Oleh: Fatiha Mohamad
13 Januari 2025
KINABATANGAN – Program Larian Lamag 2025 yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Kinabatangan menerima penyertaan lebih 200 peserta dari pelbagai golongan seperti veteran, lelaki dan wanita terbuka, serta peserta cilik dari Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Kinabatangan.
Acara ini bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat sambil mengeratkan hubungan antara PAS dan masyarakat setempat.
Program larian ini dimulakan seawal jam 6.00 pagi di Dataran Kinabatangan dan peserta perlu menempuh jarak sejauh 7 kilometer untuk menamatkan larian.
Kesemua peserta menunjukkan semangat tinggi dan keazaman yang luar biasa sepanjang acara berlangsung.
Dalam ucapan majlis penutupan, Ketua Pemuda PAS Kinabatangan Jumaidin Lakalla berkata ‘program ini bukan sahaja banyak memberi manfaat kepada tubuh badan kita agar kekal sihat, tetapi juga merapatkan lagi hubungan antara PAS dengan masyarakat Kinabatangan.”
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua penaja dan penyumbang yang telah memberi sokongan, khususnya dari segi kewangan bagi memastikan perjalanan program ini berjalan dengan baik.
“Ribuan terima kasih buat semua penaja dan penyumbang yang banyak membantu terutama dari segi kewangan dalam menjayakan program kali ini,” tambah beliau.
Program Larian Lamag 2025 ini telah berjaya menyuntikkan semangat yang tinggi dan kesatuan dalam kalangan peserta, selain memberi platform untuk menggalakkan aktiviti fizikal dalam kalangan masyarakat Kinabatangan.