Home Minda Presiden

Palestin dibiarkan terbakar

102
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 15 / 2023]
PALESTIN DIBIARKAN TERBAKAR


Negara haram Israel yang ditubuhkan di bumi Palestin pada tahun 1948, laksana rompakan pada waktu siang hari dengan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa. Kini, mereka lebih mengganas lagi apabila bertindak membunuh rakyat Palestin yang asal, merobohkan rumah-rumah kediaman, merampas tempat perniagaan dan kebun-kebun yang dimiliki sejak turun-temurun selama beberapa abad dan bersilih ganti antara generasi.

Alasannya adalah semata-mata bagi menempatkan pendatang haram Yahudi yang datang dari seluruh pelosok dunia, demi menegakkan Negara Agung Israel (Greater Israel). Sebuah negara yang dibatasi sempadan bermula dari Sungai Nil di Mesir hingga Sungai Furat di Iraq, termasuk Kota Tanah Suci Madinah hingga Yanbu‘ di Arab Saudi, dan seterusnya menakluk dunia. Perjuangan menegakkan negara haram ini telah ditanam dalam fikiran yang menjadi kepercayaan penganut Yahudi Zionis.

Lebih malang lagi, alasan agama Yahudi dijadikan hujah mereka, kononnya untuk mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman AS bagi memimpin dunia. Sesungguhnya, ketetapan Allah SWT hanyalah kepada Rasul-Nya yang adil iaitu kalangan mereka yang beramal dengan kitab Allah, bukanlah untuk bangsa Yahudi yang dilaknat Allah dan merupakan pembunuh para anbiya’, pemimpin yang adil dan para ulama’.

Maka, apa yang dinamakan sebagai penyelesaian dua negara (two-state solution) sebagaimana yang diuar-uarkan, dalam keadaan salah satu daripadanya adalah negara untuk rakyat Palestin hanyalah omong kosong kepada negara Arab dan Islam. Dalam keadaan Israel sendiri juga tidak menerima konsep tersebut.

Sebenarnya, Israel sedang membakar Palestin melalui tindak-tanduknya yang sangat melampau. Pendatang haram Yahudi secara bertali arus datang dan dibawa masuk bagi mengisi bumi Palestin yang terus dirampas. Malah, mereka mendapat perlindungan daripada pihak tentera dan polis Yahudi, serta bekalan senjata bagi membunuh sesiapa yang melawan.

Kini, pihak pelampau Zionis menceroboh masuk pula ke dalam Masjid al-Aqsa (tanah suci ketiga bagi umat Islam), dengan tujuan merobohkannya untuk digantikan dengan kuil Yahudi (Haikal Sulaiman). Mereka mendapat dukungan tentera dan polis Yahudi. Adapun para jemaah yang mempertahankannya pula hanya bertahan dengan batu dan tangan kosong.

Rakyat Palestin yang mempertahankan agama, tanah air, keluarga dan harta mereka dianggap sebagai pengganas. Sebaliknya, kumpulan pelampau Yahudi pula dianggap kumpulan yang wajib diberikan perlindungan dan keamanan.

Negara-negara Barat yang bertindak menubuhkan negara haram Israel itu terus membekalkan kepada mereka dengan segala jenis senjata, termasuk senjata pemusnah yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa. Perkara itu dibenarkan kepada negara haram Israel, tetapi diharamkan kepada negara jirannya termasuklah bagi tujuan menjadi salah satu sumber tenaga. Adapun ajaran Islam mengharamkannya melainkan untuk tujuan keamanan.

Negara haram Israel telah membina teknologi persenjataan pemusnah yang diharamkan sejak tahun 60-an lagi dengan bantuan negara-negara seperti Perancis, British dan Amerika Syarikat, apabila mereka membina pusat nuklear di Bi’ru al-Sab‘u atau Be’er-Sheva (Negev). Negara yang terus berpura-pura berusaha ke arah perdamaian di Palestin dan terus membawa penyelesaian dua negara untuk Yahudi dan rakyat Palestin.

Apa yang lebih menghairankan, penyelesaian yang menipu ini didukung oleh beberapa negara Arab dan Islam yang memaksa pihak Palestin menerima penyelesaian yang sangat zalim itu. Namun begitu, majoriti rakyat Palestin tetap menolak dan meneruskan perjuangan mereka dengan gagah berani, sekali gus menepati janji Rasulullah SAW:

لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِك.

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, namun mereka dihimpit dengan tekanan dan berjuang sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW:

يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟

“Di manakah mereka berada, wahai Rasulullah?”

Rasulullah SAW bersabda:

بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

“Di Bait al-Maqdis dan di sekitarnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 3641, Ahmad, no. 22320 dan lain-lain. Lafaz hadis bagi Ahmad dalam Musnadnya)

Allah SWT telah menetapkan bahawa hanya Islam sahaja yang berjaya menangani masyarakat majmuk sehingga ke peringkat antarabangsa. Firman Allah SWT:

﴿…وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾

“…Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah al-Hajj: 40)

Sejarah membuktikan bahawa Palestin pernah diperintah oleh beberapa kuasa besar dunia yang tidak mampu membawa konsep kebebasan beragama dan tiada paksaan dalam beragama. Oleh sebab itu, berlakunya kezaliman terhadap rakyat yang tidak seagama dengan penakluknya.

Hanya Islam sahaja yang berjaya menyelamatkan keadaan, apabila berjaya membebaskan rakyat daripada penaklukan kerajaan Rom yang zalim pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA dan daripada cengkaman tentera Salib oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Keadaan ini membuktikan konsep keadilan kepada semua dan konsep tiada paksaan dalam agama, khususnya di Palestin yang menjadi tempat suci tiga bagi agama Samawi atau Kitabi (Islam, Kristian dan Yahudi).

Namun demikian, jasa Islam tidak dikenang oleh kaum Yahudi. Islam dahulu telah menyelamatkan mereka daripada penindasan semua kuasa besar yang tamak berkuasa menakluk dan menjajah, bukannya menjadi penyelamat sebenar.

Akhirnya, mereka mengambil kesempatan daripada perpecahan umat Islam yang berjaya diadudombakan melalui perbezaan kaum dan mazhab. Berpunca daripada kelemahan Kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah pada masa mutakhir sehingga dijatuhkan oleh sesama umat Islam sendiri.

Kejatuhan negara kuasa besar Islam itu membolehkan para penjajah daripada pelbagai negara berpakat dan membahagikan tanah air umat Islam, setelah mereka berjaya memecahbelahkannya, termasuk bumi Palestin.

Maka, berlaku situasi yang telah dinyatakan amarannya oleh Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ …٤٦﴾

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu…” (Surah al-Anfal: 46)

Palestin menjadi sebahagian daripada tanah jajahan British mengikut perjanjian Sykes-Picot pada tahun 1916, kemudiannya diserahkan kepada Zionis dengan pelaksanaan Perjanjian Balfour pada tahun 1917 yang terkenal antara penjajah British dan Zionis yang tidak berhak.

Justeru, ditubuhkan negara haram Israel bagi memenuhi perjuangan kumpulan Zionis  dan menjadi pengawal kepentingan negara penjajah di kawasan Asia Barat yang kaya dengan hasil gas dan petroleum yang menjadi sumber tenaga terkini. Selain itu, turut menjadi laluan paling strategik yang menghubungkan tiga benua besar; Asia, Afrika dan Eropah.

Di samping itu, tujuannya juga untuk mencegah kebangkitan semula umat Islam yang akan menjadi kuasa besar yang mentadbir dunia dengan aman dan adil. Allah SWT mendedahkan bahawa kebencian mereka adalah disebabkan dengki terhadap Islam, bukannya kerana benar. Firman Allah SWT:

﴿وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ …١٠٩﴾

“Sebahagian besar daripada kalangan Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat memesongkan kamu kepada kekufuran setelah kamu beriman, semata-mata kerana dengki yang (timbul) dalam diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran…” (Surah al-Baqarah: 109)

Maka, umat Islam, khususnya negara dan kerajaan Islam wajib kembali semula kepada asal usul mereka yang telah berjaya menyatukan umat Islam, lebih khusus lagi ialah negara-negara yang berjiran dengan Palestin. Buktikan bahawa kita benar-benar telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah, tidak lagi mengikut arahan mereka dalam menentukan nasib kita sendiri.

Firman Allah SWT:

﴿…إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ١١﴾

“…Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada sesiapa pun yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada sesiapa pun menjadi pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra‘d: 11)

Kita menerima berita gembira usaha perdamaian serantau antara Arab Saudi dan Iran, serta Turki dan Syria, manakala beberapa negara Afrika pula menunjukkan penolakan terhadap pengaruh Perancis.

Keadaan ini sangat menarik dan menjadi tanda yang positif dalam usaha membebaskan diri daripada pengaruh negara besar yang pernah menjajah dan campur tangan mereka yang tidak pernah ikhlas terhadap umat Islam. Pada masa yang sama, situasi ini menjadi titik ke arah penyatuan semula umat Islam.

Ingatlah kepada firman Allah SWT:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu kerana ni‘mat Allah, kamu menjadi orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Hanya dengan kembali kepada perpaduan umat sebagaimana yang ditunjuki oleh Allah SWT, Palestin dan Masjid al-Aqsa pasti akan berjaya diselamatkan. Manakala umat Islam dan negaranya pula berjaya menjadi negara bermaruah dan umat yang perkasa bagi menegakkan keadilan yang sebenar kepada seluruh dunia.

Negara dunia tidak akan kekal buat selama-lamanya, laksana adat dunia yang berputar, akan tiba giliran Islam pula. Hal ini demikian kerana, ajarannya masih teguh dan cahayanya tidak mungkin dapat dipadamkan seperti janji Allah yang Maha Berkuasa.

Tindakan yang diambil oleh negara Israel seumpama sedang membakar dirinya sendiri. Penubuhan negara haram itu sendiri mendapat bantahan daripada kalangan Neturei Karta, penganut Yahudi bermazhab Ortodoks. Kini, tercetus bantahan dalam negara Israel sendiri.

Malangnya, kalangan kerajaan Arab dan Islam tidak membaca ayat-ayat al-Quran dan hadis yang telah memberikan isyarat tersebut.  Maka, mereka mengulangi peristiwa yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

﴿هُوَ ٱلَّذِيٓ أَخۡرَجَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ مِن دِيَٰرِهِمۡ لِأَوَّلِ ٱلۡحَشۡرِۚ مَا ظَنَنتُمۡ أَن يَخۡرُجُواْۖ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُم مَّانِعَتُهُمۡ حُصُونُهُم مِّنَ ٱللَّهِ فَأَتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِنۡ حَيۡثُ لَمۡ يَحۡتَسِبُواْۖ وَقَذَفَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلرُّعۡبَۚ يُخۡرِبُونَ بُيُوتَهُم بِأَيۡدِيهِمۡ وَأَيۡدِي ٱلۡمُؤۡمِنِينَ فَٱعۡتَبِرُواْ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَبۡصَٰرِ٢﴾

“Dialah (Allah) yang mengeluarkan orang-orang kafir antara Ahli Kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran yang pertama. Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka dapat mempertahankan mereka daripada (seksa) Allah; maka Allah mendatangkan kepada mereka (hukuman) dari arah yang tidak mereka sangka-sangka. Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. Maka, ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, wahai orang-orang yang mempunyai wawasan!” (Surah al-Hasyr: 2) 

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 21 Sya‘ban 1444 / 14 Mac 2023