02 September 2020
Oleh: Ahmad Faidhi Mawardi
PUTATAN: Suasana sebak dirasai apabila seorang balu tentera yang diziarahi PAS Putatan menangis teresak-esak.
Ketika ditanya kenangan terindah beliau setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, Rianah Binte Musim balu kepada allahyarham Kunjan Taib bin Hamid berkata, “Setiap kali Hari Kebangsaan, kami dibawa berjalan-jalan (menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan) . Saya nampak suami saya ikut perbarisan.”
Allahyarham Kunjan merupakan seorang Polis Tentera yang sangat berdisiplin dan digeruni semasa hayatnya.
Dalam program ziarah balu dan veteran tentera sempena Hari Kebangsaan ke-63 semalam, PAS Kawasan Putatan telah mengunjungi 4 orang balu tentera seorang veteran tentera di Kampung Lok Kawi Baru, dekat sini.
Turut hadir, Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Ustaz Muhammad Akmal Othman, beberapa orang AJK PAS Kawasan, AJK Dewan Muslimat PAS Putatan dan petugas PAS. Kumpulan ziarah diiringi oleh 3 orang penunjuk arah, yang juga veteran tentera.
Salah seorang yang disantuni, Rainah Binte Kassim, 80 tahun, terlantar kerana jatuh pada pagi tersebut. Beliau yang merupakan balu kepada allahyarham Sudin Madin, iaitu seorang askar wataniah, sangat terharu dengan kunjungan dan menyatakan rasa ralatnya tidak dapat melayan tetamu yang hadir kerana terbaring kesakitan.
Selain daripada wang zakat, sedikit barang keperluan seperti beras, barang dapur dan sarung kain batik diberikan kepada balu berkenanaan. Kek gulung bertemakan Jalur Gemilang yang ditempah khas menjadi buah tangan yang menceriakan penerima.
Kesempatan menyantuni waris wira negara dimanfaatkan sebaiknya. Para petugas mendengar sendiri luahan kisah, cerita dan pengalaman perit getir mereka sejak sebelum kemerdekaan. Ditinggalkan berbulan-bulan apabila terlibat dengan operasi, adalah perkara biasa buat ahli keluarga tentera.
Ustaz Muhammad Akmal ketika ditemui berkata, ziarah ini memberikan inspirasi buat PAS Putatan dan seluruh warga Malaysia. Jasa dan pengorbanan tentera kita selaku barisan hadapan pertahanan negara adalah sangat besar. Nikmat keamanan adalah hasil perjuangan mereka.
Tambahnya lagi, menyedari hakikat itu, adalah sangat penting bagi kita semua rakyat Malaysia untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan mengisi kemerdekaan dengan sebaik-baiknya, sebagai tanda menghargai hasil perjuangan para wira negara.