BeritaWilayah PersekutuanWP Kuala Lumpur

Pemuda PAS Wangsa Maju Santuni Asnaf Kampung Puah Seberang, Perkukuh Jalinan Bersama NGO

 

WANGSA MAJU, 17 Jun– Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan program penyampaian sumbangan beras dan barangan keperluan harian kepada keluarga asnaf di Kampung Puah Seberang, baru-baru ini.

Program kebajikan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Pemuda PAS Wangsa Maju dalam mendekati masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

Ketua Pemuda PAS Wangsa Maju, Ustaz Beyhaqi, berkata pihaknya sentiasa membuka ruang kerjasama dengan mana-mana NGO yang mempunyai hasrat sama dalam memperjuangkan kebajikan rakyat.

“Pemuda PAS Wangsa Maju komited untuk terus turun padang membantu masyarakat yang memerlukan. Kami mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana NGO, pertubuhan kebajikan dan individu yang ingin bersama-sama menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Semangat kebersamaan ini perlu diperkukuhkan agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Ketua PAS Cawangan Kampung Puah, Haji Idris Jamil, menyifatkan program berkenaan sebagai satu manifestasi keprihatinan yang amat bermakna kepada penduduk setempat.

 “Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pemuda PAS Wangsa Maju serta NGO yang tampil menghulurkan bantuan kepada penduduk Kampung Puah Seberang. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga asnaf yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup,” ujarnya.

Ketua Muslimat PAS Kampung Puah, Hajah Nor Samawati, pula berkata program seumpama itu bukan sahaja membantu dari sudut material malah memberi suntikan semangat kepada penerima bantuan.

“Kehadiran anak-anak muda yang prihatin dan sanggup turun menyantuni masyarakat memberi mesej bahawa masih ramai yang mengambil berat terhadap nasib golongan kurang bernasib baik. Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Wangsa Maju turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NGO yang sudi bekerjasama dan menyumbangkan bantuan kepada penduduk Kampung Puah Seberang.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua NGO dan para penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan beras serta barangan keperluan. Keprihatinan dan komitmen yang ditunjukkan membuktikan bahawa budaya cakna masyarakat masih subur dalam negara kita. Semoga segala sumbangan yang diberikan menjadi amal soleh dan mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah SWT,” kata Ustaz Beyhaqi.

Program tersebut berakhir dengan sesi ziarah dan penyampaian bantuan kepada beberapa keluarga asnaf yang dikenal pasti memerlukan perhatian dan bantuan segera di sekitar Kampung Puah Seberang. Program sebegini akan terus dipergiatkan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara PAS, NGO dan masyarakat setempat demi kesejahteraan ummah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️