Home Minda Presiden

Bertanya kepada pakar

216
SHARE


Minda Presiden PAS

 

BERTANYA KEPADA PAKAR


 

Pada suatu hari Rasulullah SAW berjalan-jalan di kawasan kebun kurma dan melihat para pekebun melakukan langkah pendebungaan (merenjis debunga tamar), lalu Baginda SAW bersabda:

 

لَوْ لَمْ تَفْعَلُوا لَصَلُحَ.

 

“Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik.”

 

Tiba-tiba pokok tamar tidak mengeluarkan buah yang lebat dan subur. Lalu, mereka mengadu kepada Rasulullah SAW berkenaan hasil yang tidak memuaskan. Maka, Baginda SAW bersabda:

 

أَنْتُمْ ‌أَعْلَمُ ‌بِأَمْرِ ‌دُنْيَاكُمْ.

 

“Kalian lebih mengetahui berkenaan urusan dunia kalian.” (Riwayat Muslim 2363)

 

Hadis ini menjadi pengajaran dalam urusan keduniaan, khususnya dalam urusan negara dan rakyat yang sangat besar amanahnya. Justeru, segala keputusan yang diambil hendaklah dirujuk kepada mereka yang ahli dan berkepakaran dalam lapangan masing-masing.  

 

Maka, dalam menghadapi wabak pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia, keputusan yang dilakukan hendaklah dirujuk kepada kalangan yang pakar dalam mengawal wabak dan segala aspek yang berkaitan dengannya.

Keputusan yang diambil sekali-kali tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana kalangan yang hanya melihat kepentingan golongan dan pihak tertentu, tanpa melihat kepada perkara asas dalam menghadapi wabak yang belum selesai ini.

 

Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu panduan dalam menghadapi keadaan wabak, yang dilaksanakan oleh para khalifah selepasnya secara selamat.

 

Saya percaya bahawa Majlis Raja-Raja yang bersidang baru-baru ini telah mendengar taklimat daripada semua pihak yang terlibat dengan tugas menghadapi wabak tersebut, dan telah mengambil maklum berkenaan segala kesan sampingan yang menganggu kehidupan rakyat seluruhnya.

 

Didoakan agar Allah SWT selamatkan negara kita.   

 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 7 Zulqa‘dah 1442 / 18 Jun 2021