Home Minda Presiden

Islam itu paling mulia dan kebal, tidak mampu dihina dan dijatuhkan

380
SHARE

Minda Presiden PAS
ISLAM ITU PALING MULIA DAN KEBAL, TIDAK MAMPU DIHINA DAN DIJATUHKAN


Islam ialah agama Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa, Pencipta alam semesta dan Tuhan yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan serta kelemahan. Begitulah Allah SWT juga memelihara Islam sebagai satu-satunya agama yang diterima-Nya.

Islam ditetapkan menjadi agama para anbiya’, para malaikat dan seluruh alam yang diciptakan-Nya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama lain selain daripada agama Allah? Padahal kepada-Nya jua tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya jua mereka dikembalikan. (83); Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada nabi-nabi seperti Ibrahim, lsma‘il, Ishaq, dan Ya‘qub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada nabi-nabi seperti Musa dan ‘Isa, dan sekalian nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada Allah jua kami berserah diri (Islam).’ (84); Dan sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada Hari Akhirat kelak daripada kalangan orang-orang yang rugi. (85)” (Surah Ali ‘Imran: 83-85)

Islam tetap mulia dan kebal sehingga Hari Kiamat. Sehinggakan, semua pihak yang menentangnya pasti akan dibinasakan di alam dunia sebelum meninggalkannya, bahkan akhiratnya kelak pasti akan lebih dahsyat hukumannya.

Malah, para nabi dan para malaikat, serta pendukungnya juga haram dihina, bukan sahaja penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT menetapkan Islam pada akhir zaman ini bermula dalam keadaan yang paling mencabar, apabila Islam bermula di tengah-tengah masyarakat Arab paling terpencil di tengah padang pasir. Sebuah masyarakat yang buta huruf, paling jahil, bodoh, bahkan bersikap jahat lebih teruk daripada binatang buas sehingga sanggup membunuh anak perempuan kerana menganggapnya tidak berguna untuk berperang.

Bapa para anbiya’, Nabi Ibrahim AS bersama Islam dipilih oleh Allah SWT untuk membuka Kota Makkah, sehinggakan Baginda tetap disanjung oleh penganut semua agama. Selanjutnya, Baginda AS diperintahkan membina Kaabah yang menjadi kiblat kepada seluruh penganut Islam pada akhir zaman.

Sewaktu bala tentera bergajah datang bagi merobohkan Kaabah yang telah dibina itu, binaan itu dalam keadaan tanpa kawalan manusia yang mampu mempertahankannya. Lantas, Allah SWT mengutuskan bala tenteranya sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Quran, kewujudannya diketahui dan dilihat dengan benar oleh masyarakat pada zaman itu. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصۡحَٰبِ ٱلۡفِيلِ١ أَلَمۡ يَجۡعَلۡ كَيۡدَهُمۡ فِي تَضۡلِيلٖ٢ وَأَرۡسَلَ عَلَيۡهِمۡ طَيۡرًا أَبَابِيلَ٣ تَرۡمِيهِم بِحِجَارَةٖ مِّن سِجِّيلٖ٤ فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٖ مَّأۡكُولِۢ٥

“Tidakkah kamu mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1); Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2); Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berbondong-bondong. (3); Yang melontar mereka dengan batu-batu daripada sejenis tanah yang dibakar keras. (4); Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat. (5)” (Surah al-Fil: 1-5)

Dalam keadaan keseorangan bersama hanya dengan beberapa orang sahabat yang setia, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW agar menerima perintah-Nya menjadi Rasul terakhir kepada seluruh manusia. Baginda SAW dilantik menjadi Rasul dalam keadaan Makkah terletak di bumi paling miskin kerana ketiadaan sumber harta yang memberikan sumbangan.

Selain itu, kota suci itu juga dikepung oleh jahiliah Arab yang paling ganas dan diikuti dengan kuasa-kuasa besar dunia yang tidak memberikan laluan mudah kepada Islam yang dibawa oleh Baginda. Beginilah ketetapan Allah SWT bagi memulakan Islam pada akhir zaman kepada seluruh manusia ketika zaman terakhir ajal dunia.

Berita kedatangan rasul akhir zaman telah diaturkan dan disebutkan dalam semua kitab suci terdahulu. Justeru, kedatangannya ditunggu-tunggu oleh para paderi dan sami yang kuat berpegang kepada agama serta manusia yang bijaksana dan masih bersifat mengikut fitrahnya. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٤٦ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ١٤٧

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian). (146); Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali kamu termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu. (147)” (Surah al-Baqarah: 146-147)

Oleh itu, Islam ialah petunjuk Allah SWT yang terbaik diterima oleh mereka yang bijak dalam mencari kebenaran. Bahkan, ia juga diterima oleh mereka yang paling lemah ditindas serta mahu dibela dan dibebaskan, sekalipun tidak mudah diterima oleh manusia jahil sebegitu rupa. Maka, bermula dengan ejekan, penghinaan dan diikuti dengan kezaliman yang sentiasa memuncak.

Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana telah menetapkan bahawa rasul yang dilantik dan tempat bermulanya penyebaran Islam mempunyai kebijaksanaan yang tidak mampu difikirkan oleh akal manusia biasa. Islam sekali-kali tidak mampu dihalang daripada mempengaruhi orang yang bijak dan lemah tertindas.

Allah SWT memberikan suatu semangat kepada Rasulullah SAW melalui firman-Nya:

فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٩٤ إِنَّا كَفَيۡنَٰكَ ٱلۡمُسۡتَهۡزِءِينَ٩٥ ٱلَّذِينَ يَجۡعَلُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَۚ فَسَوۡفَ يَعۡلَمُونَ٩٦ وَلَقَدۡ نَعۡلَمُ أَنَّكَ يَضِيقُ صَدۡرُكَ بِمَا يَقُولُونَ٩٧ فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ ٱلسَّٰجِدِينَ٩٨ وَٱعۡبُدۡ رَبَّكَ حَتَّىٰ يَأۡتِيَكَ ٱلۡيَقِينُ٩٩

“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah kamu hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir Musyrik itu. (94); Sesungguhnya, Kami tetap memelihara dan mengawalmu daripada kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu. (95); (Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya). (96); Dan demi sesungguhnya, Kami mengetahui, bahawa kamu bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. (97); Oleh itu, bertasbihlah kamu dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah daripada kalangan orang-orang yang sujud. (98); Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin. (99)” (Surah al-Hijr: 94-99)

Seterusnya Allah SWT menegaskan kegagalan semua kumpulan yang menentang Islam melalui firman-Nya:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ٩

“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. (8); Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama (dan ajaran-ajaran yang lain) meskipun orang Musyrik membenci. (9)” (Surah al-Saff: 8-9)

Allah SWT juga memerintahkan kepada umat Islam supaya terus beristiqamah bersama Islam sebagaimana firman-Nya:

ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ…٣

“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kalian) daripada agama kalian (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kalian takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kalian takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kalian agama kalian, dan Aku telah cukupkan ni‘mat-Ku kepada kalian, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kalian…” (Surah al-Ma’idah: 3)

Setelah berlalu perjalanan sejarah 15 abad atau hampir 1500 tahun lamanya, segala usaha dan langkah yang dirancang untuk menentang Islam dan menghinanya ternyata menemui kegagalan.

Sehinggakan, musuh memilih cara yang paling agresif dengan mencetuskan perang bersenjata secara bersekutu. Keadaan ini bermula dengan berlakunya Perang Ahzab (tentera bersekutu Yahudi dan Musyrikin), sehinggalah meletusnya Perang Salib yang menjajah secara rakus, setelah mereka gagal berhujah.

Semua perancangan jahat yang diaturkan itu kalah dan gagal tersungkur dalam perjuangannya bagi menentang Islam. Mereka mahu memadamkan cahaya Islam, namun sebaliknya cahaya Islam menembusi semua negara kuasa besar di timur dan barat yang bersatu memerangi mereka dengan segala cara.

Bahkan, sehingga kini mereka masih lagi tidak mampu menjawab cabaran terhadap mereka supaya melawan secara berhujah terhadap kebenaran al-Quran sebagai kitab mukjizat ilmu. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمۡ فِي رَيۡبٖ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُواْ بِسُورَةٖ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُواْ شُهَدَآءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ٢٣ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ وَلَن تَفۡعَلُواْ فَٱتَّقُواْ ٱلنَّارَ ٱلَّتِي وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَٰفِرِينَ٢٤

“Dan jika kalian ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kalian percaya boleh menolong kalian selain daripada Allah, jika betul kalian orang-orang yang benar. (23); Maka, jika kalian tidak dapat menciptakannya, dan sudah tentu kamu tidak dapat melakukannya, maka peliharalah diri kalian dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya terdiri daripada manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir. (24)” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Makhluk yang bijak menipu bernama Iblis itu pun gagal menghapuskan Islam. Malah, mereka hanya berjaya mengumpul seramai mungkin teman mereka ke neraka, daripada kalangan raja dan pemimpin yang paling berkuasa di alam dunia yang kecil, termasuk para ilmuwan yang menentang Islam yang dianggap golongan yang paling bijak.

Maka, golongan yang bodoh akalnya tanpa ilmu dan bersifat liberal lebih daripada binatang yang tidak berakal kerana hidup bebas menyamakan manusia dengan binatang dan perjuangannya adalah terlalu rapuh untuk mencabar Islam dan Rasul-Nya SAW.

Harta yang banyak disumbangkan kepada tentera upahan dalam kalangan NGO, individu dan semua media yang dikhadamkan bagi menentang Islam secara nyata dan bersembunyi ialah pengecut dan cuma memberanikan diri. Mereka itu hanya laksana mencurahkan garam di lautan yang luas. Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ لِيَصُدُّواْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيۡهِمۡ حَسۡرَةٗ ثُمَّ يُغۡلَبُونَۗ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحۡشَرُونَ٣٦ لِيَمِيزَ ٱللَّهُ ٱلۡخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ وَيَجۡعَلَ ٱلۡخَبِيثَ بَعۡضَهُۥ عَلَىٰ بَعۡضٖ فَيَرۡكُمَهُۥ جَمِيعٗا فَيَجۡعَلَهُۥ فِي جَهَنَّمَۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٣٧

“Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka Jahanam. (36); Kerana Allah hendak membezakan kalangan yang jahat (golongan yang ingkar) daripada kalangan yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu sebahagiannya bersatu dengan sebahagiannya yang lain, lalu kesemuanya ditimbunkan, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi. (37)” (Surah al-Anfal: 36-37)

Allah SWT mempunyai bala tentera yang dapat dilihat dan tidak dapat dilihat dalam mempertahankan Islam sebagai agama-Nya, dan sentiasa bersedia dan bersiap siaga terhadap mereka yang menentang Islam. Hal ini termasuklah tampil mempertahankan Islam oleh seorang Muslim yang paling jahat dan jahil, tetapi individu tersebut mempunyai keimanan yang lebih baik daripada orang yang paling bijak akal dan ilmunya.

Orang yang bijak tetapi tidak beriman menjadikan diri mereka itu tidak berguna. Namun, orang yang jahat dan jahil, tetapi beriman itu tetap berguna. Perkara ini berpandukan kepada sabda Rasulullah SAW:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ إِلَّا مُؤْمِنٌ، ‌وَإِنَّ ‌اللَّهَ ‌لَيُؤَيِّدُ ‌هَذَا ‌الدِّينَ ‌بِالرَّجُلِ ‌الفَاجِرِ.

“Tidak masuk syurga melainkan oleh seorang yang beriman dan (kadang kadang) Allah menolong agamanya dengan orang yang jahat.” (Riwayat al-Bukhari 6606)

Tanpa dinafikan setiap penganut Islam mempunyai kewajipan untuk memuliakan Islam dan mempertahankannya. Namun, apabila dalam kalangan mereka yang baik pada zahirnya tiada yang berani, maka Allah SWT memunculkan kalangan yang jahil dan jahat bagi mempertahankan Islam sehingga Islam tetap terpelihara buat selama-lamanya.

Bahkan, bala tentera Allah SWT terdiri daripada kalangan semua makhluk yang nyata dan ghaib, bukan sahaja manusia. Termasuklah dalam kalangan malaikat dan jin, serta binatang dan angin taufan, guruh, petir, awan di langit, air di lautan dan lain-lain tidak terhingga banyaknya.

Mereka yang menentang Islam itu diberikan peluang seluas-luasnya supaya insaf dan bertaubat atau lebih melayakkan diri mereka menjadi ahli neraka. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

وَلَا يَحۡزُنكَ ٱلَّذِينَ يُسَٰرِعُونَ فِي ٱلۡكُفۡرِۚ إِنَّهُمۡ لَن يَضُرُّواْ ٱللَّهَ شَيۡ‍ٔٗاۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ أَلَّا يَجۡعَلَ لَهُمۡ حَظّٗا فِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٌ١٧٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡكُفۡرَ بِٱلۡإِيمَٰنِ لَن يَضُرُّواْ ٱللَّهَ شَيۡ‍ٔٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ١٧٧ وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَنَّمَا نُمۡلِي لَهُمۡ خَيۡرٞ لِّأَنفُسِهِمۡۚ إِنَّمَا نُمۡلِي لَهُمۡ لِيَزۡدَادُوٓاْ إِثۡمٗاۖ وَلَهُمۡ عَذَابٞ مُّهِينٞ١٧٨

“Dan janganlah kamu berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera mencampakkan diri ke dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun. Allah menetapkan tidak akan memberikan kepada mereka (balasan syurga) pada Hari Akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar. (176); Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (177); Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak). (178)” (Surah Ali ‘Imran: 176-178)

Nabi Ibrahim AS yang membawa Islam gagal dimatikan dengan nyalaan api yang besar oleh Raja Namrud iaitu kuasa besar tunggal pada zamannya. Sebaliknya, Namrud pula yang dibinasakan oleh bala tentera nyamuk yang kecil.

Nabi Musa AS mencabar Bani Isra’il yang menentangnya:

وَقَالَ مُوسَىٰٓ إِن تَكۡفُرُوٓاْ أَنتُمۡ وَمَن فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا فَإِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ٨

“Dan Nabi Musa berkata: ‘Jika kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya mengingkari (ni‘mat Allah), maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 8)

Kelahiran Nabi Musa AS yang dihalang pada asalnya kerana bimbang jika ada yang lahir membawa Islam. Halangan itu dilakukan oleh  Raja Mesir yang paling zalim, sehingga sanggup membunuh setiap anak lelaki yang dilahirkan apabila mendapat ramalan kelahirannya daripada ahli nujum. Tiba-tiba Baginda AS dibesarkan dalam mahligainya sendiri dan Allah SWT menenggelamkan Firaun serta bala tenteranya ke dalam laut.

Begitulah negara kuasa besar yang menjadi penjajah pada zaman mutakhir, apabila mereka berjaya menjatuhkan kerajaan yang melindungi Islam dan umatnya. Walaupun kerajaannya berjaya dijatuhkan, tanah air dan rakyatnya pula dipecah belah dan diperhambakan, namun Islamnya gagal dihapuskan. Malah, cahaya petunjuknya juga gagal dihalang sehingga ia berjaya menembusi ke dalam semua negeri penjajah itu.

Negara besar penjajah pula satu demi satu dijatuhkan secara silih berganti. Manakala Islam pula secara silih berganti penganut dan pembawanya tetap berterusan mara sehingga ia tidak mampu dikalahkan lagi, sekalipun semua dalam kalangan yang bermusuh itu bersatu menentang Islam.

Para ilmuwan yang ditugaskan mengkaji ajaran Islam bagi merancang untuk menentang, menghina dan menghapuskannya juga menghadapi kegagalan, sehingga ada yang menyerah kalah dan memeluk Islam. Hanya tinggal golongan yang degil dan sombong yang tidak layak mendapat hidayah atau golongan yang jahil bodoh melulu yang ditenggelamkan bersama kejahilannya.

Seterusnya berbagai-bagai ajaran salah mula disebarkan dalam masyarakat Islam, termasuklah ajaran yang mencetuskan kekeliruan dalam pemikiran umat, semunya kalah dan hilang ditelan zaman.

Apa yang menarik, setelah itu betapa banyaknya buku-buku penulisan tamadun Islam disimpan dan dicuri ilmu sains dan teknologi yang terkandung dalamnya bagi membina kemajuan dan kekuatan tanpa elemen hidayah kerana ia telah diasingkan daripada agamanya. Sehinggakan, kemajuannya merosakkan alam sekeliling dan sedang membinasakan mereka yang ada bersamanya.

Akan tetap wujud kerajaan bersama rakyat yang mempertahankan Islam walaupun dalam keadaan paling lemah, namun Islam tidak akan mampu dikalahkan oleh musuh-musuhnya.

Firman Allah SWT:

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠

“… Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj: 40)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulhijjah 1443 / 22 Julai 2022