Home Minda Presiden

Awas! Ini Zaman Yang Mengelirukan

2324
SHARE


Minda Presiden PAS

AWAS! INI ZAMAN YANG MENGELIRUKAN


Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا٣٦﴾

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’: 36)

Ayat di atas termasuk sebahagian daripada ayat yang panjang, ketika Allah SWT menyebutkan beberapa perkara pada sebelumnya dan diakhiri dengan firmanNya:

﴿ذَٰلِكَ مِمَّآ أَوۡحَىٰٓ إِلَيۡكَ رَبُّكَ مِنَ ٱلۡحِكۡمَةِۗ وَلَا تَجۡعَلۡ مَعَ ٱللَّهِ إِلَٰهًا ءَاخَرَ فَتُلۡقَىٰ فِي جَهَنَّمَ مَلُومٗا مَّدۡحُورًا٣٩﴾

“Perintah yang demikian itu ialah sebahagian daripada hikmah (kebijaksanaan) yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad SAW) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam Neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (daripada rahmat Allah).” (Surah al-Isra’: 39)

Rasulullah SAW pula memberikan amaran bahawa akan berlaku pada akhir zaman satu keadaan yang menjadi tanda kemusnahan alam ini. Sabda Baginda SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ”. قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: “الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ”.

Daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: “Akan datang melanda manusia tahun-tahun yang sangat menggodakan, sehingga dipercayai pembohong, dibohongi orang yang benar. Amanah diberikan kepada pengkhianat dan dikhianati orang yang benar-benar amanah. Golongan al-Ruwaibidhah (orang yang jahil) bercakap. Lalu ditanyakan: “Siapakah itu?” Sabda Baginda: Apabila orang yang bebal bercakap perkara yang  besar.” (Riwayat Ibn Majah 4036)

Kitab suci al-Quran adalah hidayah (petunjuk) dan mukjizat ilmu yang dipelihara oleh Allah SWT sehingga tibanya ajal dunia, yang ketika itu tulisan dan hafazan al-Quran akan dihapuskan.

Maka umat Islam yang setia kepada agamanya diperintahkan supaya sentiasa berpegang dengan al-Quran dan menjadikannya cahaya yang menyuluh kebenaran. Rasulullah SAW telah meninggalkan pusaka ilmu yang menunjukkan cara pelaksanaan al-Quran, khususnya apabila berlakunya sebarang pertelingkahan dalam semua perkara. Allah SWT berfirman:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah (secara mutlak) dan (taat secara bersyarat) kepada Ulil Amri (para umara’ yang berkuasa dan berilmu, serta para ulama’) dalam kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (saling berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu kembalikannya kepada Allah (Kitab al-Quran) dan RasulNya (Sunnah), jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Antara perkara yang paling besar dalam Islam ialah urusan politik yang diberikan peranan kepada manusia menguruskannya mengikut ketetapan Allah SWT. Politik merupakan sebahagian daripada ilmu feqah Islam yang sangat penting.

Malangnya ramai di kalangan umat Islam terpengaruh dengan ajaran bukan Islam yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga mengakibatkan munculnya orang-orang yang jahil terhadap agama. Lalu mereka itu bercakap dan menulis perkara melibatkan urusan politik menggunakan akal semata-mata tanpa merujuk kepada ilmu Islam yang menjadi sebahagian daripada mukjizat al-Quran dan kebijaksanaan Rasulullah SAW.

Pada akhirnya Islam sebuah agama yang indah dirosakkan. Apatah lagi pada zaman wujud kebebasan media, terdapat musuh Islam yang sanggup berbelanja besar menggunakannya sebagai alat bertujuan menyebarkan kekeliruan dan kesesatan, termasuklah untuk meragukan orang ramai terhadap Islam dan perjuangannya yang sebenar.

Ramai di kalangan penganut Islam yang hanya berfikir untuk mencari makan dan menjadi khadam mereka, semata-mata untuk mendapatkan imbuhan. Pada masa yang sama, mereka tidak menyedari bahawa pemikiran yang disebarkan itu sebenarnya menempah dosa yang berpanjangan sehingga meninggal dunia.

Allah SWT memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman, supaya berilmu dan beramal dengan ikhlas berkonsepkan aqidah yang benar-benar daripadaNya. Kemudian diwajibkan pula mendirikan solat lima kali sehari semalam, dengan doa yang sentiasa disebutkan dalam setiap rakaat:

﴿إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ٥ ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ٦ صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ٧﴾

“Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5); Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6); Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni’mat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7).” (Surah al-Fatihah: 5-7)

Kita disuruh agar memohon petunjuk ke jalan yang benar dengan mengikuti ajaran para nabi, orang-orang yang siddiq (benar kepercayaan dan amal), para syuhada’ (pejuang yang terbukti sehingga akhir hayat tidak menyeleweng dalam mengharungi perjalanan hidup) dan orang-orang yang soleh.

Begitu juga kita tidak ingin mengikuti jalan orang yang dimurkai oleh Allah SWT. Mereka itu daripada kalangan orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya, bahkan menyesatkan orang lain.

Selain itu, kita memohon kepada Allah dijauhkan daripada jalan orang-orang yang sesat tanpa ilmu dan pengetahuan. Lebih malang mereka di kalangan yang jahil murakkab sebagaimana ditakrifkan oleh Imam al-Ghazali iaitu mereka yang tidak tahu atau tidak sedar diri jahil masing-masing dan juga bersifat takabbur.

Pada suatu hari, Rasulullah SAW memberikan peringatan kepada para sahabat dan umatnya, lalu Baginda SAW melakarkan di atas tanah satu garis yang lurus dan dilakarkan cabang-cabang yang banyak, serta membacakan firman Allah:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah al-An’am: 153)

Seterusnya Baginda SAW bersabda:

هَذِهِ السُّبُلُ، وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.

“Cabang-cabang ini adalah jalan yang sesat, pada setiap cabang itu ada syaitan yang menggoda supaya bersamanya.” (Riwayat Ahmad 4437)

Allah SWT berfirman lagi dalam surah yang lain:

﴿وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوّٗا شَيَٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِي بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٖ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُۖ فَذَرۡهُمۡ وَمَا يَفۡتَرُونَ١١٢ وَلِتَصۡغَىٰٓ إِلَيۡهِ أَفۡ‍ِٔدَةُ ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡأٓخِرَةِ وَلِيَرۡضَوۡهُ وَلِيَقۡتَرِفُواْ مَا هُم مُّقۡتَرِفُونَ١١٣ أَفَغَيۡرَ ٱللَّهِ أَبۡتَغِي حَكَمٗا وَهُوَ ٱلَّذِيٓ أَنزَلَ إِلَيۡكُمُ ٱلۡكِتَٰبَ مُفَصَّلٗاۚ وَٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡلَمُونَ أَنَّهُۥ مُنَزَّلٞ مِّن رَّبِّكَ بِٱلۡحَقِّۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ١١٤ وَتَمَّتۡ كَلِمَتُ رَبِّكَ صِدۡقٗا وَعَدۡلٗاۚ لَّا مُبَدِّلَ لِكَلِمَٰتِهِۦۚ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ١١٥ وَإِن تُطِعۡ أَكۡثَرَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَخۡرُصُونَ١١٦ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ مَن يَضِلُّ عَن سَبِيلِهِۦۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١١٧﴾

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh daripada kalangan syaitan-syaitan manusia dan jin, sebahagiannya membisikkan kepada sebahagian yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdayakan pendengar. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu. (112); Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu. (113); (Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain daripada Allah, padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa al-Quran itu adalah diturunkan daripada Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) daripada golongan yang ragu-ragu. (114); Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatu pun daripada Kalimah-kalimahNya; dan Dialah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui. (115); Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalanNya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (116).” (Surah al-An’am: 112-116)

Kita mesti berwaspada pada zaman mutakhir yang canggih ini, kerana wujud golongan syaitan yang menggunakan media, tentera upahan dan sukarelawan untuk menyebarkan maklumat dan tulisan yang menarik. Tetapi menyesatkan akal sehingga menghilangkan jati diri umat Islam.

Pertama, ada sebahagian yang mendedahkan diri sendiri, bahkan ada yang menentang Islam secara terbuka seperti mempersendakan hukum Islam yang mereka fikirkan bodoh dan tidak bertamadun. Sehingga perbuatan mereka itu menunjukkan diri mereka sendiri paling tidak bertamadun di rimba.

Allah SWT berfirman:

﴿وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ٦٥ لَا تَعۡتَذِرُواْ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡۚ إِن نَّعۡفُ عَن طَآئِفَةٖ مِّنكُمۡ نُعَذِّبۡ طَآئِفَةَۢ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ مُجۡرِمِينَ٦٦﴾ 

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (65); Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah). (66).” (Surah al-Taubah: 65-66)

Kedua, ada juga kalangan mereka yang berpura-pura menyokong Islam secara provokasi, supaya dilaksanakan syariat Islam tanpa ada sifat bertafaqquh. Sedangkan mereka jugalah yang menjadi penghalang dan bersekongkol dengan musuh Islam kerana mahukan kemenangan dunia yang segera tanpa mempedulikan wawasan akhirat.

Firman Allah:

﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا١٣٩﴾ 

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafiq bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (138); (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafiq) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (139).” (Surah al-Nisa’: 138-139)

Allah SWT berfirman kepada orang-orang yang beriman:

﴿وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا٦٣﴾

“Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan: 63)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 6 Zulhijjah 1441 / 27 Julai 2020