Home Minda Presiden

Hikmah bencana menyegarkan perpaduan

197
SHARE

Minda Presiden PAS
HIKMAH BENCANA MENYEGARKAN PERPADUAN


Dalam kesedihan menghadapi bencana banjir besar yang tidak diduga dan suatu yang berada di luar ramalan manusia, namun masih ada segelintir pihak yang menimbulkan keriuhan. Walau bagaimanapun, dalam keadaan berlakunya bencana banjir yang besar, terdapat suatu hikmah yang besar maknanya, sekalipun terdengar keriuhan itu.

Walaupun ada pihak yang bersuara lantang laksana ayam yang hanya bertelur sebiji sahaja kerana itulah kemampuannya. Akan tetapi, suaranya bising riuh hingga seantero negara seolah-olah bertelur beratus biji. Malah, ada pula kalangan mereka bersikap laksana penyu yang tidak berbunyi, tetapi telurnya banyak sampai beratus biji.

Begitulah ada kumpulan yang ramai para petugasnya dan boleh dikerah pada bila-bila masa sahaja. Bahkan, ada juga kalangan mereka yang terhad kemampuannya namun masih turun kelapangan.

Selain itu, ada pula kalangan yang berlagak seperti seorang jeneral yang tidak berpaku tanpa bala tentera, namun suara tempiknya laksana mengerahkan ribuan bala tentera. Golongan sedemikian hanya menjadi pemerhati yang hanya tahu bersuara tidak berkemampuan untuk turun kelapangan yang sudah ditenggelami air kerana tidak mampu mengayuh sampan dan berenang.

Begitu juga, ada kalangan yang bersikap laksana mereka yang masih mahu bermesyuarat terlebih dahulu, sewaktu mendapat laporan bencana kebakaran yang sedang berlaku semata-mata bagi mengesahkan minit mesyuarat yang lalu. Sehinggakan, mereka tidak boleh membuat keputusan dengan kadar yang segera untuk bergerak ke tempat berlakunya bencana, akhirnya kawasan kebakaran yang sudah terbakar menjadi abu.

Namun, kejadian bencana banjir besar yang tidak diduga itu mendapat simpati daripada semua pihak tanpa mengira rupa bangsa, perbezaan agama dan fahaman politik. Tujuannya hanyalah semata-mata demi menyelamatkan nyawa sesama manusia dan harta benda, perkara yang menjadi rukun hidup manusia yang perlu diselamatkan seberapa yang dapat dilakukan. Suasana beginilah yang dapat menyuburkan konsep perpaduan rakyat yang mesti diusahakan.

Islam menetapkan fadilat yang sangat besar bagi mereka yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa. Sehingga Rasulullah SAW menyebutkan diberikan rahmat dan keampunan Allah SWT kepada seorang yang turun ke telaga kerana tiada timba bagi mengambil air untuk diberi minum seekor anjing yang kehausan sehingga menjilat tanah, walaupun anjing itu najis mengikut hukum Islam.

Akan tetapi, dalam keadaan darurat hukum najis itu dimaafkan. Maka, usaha membantu manusia yang memerlukan pertolongan adalah lebih besar maknanya.

Apabila tugas sudah dilakukan atau selesai dilaksanakan, maka sudah pasti akan nampak kekurangan dan kelemahan yang ada. Inilah sifat yang terdapat pada makhluk kerana mereka bukanlah Tuhan yang Maha Berkuasa dan bersifat dengan segala sifat kesempurnaan. Bak kata pepatah Arab:

‌إِذَا ‌تَمَّ ‌شَيْءٌ ‌بَدَا ‌نَقْصُهُ … تَرقَّبْ زَوَالًا إِذَا قِيلَ تَمُّ.

“Apabila sudah selesai sesuatu kerja tampak kekuranganya # Tunggulah saat kemusnahannya, apabila mendabik dada semuanya sudah sempurna.”

Namun begitu, terdapat hikmah yang muncul ketika berlakunya darurat bencana, iaitu perpaduan dari segi simpati kemanusiaan. Inilah titik persamaan yang wajib dipegang dengan penuh tanggungjawab secara bersama, bukannya melecehkan sesama sendiri.

Sekiranya semua kemampuan dan kebolehan dapat dikumpul secara bersama atas titik simpati kemanusiaan yang sama, nescaya terkumpul satu kekuatan yang perkasa. Hal ini penting bagi menyelesaikan masalah yang berlaku pasca bencana banjir, pada masa yang sama mempunyai suatu kekuatan bagi menghadapi segala kemungkinan yang berlaku.

Sebaliknya, jika hanya mencari kelemahan untuk menjadi ruang yang tidak ikhlas bagi menaikkan diri dan menjatuhkan pihak yang dianggap lawan sepanjang masa walaupun ketika menghadapi bencana, maka tunggulah kemusnahan yang berulang. Hal ini demikian kerana, tidak dapat menyelesaikan masalah bersama, tetapi sentiasa mencari salah supaya memanjangkan masalah yang mampu diselesaikan bersama.

Di samping itu, kalangan mereka hanyalah menghabiskan masa bersama-sama masalah lain yang tidak mampu diselesaikan. Sehinggakan, sikap sedemikian itu menjadi tidak bermoral dalam perbezaan bagi menambah buruk keadaan yang sudah tidak bermoral.

Ketika berlaku bencana besar sekarang, sepatutnya bukan masa untuk berkelahi dan bertarung mahupun saling jatuh menjatuhkan. Akan tetapi, bersatu dengan tolong-menolong dalam membina dan bantu membantu bersama menanggung kelemahan serta nasihat menasihati dalam kesilapan yang berlaku.

Lebih parah lagi terhadap mereka yang suka menyebarkan kelemahan dan kekurangan pihak lain sekadar untuk melariskan berita murahan. Malah, mereka membuat provokasi yang sangat hina dan mempersendakan mereka yang telah berkorban.

Demikian itulah terdapat manusia yang hanya mempedulikan dirinya sahaja tanpa mempedulikan kehidupan bermasyarakat. Apabila berlakunya bencana kita dapat mengenali telatah manusia.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ١١٨ إِلَّا مَنْ رَحِمَ رَبُّكَ وَلِذَلِكَ خَلَقَهُمْ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ١١٩

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan manusia semuanya itu umat yang satu tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. (118); Kecuali orang-orang yang telah diberikan rahmat oleh Tuhanmu; dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menciptakan manusia. Dan dengan yang demikian itulah sempurna janji Tuhanmu: ‘Sesungguhnya Aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang derhaka).’ (119)”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 24 Jumadal Ula 1443 / 29 Disember 2021