Home Berita PAS Kelantan

MENULIS, KOMPETENSI LUAR BIASA MB KELANTAN

1055
SHARE

oleh Norzana Razaly

Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian.” – Pramoedya Ananta Toer.

Satu pentaakulan rinci daripada mafhum Al-Quran telah diberikan sentuhan kreatif oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan sehingga berjaya melahirkan sebuah karya berjudul “Ibrah Melalui Kisah Anbiya’ & Solehin” terbitan UKMB Resources, 2020.

Pelancaran buku berISBN: 978-967-16008-3-2 dengan suntingan oleh Mohd Asri Mat Daud ini telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah di Majlis Amanat Khas Menteri Besar 2020 pada 2 Januari 2020 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Buku keempat tulisan YAB Menteri Besar Kelantan berserta tiga penerbitan sebelum ini berjudul Khalifah Kita Pilihan Allah, Renungan Ramadhan dan Sains Quran, amat sesuai dibaca oleh setiap lapisan masyarakat pelbagai usia dan latar pendidikan untuk diambil pengajaran buat mengharungi kehidupan di alam fana dan baka.

Kisah para anbiya’ dan solehin yang malar segar dan sesuai sepanjang zaman amat wajar menjadi teladan berguna kepada seluruh manusia yang cerdas fakulti intelektual dan cergas elemen kerohaniannya.

Lingkar iktibar

Kompilasi iktibar daripada lingkaran peristiwa yang terjadi ke atas para Anbiya dan Solehin di dalam Al-Quran menyentuh pelbagai episod dialami mereka wajar dibaca oleh setiap orang yang ingin merasai nikmatnya buah-buah hikmah kerana ia berguna untuk diaplikasikan di dalam babak kehidupan manusia.

Langgam bahasa buku ini mudah difahami turut membantu pembaca untuk menghadam dan menghayati setiap kisah yang dipaparkan secara jelas tanpa perlu rujukan lanjut.

Koleksi kisah berimpak tinggi garapan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob mampu membentuk pemikiran dan keperibadian rakyat Kelantan yang bijaksana kerana buku ini diolah oleh penulis dengan gaya penceritaan tuntas dan padat. Hal ini tidak akan menjemukan pembaca untuk menghabiskan bacaannya dalam waktu singkat.

Contohnya, di dalam Juz 1 bertajuk Bumi Allah Untuk Dimakmurkan, penulis memetik surah al-Baqarah ayat 31-33 yang menggarisbawahkan hal-ehwal keilmuan dan kebijaksanaan Nabi Adam a.s yang menjadi tunjang asas kompetensi khalifah (hal. 2).

Ciri fatonah (kepintaran) diperkukuhkan lagi dengan kisah nabi Daud a.s yang masih remaja membantu Thalut (ketua miskin bersaiz badan biasa) membunuh Jalut (pemimpin kaya bertubuh sasa) lalu Nabi Daud a.s ditabal oleh Allah SWT menjadi raja di dalam Juz 2 melalui tajuk Kepakaran Prasyarat Kepimpinan berdasarkan mafhum surah al-Baqarah ayat 247 yang menekankan kepentingan memilih pemimpin yang pakar untuk mentadbir-urus bidang yang diceburi atau dipertanggungjawabkan (hal. 8).

MB Berkompetensi Luar Biasa

Lazimnya pemimpin dipilih berdasarkan kecekapan, kompetensi, atau wibawa yang dimiliki. Seorang pemimpin diharapkan dapat membimbing orang-orang yang dipimpinnya, melahirkan kesejahteraan dan membawa perubahan ke arah lebih baik.

Kompetensi atau kebolehan, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki YAB Dato’ Bentara Kelantan MB Kelantan selaku penulis buku ini wajar diberi kredit tertinggi di atas kecekapan beliau sebagai teraju utama kerajaan negeri dalam masa yang sama gigih dan berjaya pula menulis disela-sela masa kesibukan mentadbir-urus negeri.

Betapa beruntungnya warga Kelantan memiliki Menteri Besar (pemimpin) yang berkebolehan dari aspek hard skill dan soft skill yang matang dan seimbang yakni kompetensi mentadbir-urus diperkemaskan pula dengan kompetensi teknikal bersifat pengkaryaan berbentuk buku yang boleh didelegasikan kepada penjawat awam dan rakyatnya.

Kompetensi dalam hal menulis adalah aset paling berharga kerana kebanyakan pemimpin terkemuka dunia adalah penulis. Buku-buku tulisan mereka sarat memuatkan perihal gagasan pemikiran membentur ideologi bangsa, selok-belok strategi peperangan saraf atau fizikal, pola dan manual pembangunan negara-bangsa, kisah kepemimpinan bermaksud untuk bacaan umum.

Pengalaman menerajui Kelantan sejak 2013 menjadi intipati Juz 13 bertajuk Nabi Yusuf: Pelan Strategik Pembangunan Ekonomi Negara yang barangkali menjadi pencetus idea sehingga munculnya formula Strategi Lautan Hijau di dalam Pelan Pembangunan Mampan Negeri Kelantan 2019-2023 sebagaimana tercatat:
“Maka setiap pelan strategik serta pengurusan yang bersifat ihtirafi perlu digarap sebaiknya demi pertumbuhan dan pembangunan pesat ke arah mencapai sebuah negara maju” (hal. 61-62).

Mustika Ampuh

Rumusannya, melalui pembacaan buku tulisan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob yang sarat berisi hikmah dan penawar mujarab (mustika) dapat dijadikan qudwah untuk rujukan kehidupan sehari-harian dan santapan rohani serta meninggikan skala kecintaan hamba terhadap Pencipta.

Hal ini selari dengan fitrah manusia yang sentiasa mahu mendampingi Kekasih melalui KalamNya dan menaakuli setiap makna tersirat dan tersurat di sebalik kalimah toyyibah nan barakah untuk dipandu arah ke jalan hidayah dan maghfirah.- UPKN KELANTAN 15/01/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2576300855937599