Minda Presiden PAS
[Bil: 104 / 2023]
ISLAM MENENTANG SEKULARISME
Sekularisme ialah satu teori ciptaan manusia yang muncul di Eropah bagi memisahkan urusan duniawi daripada agama.
Sekularisme lahir dalam kalangan masyarakat Kristian yang dibawa ke Eropah sebagai suatu teori yang terpisah daripada kesempurnaan agama Allah, sebagaimana ajaran yang telah dibawa oleh Nabi ‘Isa AS yang diutuskan kepada Bani Isra’il supaya beramal dengan kitab Injil bersama ajaran Taurat dan kebijaksanaannya. Firman Allah SWT:
﴿وَيُعَلِّمُهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَٱلتَّوۡرَىٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ ٤٨ وَرَسُولًا إِلَىٰ بَنِيٓ إِسۡرَآءِيلَ أَنِّي قَدۡ جِئۡتُكُم بِـَٔايَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمۡ أَنِّيٓ أَخۡلُقُ لَكُم مِّنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيۡرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيۡرَۢا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۖ وَأُبۡرِئُ ٱلۡأَكۡمَهَ وَٱلۡأَبۡرَصَ وَأُحۡيِ ٱلۡمَوۡتَىٰ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۖ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأۡكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ ٤٩ وَمُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعۡضَ ٱلَّذِي حُرِّمَ عَلَيۡكُمۡۚ وَجِئۡتُكُم بِـَٔايَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمۡ فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُونِ ٥٠ إِنَّ ٱللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمۡ فَٱعۡبُدُوهُۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٥١﴾
“Dan Allah akan mengajarkan kepadanya (‘Isa AS) al-Kitab, Hikmah, Taurat dan Injil. (48) Dan (melantiknya sebagai) seorang Rasul kepada Bani Isra’il (dengan menegaskan kepada mereka), ‘Sesungguhnya, aku telah datang kepada kamu dengan membawa sesuatu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku membuat untuk kamu daripada tanah dengan bentuk burung; kemudian aku meniup padanya, maka ia menjadi seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan aku juga boleh menyembuhkan orang yang buta sejak dari lahir dan orang yang berpenyakit sopak; dan aku juga menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan aku juga boleh mengkhabarkan kepada kamu apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu adalah suatu tanda (kebenaran yang membuktikan kerasulanku) bagi kamu, jika kamu orang-orang yang sungguh-sungguh beriman. (49) Dan (aku datang kepada kamu) membenarkan Taurat yang datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan untuk kamu; dan aku datang kepada kamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah dan taatilah kepadaku. (50) Sesungguhnya, Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu. Oleh itu, sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.’ (51)” [Surah Ali ‘Imran: 48-51]
Agama Kristian yang dianut oleh Raja Rom telah mengalami perubahan yang parah mengikut sejarahnya, apabila ajarannya disesuaikan dengan agama keberhalaannya yang telah diamalkan sebelum menganut Kristian. Lalu diharamkan Kitab Injil yang asal, di samping kitab Injil menjadi banyak jumlahnya kerana diselewengkan.
Sehinggakan, bertindak memisahkan kuasa raja daripada agama, maka berlaku pemisahan kuasa pemerintah daripada agama. Termaktub dalam kitab Injil yang telah diubah:
“Render unto Caesar the things which are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.”
“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia), dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan.” (Matthew: 21)
Setelah zaman kegelapan ilmu, berlaku revolusi ilmu duniawi hasil pengaruh Tamadun Islam. Revolusi yang tidak mempunyai prinsip dan konsepnya yang teguh dalam Injil, lalu dipisahkan pula urusan duniawi daripada agama, khususnya daripada perkara akhirat, atau rohani, atau akhlak. Kehidupan manusia di alam dunia dianggap tidak perlu dicampuradukkan dengan agama sama sekali. Demikianlah suatu fahaman yang menentang ajaran Islam yang dianut oleh para rasul. Firman Allah SWT:
﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣ قُلۡ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِيمَ وَإِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَ وَيَعۡقُوبَ وَٱلۡأَسۡبَاطِ وَمَآ أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمۡ لَا نُفَرِّقُ بَيۡنَ أَحَدٖ مِّنۡهُمۡ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٨٤ وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥﴾
“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya sahajalah menyerahkan diri (menganut Islam) segala apa yang ada di langit dan di bumi, baik secara sukarela mahupun terpaksa; dan hanya kepada Allah mereka akan dikembalikan. (83) Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya‘qub, dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, ‘Isa dan sekalian para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara mereka dan hanya kepada-Nya sahajalah kami menyerahkan diri (menganut Islam).’ (84) Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85)” [Surah Ali ‘Imran: 83-85]
Al-Quran ialah mukjizat ilmu agama dan dunia, kitab sempurna yang terakhir diwahyukan kepada rasul akhir zaman, bagi mengesahkan perkara prinsip yang sama sebagaimana dalam kitab suci para rasul terdahulu dan juga bagi menangani kehidupan manusia yang berbeza-beza apabila mengalami perubahan yang menjadi sifat alam semesta. Maka, dinasakhkan (dibatalkan) beberapa hukum yang terdahulu dan ditetapkan hukum dalam perkara prinsip dan fitrah yang tidak berubah dan tidak berbeza. Firman Allah SWT:
﴿…ٱلۡيَوۡمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن دِينِكُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِۚ ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ فِي مَخۡمَصَةٍ غَيۡرَ مُتَجَانِفٖ لِّإِثۡمٖ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣﴾
“… Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agama kamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini, telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu ni‘mat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu jadi agama bagi kamu.” [Surah al-Ma’idah: 3]
Nyata sekali kegagalan dan kelemahan ideologi serta agama selain daripada Islam disebabkannya tidak sempurna dalam menetapkan aspek prinsip dan konsep peranan manusia mengikut fitrah serta tujuan mereka diciptakan. Fitrahnya berjasad, bernyawa, berakal, kedirian dan kemasyarakatan.
Adapun tujuan penciptaannya pula adalah untuk beribadat kepada Allah Pencipta alam, melaksanakan khilafah (mentadbir urusan dunia) dan menunaikan amanah (khususnya berlaku adil kepada semua) yang tidak berpisah antara satu sama lain.
Perkara ini sekali gus menjadikan Islam itu tidak memisah-misahkan urusan dunia dengan urusan agama atau berwawasan dunia sehingga akhirat. Termasuk urusan politik, ekonomi, sains dan teknologi dan lain-lain.
Selain itu, menghubungkan manusia dengan Allah, Tuhan yang Maha Esa. Termasuklah hubungan dengan sesama manusia dalam sebuah keluarga, masyarakat dalam satu negara dan peringkat antarabangsa serta hubungan manusia dengan alam sekelilingnya yang nyata mahupun alam yang ghaib. Firman Allah SWT:
﴿الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢ ٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِٱلۡغَيۡبِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ يُؤۡمِنُونَ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيۡكَ وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ وَبِٱلۡأٓخِرَةِ هُمۡ يُوقِنُونَ ٤ أُوْلَـٰٓئِكَ عَلَىٰ هُدٗى مِّن رَّبِّهِمۡۖ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ٥﴾
“Alif lam mim. (1) Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. (2) (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (3) Dan mereka yang beriman kepada Kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. (4) Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (5)” [Surah al-Baqarah: 1-5]
Seluruh ajaran Islam berjaya dilaksanakan pada zaman keemasan Tamadun Islam selama beberapa abad lamanya. Manusia diislamkan bersama seluruh cara hidupnya yang telah mencipta Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) yang berprinsipkan aqidah, syariat dan akhlak dalam kehidupan manusia yang berilmu dan bermasyarakat madani yang beragama, tidak berpisah dalam segala aspeknya.
Pada masa yang sama, tetap teguh atas prinsip aqidah dan konsep kehidupan manusia yang betul. Bahkan, berpegang kepada agama para rasul (Islam), mengekalkan perkara yang positif daripada tamadun ciptaan manusia dan menolak segala yang negatif (jahiliah) dalam segala aspeknya, berkonsepkan adil kepada seluruh manusia.
Maka, Islam diterima menjadi penyelamat apabila datang kepada semua bangsa dan wilayah yang dikuasainya (bekas jajahan takluk Parsi, Rom dan wilayah-wilayah yang lain). Hal ini berbeza dengan kedatangan penjajah Barat selepas kejatuhan Islam, apabila ajarannya dicuaikan oleh para penganutnya.
Ramai yang datang menganut Islam tanpa paksaan atau reda berada di bawah Kerajaan Islam yang adil dengan terus menganut agama kepercayaannya. Malah, masih ada penganut berbagai-bagai agama dan rumah-rumah ibadat mereka yang kekal sehingga kini dalam wilayah Islam dahulu.
Berbeza dengan penjajah yang membawa teori sekularisme daripada asalnya. Apabila urusan duniawi terpisah daripada agama, maka lahirlah daripadanya teori liberalisme dan kehidupan bermasyarakat. Dalam aspek politik pula, mencipta demokrasi kuasa rakyat yang ditipu, apabila politiknya tidak beragama, atau bersifat diktator secara individu atau berkumpulan. Dalam aspek ekonomi pula, dicipta fahaman liberal kapitalisme atau sosialisme dan komunisme yang berkonsepkan kebendaan semata-mata.
Kini, kita menyaksikan liberalisme dalam masyarakat Barat berprinsipkan kebebasan yang melanggar fitrah manusia, sehinggakan manusia bebas seperti binatang dan bersikap melampau lebih daripada binatang kerana menyalahgunakan akal mereka. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada kalangan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak mahu dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah); dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak mahu dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah); dan mereka juga mempunyai telinga, (tetapi) tidak mahu dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Lahirnya pelbagai kumpulan seperti LGBT, LGBTQ dan sebagainya, sehingga mempertahankan hak asasi binatang itu lebih utama daripada hak asasi manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠﴾
“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]
Dalam aspek politik yang menjadi amanah terpenting telah dikhianati, apabila ia terpisah daripada agama sehingga telah melahirkan pemimpin yang berkuasa dengan menipu, rasuah, menyalahgunakan kuasa dan tidak bermoral. Lantas, kuasa dijadikan peluang kehidupan yang selesa bagi diri atau kumpulannya, manakala pemimpin itu ditaati kerana sifat zalimnya bukan dihormati kerana sifat adilnya.
Allah SWT menyebutkan dalam al-Quran contoh Firaun yang berkuasa memerintah negara, firman-Nya:
﴿وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤﴾
“Dan Firaun menyeru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-samanya untuk mengiringinya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka itu ialah kaum yang fasiq. (54)” [Surah al-Zukhruf: 51-54]
Demikianlah kerajaan yang berlagak Maha Berkuasa untuk bertindak dan berlagak memberikan rezeki kepada rakyat dan lain-lain.
Sekularisme membawa konsep ekonomi yang bertuhankan kebendaan menjadi pemujaan. Bukannya ekonomi itu menjadi alat kehidupan, sebaliknya matlamat kehidupan, sama ada kapitalis yang ekstrem atau sosialis yang ekstrem berprinsipkan kehidupan untuk makan, bukan makan untuk hidup memperhambakan diri kepada Allah bagi memakmurkan dunia. Fahaman sedemikian menjadikan manusia berpolitik dan sedia berperang kerana faktor ekonomi.
Sekularisme dalam pendidikan dan media gagal mengisi akal dan roh bagi memenuhi ciri-ciri manusia diciptakan. Sekalipun perut dan nafsu jasadnya diisi dengan segala kepuasannya, sehingga menjadikan manusia itu sanggup membunuh diri sendiri apabila gagal dalam menghadapi cabaran hidupnya.
Keadaan ini membawa kegagalan dalam mengurus alam dunia sekali gus menyebabkan kerosakan hidup dan alam sekitar yang berpunca daripada kesalahan manusia sendiri. Firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
Para pejuang kemerdekaan telah berjaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain diberikan hak kebebasan untuk menganutnya.
Apa yang penting adalah mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dengan takrif mengikut ajarannya yang sebenar, bukan mengikut teori sekularisme. Sepatutnya parti-parti yang berada di dalam Parlimen ketika awal kemerdekaan mempertahankan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut maknanya yang sebenar.
Pakatan Harapan (PH) yang dipengaruhi oleh sekularisme yang dibawa oleh penjajah hendaklah ditolak, sama ada parti yang nyata dalam undang-undang tubuhnya menegakkan prinsip sekularisme atau parti yang bersikap pragmatik laksana lalang yang ditiup angin.
Adapun bagi penganut Islam, sekularisme ialah musuh Islam dan semua para anbiya’ yang menganut Islam. Firman Allah SWT:
﴿وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٨٥ كَيۡفَ يَهۡدِي ٱللَّهُ قَوۡمٗا كَفَرُواْ بَعۡدَ إِيمَٰنِهِمۡ وَشَهِدُوٓاْ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقّٞ وَجَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٨٦ أُوْلَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمۡ أَنَّ عَلَيۡهِمۡ لَعۡنَةَ ٱللَّهِ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجۡمَعِينَ ٨٧﴾
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. (85) Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim. (86) Mereka itu, balasannya ialah bahawa laknat Allah ditimpakan ke atas mereka, (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya. (87)” [Surah Ali ‘Imran: 85-87]
Apa yang dinyatakan dalam ayat di atas ditujukan kepada para penganut agama Samawi dan sepertinya dalam kalangan penganut Islam yang mengetahui kesempurnaan Islam yang dianut oleh para anbiya’.
Apabila Kamal Ataturk membawa sekularisme yang ditegakkan terhadap negara Turkiye, diikuti oleh penjajah Barat melaksanakannya dalam negara jajahan takluknya, bangkit tokoh-tokoh besar daripada kalangan para ulama’ Islam pada masa itu memberi amaran yang keras kepada penganut Islam di seluruh dunia supaya berwaspada dan umat Islam wajib menolak sekularisme.
Lihatlah fatwa Syeikh Mustafa Sabri, iaitu Syeikh al-Islam Turkiye yang terakhir, Syeikh Muhamad al-Khader Husain iaitu Syeikh Jami‘ al-Azhar dan Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Pengerusi Rabitah al-‘Alam al-Islami dan Majlis Fatwa Arab Saudi, Buya Hamka iaitu Ketua Majlis Ulama’ Indonesia dalam Tafsir al-Azhar dan lain-lain.
Fahaman yang sesat ini dijadikan senjata serangan pemikiran oleh penjajah bagi merosakkan umat Islam, supaya meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, walaupun tidak keluar daripada agama secara rasmi.
Allah SWT memberikan peringatan melalui firman-Nya:
﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ ٤٨﴾
“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan syariat dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah dalam berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” [Surah al-Ma’idah: 48]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Jumada al-Ula 1445 / 12 Disember 2023