WANITA BERILMU, BERIMAN TERAS PEMBANGUNAN UMMAH DI KEDAH
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah komited memperkasa golongan wanita sebagai teras pembangunan ummah menerusi pembentukan insan yang bukan sahaja berilmu, berkemahiran dan berdaya saing, malah memiliki akidah kukuh, akhlak mulia serta jati diri tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat, Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, usaha membangunkan sesebuah negeri perlu bermula dengan pembinaan insan dan institusi keluarga yang kukuh kerana masyarakat yang sejahtera lahir daripada keluarga yang dibentuk berteraskan nilai agama.
Menurut beliau, Sayyidatina Fatimah Al-Zahra merupakan contoh terbaik wanita unggul yang dibentuk melalui didikan Rasulullah SAW sehingga menjadi lambang kasih sayang, pengorbanan, kesederhanaan dan kemuliaan seorang muslimah.
“Rasulullah SAW mengajar bahawa sebelum membina negara, Baginda membina manusia. Sebelum membina tamadun, Baginda membina hati. Hati yang baik akan melahirkan keluarga yang baik, masyarakat yang baik dan akhirnya negara yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bidadari Kedah Menjejaki Al-Zahra Membina Ummah Peringkat Negeri Kedah 2026 di Dewan Seri Mentaloon, di sini.
Halimaton Shaadiah berkata, wanita merupakan madrasah pertama dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak dan berintegriti, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan masa depan bangsa.
“Daripada didikan seorang ibu lahirnya doktor, guru, ulama, pemimpin dan pejuang agama.
“Justeru, pembangunan wanita perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan asas kepada pembentukan masa depan sesebuah bangsa,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri mahu melihat lebih ramai wanita memiliki kekuatan ekonomi dan kemahiran yang tinggi tanpa mengabaikan aspek kerohanian serta hubungan dengan Allah SWT.
“Pembangunan tanpa akhlak akan melahirkan kekosongan, manakala kemajuan tanpa iman akan menimbulkan kegelisahan.
“Sebaliknya, ilmu yang disinari iman akan melahirkan keberkatan dalam kehidupan,” katanya.
Sumber: upda.my