PAS Pulau Pinang melahirkan rasa kekecewaan dengan pembukaan kasino serta pusat judi di musim pandemik yang makin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Isu pembukaan kasino ini mendapat perhatian yang meluas setelah terdapat kluster COVID-19 yang berpunca daripada sebahagian pelancong yang positif dari Alor Setar, Kedah telah pergi melancong ke Genting Highlands melalui konsep gelembung perjalanan domestik atau ‘travel bubble’ untuk sektor pelancongan.
Oleh itu, PAS Pulau Pinang berharap kerajaan mengambil pengajaran daripada kluster ini dan memantau pengoperasian kasino dan juga pusat judi di musim pandemik sekarang ini.
PAS Pulau Pinang juga merakamkan sekalung penghargaan kepada Menteri Kanan Pertahanan, YB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas arahan segera dan tegas penutupan serta merta kasino di Genting Highlands.
Di kesempatan ini juga, kami menzahirkan kekaguman dan syabas dengan tindakan segera anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) yang telah menjalankan serbuan ke atas beberapa premis perjudian dalam “Ops Dadu Bersepadu” di daerah Seberang Perai Utara baru-baru ini.
Kami melihat situasi ini sebagai satu petanda dan usaha yang tegas daripada kerajaan hari ini agar pihak berkuasa menguatkuasakan lagi pengharaman judi dan juga kasino lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 ini.
Judi adalah satu perbuatan yang tidak bermoral bahkan diharamkan dalam Islam. Hal ini perlu disekat aktivitinya kerana hanya akan menambahkan lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat negara ini.
“Islam Memperkukuh Perpaduan”
Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang
26 Mei 2021