Home Minda Presiden

Suhakam: Kenali Siapa Pelampau Sebenarnya

1073
SHARE


Minda Presiden PAS

SUHAKAM: KENALI SIAPA PELAMPAU SEBENARNYA


Saya terbaca kenyataan SUHAKAM secara terbuka mengkritik tindakan pihak PDRM yang menghalang penganjuran Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina oleh Dong Jiao Zong bagi membincangkan isu tulisan Jawi. Sebelum ini SUHAKAM pernah mengatakan Kongres Maruah Melayu boleh menggugat hubungan antara kaum di Malaysia.

Walaupun ahli-ahli PAS paling ramai mendapat gas pemedih mata daripada Polis kerana penglibatan dalam beberapa demonstrasi, tetapi pedih sekejap sahaja kerana kita lebih faham, sama-sama dalam keadaan terpaksa.

Kenyataan SUHAKAM sangat memedihkan perasaan hati umat Islam yang beriman dan budiman, kerana kepedihan api neraka tiada bandingannya bagi seseorang yang tidak mempertahankan Islam.

SUHAKAM adalah singkatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Tulisan Jawi: سوروهنجاي حق اساسي مأنسي مليسيا). Walaupun penubuhannya di atas desakan parti politik dan beberapa NGO di Malaysia, bukan di negara Barat yang berbeza cuaca dan masyarakat, kita tidak boleh menyamakan takrif kebebasan dan hak asasi manusia dengannya.

Islam dinobatkan agama negara dalam Perlembagaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan secara khusus kepada konsep Raja Berperlembagaan. Walaupun kebebasan beragama itu dijamin oleh Perlembagaan, tetapi mestilah ada juga sempadan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

Kebebasan itu bukan bererti tiada sempadan, kerana kalau tiada sempadan maka dinamakan kebabasan atau jadi terbabas dan tersungkur merosakkan.

Haram memberi lesen untuk merompak dan mencuri di atas nama kebebasan kerana semua agama dan ideologi bersifat kemanusiaan mengharamkannya, namun perkara yang berbeza dalam agama lain boleh dibenarkan dengan sempadan yang sewajarnya mengikut adat dan kemanusiaan yang boleh dipertimbangkan supaya tidak mengacau pihak lain.

Oleh itu, Islam yang memerintah dengan tegas mengharamkan upacara sati agama Hindu mengorbankan isteri yang dibakar hidup-hidup bersama suami yang mati dan upacara mengorbankan ratu di Mesir pada zaman jahiliah.

Dalam sesebuah pentadbiran kerajaan telah dibahagikan tugasan masing-masing mengikut Standard Operational Procedure (SOP), khususnya pihak yang bertanggungjawab kepada keamanan dan keselamatan, sepatutnya SUHAKAM yang bijaksana lebih memahami aspek ini sebelum membuat kenyataan berhubung sesuatu isu.

Jangan perbodohkan pihak lain dan tahu di mana bumi kita berpijak, iaitu bumi Malaysia bukannya negara asing. Sangat malang kalau kakinya berpijak di Malaysia tetapi otaknya masih dijajah oleh pihak asing.

Kami tetap berpegang dengan kenyataan Al-Quran yang menentukan kebenaran dan hak berpandukan firman Allah:

﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾


“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tiada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)”. (Surah Al-Baqarah: 213)

Kami yakin kepada Al-Quran yang menyatakan tentang permulaan hidup manusia dan kebenaran asasi pertama dibawa oleh para Rasul A.S. termasuk menentukan hak asasi manusia dan konsep keadilan yang saksama.


Kami tidak menerima teori Yahudi Darwin yang meletakkan manusia dimulakan dengan Zaman Batu dan kebinatangan.


Biarlah negara Barat menafsirkan sendiri hak asasi sehingga meletakkan hak binatang lebih penting daripada manusia. Malaysia tidak sampai ke tahap adanya hartawan mewasiatkan harta kepada anjing peliharaan kerana keruntuhan institusi keluarga, mengiktiraf LGBT dan perkara-perkara lain di luar tabie.


Sikap mereka yang telah diberi hak menggunakan bahasa kaum sendiri mencabar Bahasa Kebangsaan dan tulisan Jawi umpama sudah mendapat betis mahukan paha, kemudian mahu menelan jasad orang yang berbudi kepadanya.


Sepatutnya SUHAKAM mengenali siapa pelampau sebenarnya.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Jamadil Awwal 1441 / 1 Januari 2020