Home Berita PAS Perlis

Tiada Kemuliaan Tanpa Ketaatan Kepada Allah

714
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Manusia yang berusaha mencari kemuliaan pada jalan yang lain daripada jalan ketaatan kepada Allah sebenarnya adalah golongan yang terpedaya dengan tipu daya syaitan, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ustaz Massaudi Hj Din.

Jelasnya, Allah SWT telah menjelaskan kepada manusia bahawa hanya menerusi ketaatan kepadaNya sahajalah, manusia akan dimuliakan.

“Barangsiapa yang ingin mencari kemuliaan maka kemuliaan itu ada di sisi Tuhan iaitu dengan cara bagaimana kita mentaati Allah.

Dalam istilah yang lebih mudah, sebarang bentuk kemuliaan yang dicari oleh manusia tetapi ianya dicari bukan melalui mentaati Allah sebenarnya itu bukanlah kemuliaan di sisi Allah.

“Maka sebab itulah, syarat kemuliaan yang Allah kehendaki adalah ia mesti melalui cara yang telah ditentukan oleh Allah,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Subuh di Balai Islam MADI, dekat sini baru-baru ini. 

Menurutnya lagi, dalam usaha mencari kemuliaan, umat Islam juga diingatkan agar sentiasa melipatgandakan amal soleh di samping mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang dilarangNya.

Ini kerana tambah beliau, Allah telah memberikan amaran dalam Al-Quran bahawa golongan manusia yang gemar menentang perintah Allah SWT bagi mereka azab yang amat pedih di akhirat kelak.

“Ada juga dalam kalangan manusia hari ni, yang sekadar berzikir dengan nama Allah, tetapi tidak ikut perintah-Nya bahkan melawan pula perintah Allah.

“Lebih teruk lagi ada orang yang merancang pula untuk menghalang kebaikan dan melakukan kejahatan, mereka ini adalah kader-kader syaitan.

“Allah sebut Dia sediakan azab yang amat dahsyat buat mereka dan menjanjikan kepada mereka bahawasanya perancangan mereka itu pasti akan musnah (gagal),” ujarnya.

Justeru beliau menyarankan agar para pendokong perjuangan Islam sentiasa berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan sampai ke akhir hayat.