Home Minda Presiden

Masjid Al-Aqsa dalam bahaya: Di manakah umat Islam?

179
SHARE

Minda Presiden PAS

MASJID AL-AQSA DALAM BAHAYA: DI MANAKAH UMAT ISLAM?

Masjid al-Aqsa ialah kiblat pertama umat Islam sebelum diperintahkan agar mengadap ke arah Kaabah di Tanah Suci Makkah. Malah, di sana juga berlakunya Isra’ Rasulullah SAW dan bermulanya Mi‘raj menjadi tetamu Allah SWT.

Pada malam yang bersejarah itu Rasulullah SAW mengimamkan solat bersama roh para anbiya’ AS. Hal ini membuktikan mereka semua menegakkan satu agama sahaja iaitu Islam, mengikut firman Allah SWT:

قُلْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَالنَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ٨٤ وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ٨٥

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi; Ibrahim, lsma‘il, dan Ishaq, dan Ya‘qub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi; Musa dan ‘Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (menganut Islam).’ (84); Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85)” (Surah Ali ‘Imran: 84-85)

Masjid al-Aqsa merupakan salah satu daripada tiga masjid yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW supaya diziarahi kerana fadilatnya yang sangat besar.

Kini Masjid al-Aqsa berada dalam bahaya, kerana dicerobohi oleh kumpulan pelampau Yahudi dengan dilindungi oleh pasukan khas yang bersenjata. Keadaan ini sekali gus membuktikan bermulanya agenda untuk merobohkan Masjid al-Aqsa.

Kelak, di atas runtuhannya akan dibina Haikal Sulaiman (Kuil Besar Yahudi) yang diperjuangkan oleh kumpulan Zionis dan Freemason. Matlamat itu adalah bertujuan ke arah mengembalikan semula kepercayaan sesat Negara Agung Israel yang menunggu kemunculan al-Masih (Dajjal), pemimpin agung Yahudi yang akan menguasai dunia seluruhnya.

Beberapa kawasan masjid, sehingga ke bawahnya telah digali terowong oleh puak Yahudi kerana ingin mencari Tabut (keranda keramat) yang memberikan semangat apabila berperang untuk menakluk dunia yang telah dibawa oleh Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS. Keinginan mereka itu hanyalah impian yang penuh dengan pembohongan kerana mereka sudah menyeleweng daripada agama Allah SWT yang menjadi perjuangan para anbiya’ seluruhnya.

Allah SWT pernah menyesatkan nenek moyang mereka, sehingga menyebabkan mereka berpusing pada satu tempat selama 40 tahun. Demikian itu merupakan balasan buat mereka kerana tidak menyahut seruan jihad oleh Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS bagi membebaskan bumi anbiya’ itu daripada penaklukan kaum Jabbarin.

Setelah lahir generasi baharu yang bertaubat bersama nabi yang diutuskan kepada mereka, maka Allah SWT mengizinkan mereka kembali berkuasa memerintah dengan berpandukan Kitab Allah.

Sesungguhnya mereka tidak layak mentadbir tanah suci para anbiya’ kerana menjadi bangsa yang paling dimurkai dan dilaknat oleh Allah SWT, akibat kesesatan dan kejahatan mereka yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٦١

“…Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah. Hal yang demikian itu terjadi disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh nabi-nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu berlaku disebabkan mereka sentiasa menderhakai dan juga sentiasa melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 61)

Mereka terus derhaka dan menentang Rasul akhir zaman yang dijanjikan dalam kitab suci mereka dan juga para Rasul daripada kalangan mereka. Akhirnya, mereka dikeluarkan dengan penuh kehinaan dan laknat Allah SWT.

Namun begitu, mereka kembali sekali lagi ke Palestin dengan bantuan seluruh kuasa besar yang bermusuh terhadap Islam ketika umat Islam mengalami kelemahan. Sehinggakan, penduduk asal yang menganut Islam dihalau atas nama agama Yahudi yang dilaknat itu.

Terkini mereka telah bertindak secara ganas menceroboh ke dalam Masjid al-Aqsa pada setiap hari keagamaan. Bahkan, sudah ramai rakyat Palestin yang bertahan gugur syahid, cedera atau ditahan dalam penjara mahupun tahanan rumah yang akan diroboh atau dirampas oleh pelampau Yahudi pada bila-bila masa sahaja.

Namun, para jemaahnya tetap bertahan silih berganti dalam menghadapi keganasan Zionis dengan penuh semangat gagah berani dan sedia mengorbankan harta serta nyawa mereka.

Sebahagian daripada umat Islam tetap mengambil tahu dengan kefahaman yang betul tentang apa yang sedang berlaku. Malangnya, sebahagian lagi umat Islam kini diheret menghabiskan masa dengan masalah dalaman yang sentiasa diapikan untuk melemahkan diri sendiri.

Antaranya masalah perkauman dan perbalahan antara mazhab seperti Sunni, Syiah dan Khawarij yang sudah ketinggalan zaman. Begitu juga, masalah Salafi dan Khalafi, serta Wahhabi dan Asya‘irah Maturidiyyah yang terus berlarutan. Hal ini berlaku kerana semua buta sejarah umat sendiri dan terjerat dalam permainan musuh.

Sedangkan perbezaan tersebut itu telah wujud sejak zaman awal yang menjadi perbincangan ilmu yang tidak memecahbelahkan kesatuan umat Islam. Hal ini demikian kerana, umat terdahulu tetap berpegang kepada rukun yang sama dan bersatu dalam menghadapi musuh.

Hanya segelintir sahaja dalam kalangan umat Islam yang bersikap melampau, sehingga akhirnya mereka itu tersesat. Akan tetapi, kini perbezaan tersebut dijadikan batu api oleh musuh disebabkan ramai yang jahil terhadap sejarah dan perkembangan ilmu Islam pada setiap zaman.

Sejak merebaknya kejahilan inilah, umat Islam menjadi lemah dan memakan diri sendiri. Sehinggakan mereka sanggup melakukan perang saudara dengan senjata yang dibekalkan oleh musuh dan menghanguskan kekayaan bagi membunuh saudara sendiri, bukannya menghadapi musuh yang sebenar.

Dalam keadaan yang genting ini, hanya segelintir daripada negara Islam yang memberikan perhatian dan simpati. Walaupun Masjid al-Aqsa dikecewakan, namun tugas mempertahankan tanah suci itu diambil alih oleh kebangkitan Islam di Palestin.

Kebangkitan Islam itu berlaku setelah ia berubah daripada semangat kebangsaan jahiliah yang gagal menyatukan umat, sehingga ditubuhkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) setelah berlaku peristiwa yang membakar mimbar Masjid al-Aqsa pada tahun 60-an dahulu. Kebangkitan yang dicetuskan dengan penubuhan OIC itu tidak bermaya dan hanya tinggal gusi tanpa giginya. Perkara ini sekali gus membuktikan kebenaran sabda Rasulullah SAW:

“‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.”

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah mereka berada?”

قَالَ: “بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

Rasulullah SAW bersabda: “Di Baitul Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)

Mereka yang mengecewakan Masjid al-Aqsa kerana hilang jati diri Islamnya menjadi hina. Hal ini demikian kerana, mereka meninggalkan kewajipan berjihad yang telah diwajibkan sepertimana yang pernah dialami oleh Bani Isra’il yang dimurkai oleh Allah SWT.

Hanya umat Islam yang memberikan perhatian terhadap masalah terkini dan menunaikan kewajipannya sahaja akan selamat di dunia hingga akhirat. Adapun mereka yang tidak memberikan sedikit pun perhatian, tiada kesedaran dan tidak menunaikan kewajipan, golongan tersebut pasti akan hanyut dibawa arus kesesatan yang dimurkai oleh Allah SWT.

Langkah melakukan normalisasi oleh beberapa negara Arab dan Islam sebenarnya menggalakkan Zionis untuk lebih mengganas, kerana ia menghalalkan segala tindakan melampau yang pernah dilakukan.

Perkara tersebut merupakan perkara yang paling malang bagi mereka yang melakukan normalisasi terhadap musuh yang paling dilaknat Allah SWT. Hal ini disebabkan firman Allah SWT yang menjadi petunjuk sepanjang zaman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ وَقَدْ كَفَرُوا بِمَا جَاءَكُمْ مِنَ الْحَقِّ…١

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kalian mengambil musuh-Ku dan musuh kalian menjadi tema-teman setia kalian, dengan cara kalian menyampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang Mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada antara kalian dengan mereka, padahal sesungguhnya mereka telah ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kalian…” (Surah al-Mumtahanah: 1)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 25 Jumadal Ula 1443 / 30 Disember 2021