Saya merakamkan ucapan takziah di atas pemergian sahabat baik saya, Dr. Mehdi Akif yang telah dijemput oleh Allah semasa menjalani hukuman di penjara oleh regim As-Sisi. Saya berasa sangat sedih kehilangan seorang sahabat tetapi saya gembira kerana hidupnya diakhiri dengan istiqamah dalam perjuangan sehingga nafasnya terakhir.
Benarlah janji Allah S.W.T:
مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23)
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun” (Surah Al-Ahzab: 23)
Marilah kita berdoa supaya diterima amalnya yang soleh oleh Allah, pengorbanannya dalam perjuangan Islam dan ditempatkan bersama para rasul A.S dan golongan syuhada’. Sama-sama kita menunaikan solat jenazah ghaib ke atas beliau.
“Sejahtera Bersama Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Muharram 1439 / 23 September 2017