WP Kuala Lumpur

Siri 27: Memugar Semula Al-Haya’: Sifat Malu yang Kian Hilang dalam Diri Remaja

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

“Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan.” [Riwayat al-Bukhari, no. 9]

Sifat al-haya’ atau rasa malu merupakan satu anugerah yang sangat berharga serta menjadi cerminan kepada kekuatan iman seseorang Muslim. Perasaan malu ini lahir daripada sifat muraqabah, iaitu kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa melihat, mendengar dan mengawasi setiap perbuatan hamba-Nya. Apabila seseorang benar-benar menyedari hakikat ini, akan timbul dalam dirinya rasa segan dan malu untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT.

Kesedaran muraqabah inilah yang mendorong seseorang untuk sentiasa memelihara tingkah laku dan berusaha kekal berada di atas jalan yang diredai-Nya. Namun demikian, kita perlu mengakui bahawa sifat malu semakin terhakis dalam sebahagian kalangan remaja pada hari ini. Apabila rasa malu semakin hilang, akhlak dan tingkah laku juga mudah terdedah kepada kerosakan.

Antara contoh yang sering berlaku ialah pengabaian batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Tidak sedikit remaja yang berinteraksi secara berlebihan, bersentuhan dan bergurau tanpa memelihara adab serta batas yang telah ditetapkan oleh syariat. Keadaan ini mencerminkan semakin lemahnya benteng agama dalam diri serta lunturnya nilai kesopanan yang menjadi identiti masyarakat beragama Islam.

Lebih membimbangkan, terdapat segelintir remaja yang secara terbuka melakukan maksiat di tempat awam atau mempamerkan perbuatan yang tidak bermoral di media sosial demi meraih perhatian dan populariti. Malah, ada yang berbangga memuat naik kandungan berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang atau gaya hidup yang merosakkan diri. Fenomena ini menunjukkan berlakunya perubahan nilai apabila sesuatu yang jelas memudaratkan akal, akhlak dan masa depan dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan.

Hakikatnya, perbuatan sedemikian bukan sahaja mencemarkan maruah diri dan keluarga, bahkan boleh memberi gambaran yang negatif terhadap agama Islam. Oleh itu, setiap Muslim memikul tanggungjawab untuk menjaga akhlak dan tingkah laku agar menjadi cerminan yang baik kepada agama yang dianuti.

Justeru, amat penting untuk kita memahami konsep malu yang sebenar menurut Islam. Rasa malu yang terpuji ialah malu untuk melakukan maksiat, malu untuk melanggar batas syariat, serta malu melakukan perkara yang boleh mencemarkan maruah diri dan agama.

Namun begitu, rasa malu tidak seharusnya menghalang seseorang daripada melakukan perkara yang baik. Kita tidak boleh malu untuk menegakkan kebenaran, menuntut ilmu, bertanya apabila tidak mengetahui sesuatu perkara, atau mendapatkan bantuan ketika menghadapi kesukaran.
Sesungguhnya, sifat malu yang diletakkan pada tempat yang betul bukanlah tanda kelemahan atau ketinggalan zaman. Sebaliknya, ia merupakan perisai yang memelihara maruah, membentuk akhlak mulia dan memperkukuhkan hubungan seseorang dengan Allah SWT.

Marilah kita bersama-sama berusaha memugar semula sifat malu yang semakin pudar dalam diri generasi muda agar ia kembali menjadi benteng yang menjaga kehormatan diri serta memelihara kesucian agama Islam. Mudah-mudahan setiap langkah kehidupan kita sentiasa berada dalam keberkatan dan keredaan Allah SWT.

WAN AHMAD SOLEH
LAJNAH DAKWAH, PERPADUAN NASIONAL & HUBUNGAN NGO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️