23 November 2020
Penulis: Fitry Abdullah
Kuantan :: Sebagai persediaan menghadapi ketibaan musim tengkujuh, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching dengan kerjasama pelbagai agensi berkaitan mengadakan gotong-royong membersihkan parit utama berhampiran Kampung Permatang Badak, dekat sini.
Program itu mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), SWCorp Kuantan, Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang, PAS Cawangan Permatang Badak dan turut disertai penduduk setempat.
ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahaya yang turut sama dalam aktiviti itu meminta semua penduduk lebih berwaspada berikutan musim Monsun Timur Laut sudah bermula di Pantai Timur Semenanjung, sejak minggu lalu.
“Kita harap melalui aktiviti gotong-royong ini dapat mengurangkan sedikit risiko banjir sekiranya hujan lebat berterusan melanda kawasan Permatang Badak dan kampung sekitar.
“Masalah saliran air tersumbat, terutamanya di laluan parit utama biasanya disebabkan sikap kita juga yang membuang sampah merata-rata hingga mengganggu sistem pengairan atau saliran.. jadi, saya harap perlu ada kesedaran dan kepekaan terhadap perkara ini dalam kalangan kita semua,” katanya.
Manakala bagi Muhammad Khalil Mohamad, salah seorang penduduk yang ditemui mengharapkan lebih ramai penduduk kampung melibatkan diri apabila program seperti ini dijalankan.
“Kalau boleh, program seperti ini dapat dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan laluan air tidak tersekat hingga mengakibatkan banjir.” Ujar beliau.
Gotong-royong yang bermula kira-kira jam 8 pagi itu berjaya membersihkan laluan parit dan saliran air berhampiran Surau Ar Rahman dan Masjid Lama Permatang Badak yang sememangnya mudah dinaiki air jika hujan lebat berterusan antara dua hingga tiga jam.