dada.
Justeru, kata Ustaz Wan Azhar, PAS memiliki dasar parti yang perlu dijaga serta mempunyai matlamat yang harus dipertahankan.
“PAS melantik qiadahnya secara beretika. PAS akan terus memacu perjuangannya tanpa mempedulikan kemuncut yang merintangi perjuangan sepanjang zaman.
“Alhamdulillah, PAS Kawasan Besut akan tetap berdiri teguh mempertahankan kepimpinan ulamak yang soleh.
“(Ulama’) Yang tidak menjadikan dunia sebagai matlamat dalam kelangsungan kehidupan dunianya. (Ulama’) Yang sentiasa menjaga adab dan akhlak serta menjadi model dan idola kepada masyarakat dan anggotanya (ahli PAS),” ujarnya.