PAS Teraju Pahang diterjemah melalui khidmat kepada masyarakat

KUANTAN, 14 Jun – Komitmen PAS Teraju Pahang (PTP) dalam membina masyarakat yang sejahtera dan saling prihatin diterjemahkan melalui pelbagai program kemasyarakatan, tarbiah riadah dan ziarah yang dilaksanakan di Kampung Beserah, di sini semalam.
Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota, Dato’ Andansura Rabu berkata, gagasan PTP bukan hanya tertumpu kepada aspek pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pembangunan insan, pengukuhan institusi masyarakat dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, antara program yang diadakan ialah Majlis Solat Hajat dan Usrah PTP di Kampung Beserah, pertandingan carrom, program Briskwalk Flora dan Fauna khusus untuk golongan wanita serta program ziarah bagi menyantuni masyarakat setempat.

Menurut beliau, program berbentuk tarbiah dan kerohanian penting dalam membina kefahaman Islam dan memperkukuh ukhuwah, manakala aktiviti sukan dan riadah pula membantu membudayakan gaya hidup sihat serta mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“PAS Teraju Pahang membawa aspirasi untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera bersama Islam. Sebab itu, pelbagai program yang dilaksanakan bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi turut menumpukan kepada pembinaan insan, pengukuhan institusi masyarakat dan pemerkasaan ukhuwah,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah itu berkata, program ziarah yang dilaksanakan bersama masyarakat pula memberi peluang kepada pemimpin mendekati rakyat serta memahami sendiri keperluan dan permasalahan yang dihadapi mereka.
“Kita mahu hasrat PAS Teraju Pahang diterjemahkan melalui tindakan dan khidmat kepada masyarakat. Apabila kebajikan rakyat dipelihara, ukhuwah diperkukuh dan budaya hidup sihat dibudayakan, insya-Allah kita dapat membina sebuah masyarakat yang sejahtera bersama Islam,” katanya.

