Kepimpinan Berintegriti Teras Perjuangan: PAS Bukit Bintang Adakan Mesyuarat Agung Kali Ke-41
KUALA LUMPUR, 17 Jun – PAS Kawasan Bukit Bintang telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-41 bersempena pembukaan tirai Tahun Baharu Hijrah 1448H di Taman Melewar, hari ini.
Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya III Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, Al-Fadhil Ustaz Tuan Haji Nazri Chik, yang menyampaikan taujihat penuh makna sebagai panduan kepada para perwakilan dan pimpinan dalam meneruskan perjuangan Islam.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan bukan sekadar memenuhi tuntutan organisasi, bahkan menjadi medan muhasabah, penilaian prestasi serta perancangan strategik bagi memperkukuhkan gerak kerja parti demi mendepani cabaran semasa.
Merujuk kepada firman Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 55, Ustaz Nazri menjelaskan bahawa kepimpinan merupakan satu amanah besar yang memerlukan ilmu, integriti serta keupayaan untuk mengurus dan memimpin masyarakat.
“Jawatan dan kedudukan bukanlah matlamat, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan yang baik lahir daripada kefahaman terhadap amanah dan kesediaan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan membina ekonomi yang berasaskan iman dan taqwa sebagai asas kepada kesejahteraan ummah. Menurut beliau, kemajuan yang sebenar bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi juga melalui keberkatan, keadilan dan keseimbangan dalam kehidupan masyarakat.
Selain itu, aspek Pembinaan Fardhi Muslim turut diberikan perhatian sebagai tunjang utama kepada kekuatan gerakan Islam. Beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bermula dengan pembentukan individu yang memiliki kefahaman Islam yang sahih, ibadah yang mantap, akhlak yang terpuji serta komitmen yang tinggi terhadap perjuangan agama.
Dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa, beliau turut menyeru agar para pemimpin mengamalkan pendekatan kepimpinan yang berempati dan dekat dengan masyarakat.
“Pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat akan lebih mampu membuat keputusan yang tepat, memimpin dengan hikmah serta menyelesaikan masalah masyarakat dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab,” ujarnya.
Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bukit Bintang Kali Ke-41 berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh semangat ukhuwah, dengan kehadiran para perwakilan daripada cawangan-cawangan serta pimpinan pelbagai peringkat.
Sempena kedatangan Tahun Baharu Hijrah 1448H, mesyuarat ini diharap menjadi titik tolak kepada pengukuhan saf perjuangan, penyusunan gerak kerja yang lebih tersusun serta peningkatan komitmen seluruh ahli dalam melaksanakan amanah dakwah, tarbiah dan kebajikan demi kesejahteraan agama, bangsa dan negara.
“Membina Ummah, Memperkasa Perjuangan, Menjunjung Amanah.”