Home Minda Presiden

Islam menawarkan ekonomi wasatiyyah

291
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 12 / 2023]
ISLAM MENAWARKAN EKONOMI WASATIYYAH


Dunia hanya mengenali dua pendekatan sahaja dalam aspek ekonomi iaitu kapitalisme dan sosialisme, sehinggalah pendekatan yang paling ekstrem iaitu liberal kapitalisme dan komunisme. Pendekatan tersebut sama ada berkonsepkan kebebasan individu atau kemasyarakatan, kemudiannya dikaitkan pula dengan peranan politik yang melindungi kedua-dua ideologi tersebut. Kedua-dua belah pihak mendabik dada kononnya masing-masing mengamalkan demokrasi bersama rakyat.

Ideologi kapitalis lebih bersifat ananiyyah (individualistik) dari segi pemilikan dan bertemakan kebebasan, manakala ideologi sosialis pula bersifat kolektif yang memberi penekanan dari segi kemasyarakatan dan bertemakan keadilan sosial. Kedua-dua aliran tersebut berkonsepkan materialisme (kebendaan) dan berprinsipkan sekularisme yang berpisah daripada agama.

Walaupun ada dalam kalangan mereka yang tidak mengetepikan hak beragama, namun mereka tidak membenarkan agama campur tangan dalam urusan ekonomi dan politik. Adapun penganut komunisme lebih bersikap ekstrem sehingga bertindak mengharamkan agama. Begitu juga dalam kalangan penganut liberalisme.

Ramai yang terlepas pandang dengan kewujudan Islam yang berlainan dan berbeza sama sekali daripada semua ideologi itu. Hal ini disebabkan Islam itu bersifat wasatiyyah (pertengahan dan sederhana) dan berkonsepkan istiqamah terhadap individu dan masyarakat.

Di samping itu, Islam juga menegaskan bahawa agama tidak terpisah daripada segala aspek dalam urusan kehidupan manusia di alam dunia, termasuklah aspek ekonomi dan politik. Bahkan, semua itu tetap berkait dengan aspek aqidah, ibadat dan syariat Allah, serta tidak mengetepikan hak individu dari segi pemilikan dan hak. Malah, menggalakkan manusia agar bermasyarakat dari segi memenuhi keperluan hidup bermadani secara tabii.

Firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا٢٩ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ عُدۡوَٰنٗا وَظُلۡمٗا فَسَوۡفَ نُصۡلِيهِ نَارٗاۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا٣٠ إِن تَجۡتَنِبُواْ كَبَآئِرَ مَا تُنۡهَوۡنَ عَنۡهُ نُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَيِّ‍َٔاتِكُمۡ وَنُدۡخِلۡكُم مُّدۡخَلٗا كَرِيمٗا٣١﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali melalui jalan perniagaan yang berlaku dengan redha (suka sama suka) antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri; sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu. (29) Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan melanggar hak dan berlaku zalim, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. Perkara yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (30) Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar antara dosa-dosa yang kamu dilarang mengerjakannya, nescaya Kami menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kamu yang kecil) dan Kami memasukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (31)”  (Surah al-Nisa’: 29-31)

Islam meletakkan aspek agama dan akhlak yang mempunyai perhitungan senarai dosa dan pahala, serta aspek moral dan jenayah dalam setiap sudut kegiatan bermasyarakat, termasuklah aspek ekonomi dan politik. Justeru, Islam menegaskan bahawa segala aktiviti itu berkait rapat dengan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW yang wajib diuruskan melalui aspek politik. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (mempunyai kuasa politik untuk memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang (beribadat), menunaikan zakat (berekonomi), menyuruh berbuat perkara yang ma‘ruf (berkebajikan) dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar (amanah kedaulatan undang-undang); dan kepada Allah jua kembali segala urusan (berwawasan akhirat).” (Surah al-Hajj: 41)

Berdasarkan ayat di atas, Islam menegaskan adanya hubungan aspek ibadat dalam ekonomi dan politik yang melibatkan elemen jasad, roh dan harta, sama ada oleh individu atau masyarakat yang ada kaitan dengan balasan pada Hari Akhirat kelak.

Al-Quran menyatakan konsep ekonomi masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan bermasyarakat madani, sebagaimana firman Allah SWT:

﴿مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ وَمَآ ءَاتَىٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَىٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٧﴾

“Apa sahaja harta rampasan (fai’) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) milik penduduk kota, maka adalah ia tertentu untuk Allah, dan untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang berada dalam perjalanan (musafir yang keputusan bekalan); (ketetapan sedemikian) supaya harta itu tidak beredar antara orang-orang kaya dalam kalangan kamu sahaja. Dan apa jua perintah  yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah (serta amalkanlah). Dan apa jua yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hashr: 7)

Islam menegaskan konsep masyarakat majmuk dalam ekonomi yang adil melalui pelaksanaan zakat yang diwajibkan kepada para penganut Islam sahaja, berkonsepkan ibadat harta, serta pengagihannya.

Adapun pengagihan harta fai’ pula, asalnya daripada milik bukan Islam yang dilaksanakan melalui percukaian dan jizyah (cukai keselamatan diri) seperti zakat fitrah kepada penganut Islam. Pada masa yang sama, fai’ juga merangkumi pengeluaran kharaj (cukai hasil pertanian) dan ‘usyur (cukai perniagaan) yang turut dikenakan kepada penganut Islam dalam bentuk zakat yang menjadi rukun agama yang tidak boleh dihapuskan. Adapun cukai daripada bukan Islam pula boleh dihapuskan apabila hasil sesebuah negara telah mencukupi. Semuanya wajib dibelanjakan dengan adil kepada semua.

Selain itu, Islam juga melarang konsep melampau dalam ekonomi berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ٢٧ وَهُوَ ٱلَّذِي يُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ مِنۢ بَعۡدِ مَا قَنَطُواْ وَيَنشُرُ رَحۡمَتَهُۥۚ وَهُوَ ٱلۡوَلِيُّ ٱلۡحَمِيدُ٢٨﴾

“Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi; tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya, Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya, lagi Maha Melihat. (27) Dan Dialah yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya; dan Dialah yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji. (28)”  (Surah al-Syura: 27-28)

Perkara ini sekali gus menunjukkan betapa Allah itu Maha Adil dengan memberikan rezeki supaya ia diuruskan oleh manusia dengan akal, ilmu dan pengalaman. Seterusnya berpandukan hidayah supaya tidak tergelincir dan tidak melampau daripada asas maqasid al-syari‘ah.

Islam menegaskan bahawa kegiatan ekonomi termasuk daripada sebahagian amalan baik manusia di sisi Allah SWT. Perkara ini dijelaskan melalui sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ إِنْسَانٌ أَوْ طَيْرٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةٌ.

“Tiadalah seseorang Muslim yang menanam pokok atau tanaman lalu dimakan oleh burung atau binatang atau manusia, nescaya diberikan kepadanya pahala sedekah.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1303)

Demikian juga semua urusan ekonomi yang memberi kemudahan kepada masyarakat, manusia dan makhluk yang lain.

Rasulullah SAW pernah bersabda menyatakan tentang kelebihan berakhlak dalam kegiatan perniagaan sesama manusia yang akhirnya dapat memelihara diri daripada penyakit inflasi, menipu dan menindas. Sabda Baginda SAW:

‌رَحِمَ ‌اللَّهُ ‌رَجُلًا ‌سَمْحًا ‌إِذَا ‌بَاعَ، وَإِذَا اشْتَرَى، وَإِذَا اقْتَضَى.

“Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bertimbang rasa ketika menjual, membeli dan meminta dibayarkan hutangnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2076)

Malah, Rasulullah SAW juga turut menegaskan soal keberkatan rezeki daripada perniagaan, apabila ia dilakukan secara bermoral dengan sabdanya:

‌البَيِّعَانِ ‌بِالخِيَارِ ‌مَا ‌لَمْ ‌يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَذَبَا وَكَتَمَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا.

“Dua pihak yang berjual beli diberikan pilihan (untuk membatalkan urus niaga), selagi mereka tidak berpisah. Jika mereka berdua berlaku benar dan berterus terang (tidak menipu), nescaya mereka berdua diberkati. Namun, jika mereka menyorokkan sesuatu (tidak telus) dan berbohong, nescaya akan dihapuskan keberkatannya (urus niaga mereka).” (Riwayat al-Bukhari, no. 2079 dan Muslim, no. 1532)

Allah SWT menegaskan konsep kesederhanaan dalam perbelanjaan melalui firman-Nya:

﴿وَلَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا٢٩ إِنَّ رَبَّكَ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ كَانَ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرَۢا بَصِيرٗا٣٠﴾

“Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu (bakhil) dan janganlah kamu terlalu menghulurkannya (boros), kerana itu kamu menjadi tercela dan menyesal. (29) Sesungguhnya, Tuhanmu melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan menyempitkannya; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya. (30)” (Surah al-Isra’: 29-30)

Islam menegaskan tentang pengharaman rasuah dengan menjelaskan sempadan halal dan haram dalam kegiatan ekonomi. Firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ١٨٨﴾

“Dan janganlah sebahagian daripada kalangan kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil; dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim (pihak yang berkuasa), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 188)

Islam menghalalkan sebarang urusan perniagaan, di samping mengharamkan amalan riba dengan keras kerana perbuatan itu bersifat menindas. Perkara ini dihuraikan oleh firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ يَأۡكُلُونَ ٱلرِّبَوٰاْ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِي يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ مِنَ ٱلۡمَسِّۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ قَالُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡبَيۡعُ مِثۡلُ ٱلرِّبَوٰاْۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوۡعِظَةٞ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمۡرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِۖ وَمَنۡ عَادَ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ٢٧٥ يَمۡحَقُ ٱللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُرۡبِي ٱلصَّدَقَٰتِۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ٢٧٦ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ٢٧٧ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٧٨ فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٖ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَكُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٰلِكُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ٢٧٩﴾

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama sahaja dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan daripada Tuhannya, lalu terus berhenti (daripada mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. (275) Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah sekali-kali tidak menyukai setiap orang yang tetap berada dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa. (276)  Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tiada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (277) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. (278) Maka, jika kamu tidak mengerjakannya (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (daripada pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiayai. (279)”  (Surah al-Baqarah: 275-279)

Islam merupakan agama yang paling keras mengharamkan sebarang muamalat berunsurkan riba yang menjadi budaya sehingga menyebabkan ramai yang suka berhutang dan mengamalkannya dalam urusan jual beli. Sehinggakan, ia dilakukan dalam keadaan melampau dan rakus. Kini, telah berleluasa sehingga ke peringkat pemerintahan sebuah negara, bukan sahaja berlaku peringkat rakyat, sama ada individu atau bersyarikat.

Sesungguhnya, kegiatan ekonomi sangat berkait dengan iman, amal ibadat, akhlak dan batas halal dan haram. Oleh itu, Islam mengharamkan penipuan dalam peniagaan dengan keras. Firman Allah SWT:

﴿وَيۡلٞ لِّلۡمُطَفِّفِينَ١ ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكۡتَالُواْ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسۡتَوۡفُونَ٢ وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ يُخۡسِرُونَ٣ أَلَا يَظُنُّ أُوْلَٰٓئِكَ أَنَّهُم مَّبۡعُوثُونَ٤ لِيَوۡمٍ عَظِيمٖ٥ يَوۡمَ يَقُومُ ٱلنَّاسُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ٦﴾

“Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). (1) (Iaitu) orang-orang yang apabila menerima sukatan daripada orang lain, mereka minta dipenuhi. (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka menguranginya. (3) Tidakkah orang-orang itu menyangka, bahawa sesungguhnya mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah matai)? (4)  Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya). (5) (Iaitu) hari (ketika) manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?  (6)”  (Surah al-Mutaffifin: 1-6)

Islam memberikan amaran keras terhadap mereka yang tidak menunaikan kewajipan bermasyarakat dalam pengagihan ekonomi, sebagaimana yang disebutkan melalui banyak ayat al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT:

﴿أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يُكَذِّبُ بِٱلدِّينِ١ فَذَٰلِكَ ٱلَّذِي يَدُعُّ ٱلۡيَتِيمَ٢ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ ٱلۡمِسۡكِينِ٣ فَوَيۡلٞ لِّلۡمُصَلِّينَ٤ ٱلَّذِينَ هُمۡ عَن صَلَاتِهِمۡ سَاهُونَ٥ ٱلَّذِينَ هُمۡ يُرَآءُونَ٦ وَيَمۡنَعُونَ ٱلۡمَاعُونَ٧﴾

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? (1) Itulah orang yang mengherdik anak yatim. (2) Dan tidak menganjurkan untuk memberi makanan kepada orang miskin. (3) Maka, kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat. (4) (Iaitu) orang-orang yang lalai daripada menyempurnakan solatnya. (5)  (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya). (6) Dan enggan memberikan pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya). (7)”  (Surah al-Ma‘un: 1-7)

Urusan ekonomi termasuk dalam senarai bersama yang melibatkan aspek beriman dan beribadat yang mempunyai perhitungan dosa dan pahala, amal soleh dan amal jahat. Aspek inilah yang memberikan sifat taqwa yang menentukan martabat manusia di sisi Allah SWT.

Islam mengharamkan sekeras-kerasnya perbuatan golongan yang mengumpulkan harta tanpa menunaikan kewajipan bermasyarakat. Hal ini telah dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَيَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ٣٥﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan batil dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. (34) Pada hari dipanaskan emas perak itu dalam neraka Jahanam, lalu dibakar dengannya dahi, lambung dan punggung mereka (lalu dikatakan) kepada mereka: ‘Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.’ (35)”  (Surah al-Tawbah: 34-35)

Islam juga mengharamkan pihak yang berkenaan mengambil zakat dan cukai secara melampau. Sabda Rasulullah SAW:

‌فَأَخْبِرْهُمْ ‌أَنَّ ‌اللَّهَ ‌قَدْ ‌فَرَضَ ‌عَلَيْهِمْ ‌صَدَقَةً، تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ، فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ، فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ، فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ، وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ، فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ.

“Beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bayaran harta berupa sumbangan sedekah daripada orang-orang kaya supaya ia diberikan kepada mereka yang memerlukan pertolongan daripada kalangan mereka. Jika mereka mematuhinya, jangan melampau terhadap harta mereka. Takutilah doa orang yang dizalimi, kerana Allah menerima doanya tanpa ada sebarang halangan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 1496)

Dasar dan konsep ekonomi Islam yang diperkenalkan berjaya menyelamatkan manusia yang terbelenggu pada zaman feudal yang ketika itu menguasai masyarakat majmuk. Keadaan ini menjadikan kedatangan Islam diterima dengan redha oleh majoriti rakyat masyarakat majmuk di seluruh wilayah yang diperintah oleh Islam.

Mereka menerima kedatangan Islam sebagai penyelamat, bukannya penjajah. Oleh yang demikian, pengaruh ajaran Islam berjaya menembusi dan menjatuhkan wilayah kuasa-kuasa besar bersama sokongan rakyat yang ditindas dengan zalim.

Namun begitu, sejarah kerajaan Islam yang adil kepada semua kini disalah faham dan difitnah, sehinggakan mencetuskan penyakit Islamofobia. Islam dimusuhi bukan kerana adanya sifat yang ganas, zalim dan peperangan yang sebenarnya dipaksa terhadap Islam oleh musuh-musuh Islam, tetapi kerana dengki dan dendam yang salah, lalu disebarkan fitnah terhadap Islam.

Kita juga telah menyaksikan kegagalan fahaman sosialisme dan komunisme yang telah menjatuhkan kuasa besar dunia yang menghayati fahaman tersebut, setelah mereka gagal mencapai tujuan yang dinyatakan dalam kempennya untuk menggantikan kapitalisme. Hal ini demikian kerana, adanya ciri-ciri fahaman tersebut yang berlawanan dengan fitrah manusia.

Bahkan, kini kita juga sedang menyaksikan tanda-tanda merudumnya liberal kapitalisme atas sebab-sebab yang sama.

Sesungguhnya, Islam adalah petunjuk Allah SWT yang sempurna kepada manusia dalam segala aspek mengikut fitrahnya. Perkara yang tidak memenuhi fitrah atau memisahkan ciri-cirinya yang berkaitan akan membawa kemusnahan hidup dan merosakkan peranan serta tujuan mereka diciptakan.

Liberal kapitalisme yang menjadikan kebebasan individu untuk mewujudkan perlumbaan ekonomi bagi menggalakkan kepesatannya juga tersungkur akibat kerakusan perlumbaannya. Keadaan ini berlaku disebabkan bebanan hutang yang menjadi pintu yang terbuka luas, dan riba yang rakus pula dihalalkan tanpa perhitungan moral melalui hasil maksiat yang menjadi baja kesuburannya.

Akibatnya, berlaku keruntuhan moral kemanusiaan yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pada masa yang sama, berlakunya perlumbaan ekonomi di peringkat antarabangsa yang merosakkan keamanan dunia, mengakibatkan penindasan, penjajahan dan mencetuskan peperangan, termasuklah perlumbaan senjata pemusnah yang dahsyat.

Sosialisme juga meruntuhkan ekonomi negara, diikuti dengan keruntuhan negara itu sendiri sehingga ia hancur berkecai. Walaupun wujud campur tangan negara secara langsung dalam kegiatan ekonominya, namun negara itu terpaksa diselamatkan dengan diadakan pembaharuan yang lari daripada teori asasnya kepada pendekatan lebih pragmatik yang memberikan kebebasan individu ala liberal kapitalisme.

Keadaan sedemikian, sekali gus mendedahkan kepalsuan keadilan sosial yang menjadi propagandanya. Hal ini disebabkan fitrah individualistik yang bernafsu tanpa agama, maka mereka telah mencipta golongan kapitalis yang lebih besar daripada negara liberal kapitalis.

Susulan daripada itu, mereka telah keluar ke dunia antarabangsa dan bersama-sama melakukan perlumbaan yang rakus bersama negara liberal kapitalisme yang mencipta penjajahan baharu (new colonialism). Maka, berlakunya kerakusan perlumbaan dan pertembungan yang boleh mengulangi dua Perang Dunia yang pernah berlaku pada abad yang lalu oleh sebab yang sama.

Oleh sebab itu, Islam perlu tampil menjadi penyelamat dengan penyaksiannya yang pernah berjaya dalam sejarah zaman keemasannya, bukan sekadar teori yang masih berada pada peringkat percubaan yang gagal seperti dua teori yang berlawanan yang disebutkan sebelum ini. Malangnya, negara umat Islam sendiri mengambil penyelesaian ekonomi yang diimport daripada dua ideologi tersebut, selepas mereka berjaya memerintah sendiri. Keadaan ini menunjukkan pemikirannya masih tidak merdeka.

Oleh itu, mereka menanggung akibat daripada kelemahannya yang tidak menyelesaikan masalah, walaupun mendapat kurniaan Allah SWT dengan hidayah agama serta kekayaan sumber bumi dan tenaga manusianya.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 25 Rajab 1444 / 16 Februari 2023