Home Berita PAS Pahang

Undilah calon PAS bagi mengangkat PD

2612
SHARE

 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu menggesa agar pengundi-pengundi dalam PRK P.132 Port Dickson memilih calon PAS pada Sabtu ini memperjuangkan kelestarian alam sekitar setempat.

 

Sesuai dengan taglinenya calon PAS Lft.Kol (B) Haji Mohd Nazari Mokhtar ‘PD Sejahtera’, Andan yang juga Adun Beserah itu yakin mampu mengangkat Port Dickson kembali gemilang sebagai bandar pelancongan.

 

Sebelum itu Andan telah melawat Tanjung Agas  dan Kampung Teluk Pasir Panjang di daerah tersebut di mana keadaan sekitar dan pemandangan adalah terlalu teruk dan perlukan perubahan.

 

“Saya berada di Tanjung Agas, muara Sungai Linggi sempena kempen PRK PD. Yang memeranjatkan saya ialah sampah sarap di muara sungai yang berada dalam daerah Port Dickson ini yang begitu menyakitkan mata dan hati.

 

“Kita dapat lihat sampah, botol, plastik, kayu dari hulu sampai ke muara. Saya rasa keadaan ini sangat serius yang sepatutnya diberikan perhatian. Kerajaan PH walaupun baru memerintah lima bulan, ternyata mereka gagal mengangkat isu-isu alam sekitar ini,” katanya

 

Katanya, ketika melawat medan jeti nelayan Kampung Teluk Pasir Panjang pula, didapati kawasan tersebut amat menarik dan boleh dijadikan pusat pelancongan berasaskan perikanan namun  beberapa perkara didapati tidak diberi perhatian termasuk faktor keselamatan.

 

“Ada beberapa perkara seperti ketiadaan lampu, tidak mempunyai penghadang sementara kemudahan-kemudahan lain pula kelihatan terbiar dan semak-samun dibiarkan.

 

“Ini menunjukkan kawasan-kawasan ini tidak diselenggara dengan baik dan keutamaan serta fokus tidak diberikan. Jika berterusan bagaimana untuk dapat menggamit pengunjung-pengunjung?.

 

“Sedangkan Port Dickson berpotensi menjadi menjadi bandar pelancongan yang mempunyai manfaat besar  kepada rakyat dan negeri,” ujarnya.

 

Tambahnya, beliau yakin dengan calon PAS yang akan dapat memberi komitmen dan tumpuan sehingga Port Dickson  akan cemerlang semula dan dalam masa yang sama dapat memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sendiri.

 

“Oleh itu saya berharap dan menyeru agar pengundi-pengundi membuat satu perubahan demi kedudukan yang lebih baik. Jadikanlah ini salah satu titik perubahan bahawa kerajaan yang tidak cakna tidak semudah itu mendapat mandat daripada rakyat.

 

“Satu perkara penting, perlu buat perubahan supaya tidak berlaku lagi pada masa akan datang.”