NegeriTerengganu

Kerjasama PN–BN Kematangan Baharu Politik Negara

KUALA TERENGGANU – Muafakat kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan memperlihatkan satu bentuk kematangan baharu dalam politik negara.

Ketua Muslimat PAS Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata kerjasama ini bukan bererti setiap parti perlu menghapuskan identiti, prinsip atau sejarah perjuangan masing-masing.

“Sebaliknya, ia menunjukkan kesediaan para pemimpin untuk mengetepikan perbezaan tertentu apabila berhadapan dengan agenda yang lebih besar, iaitu membentuk sebuah kerajaan yang stabil, berintegriti dan mampu menjaga kebajikan rakyat,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Muslimat Marang itu berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini di sini.

Katanya, atas dasar itu, DMPNT melihat kerjasama PN–BN bukan sekadar strategi untuk memenangi pilihan raya.

“Ia perlu diterjemahkan kepada kesatuan gerak kerja, kesediaan untuk bermusyawarah serta komitmen bersama dalam menangani kos sara hidup, menyediakan peluang pekerjaan, memperkukuh pendidikan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Apa yang lebih menggembirakan ialah muafakat ini tidak hanya berlaku di meja kepimpinan, ia sudah mula diterjemahkan di peringkat akar umbi apabila Muslimat PAS dan Wanita UMNO bergerak bersama dari rumah ke rumah, menyantuni pengundi serta membantu calon tanpa mengira lambang parti asal, ” ujarnya.

Menurutnya, sebagai wanita dan ibu, pihaknya memahami bahawa perbezaan dalam sebuah keluarga tidak semestinya berakhir dengan perpecahan, ada masanya kita perlu berlapang dada, mengurus perbezaan dengan adab dan mencari titik persamaan demi masa depan anak-anak, semangat yang sama perlu dibawa dalam muafakat politik ini.

“Inilah ukuran sebenar sesuatu muafakat. Bangunan yang besar tidak akan kukuh tanpa batu-batu kecil yang menyokongnya, begitu juga kerjasama politik tidak akan bertahan jika ia hanya dipersetujui oleh pemimpin, tetapi tidak difahami dan dihayati oleh ahli di bawah.

“Sudah tentu perjalanan ini tidak sunyi daripada cabaran, akan ada pihak yang cuba mengungkit sejarah lama, menimbulkan kecurigaan atau menggambarkan kerjasama ini sebagai agenda yang hanya menguntungkan kelompok tertentu. Oleh itu, kita perlu menjawab dengan akhlak, fakta dan prestasi, ” jelasnya.

Kerjasama ini, ujarnya ,mestilah inklusif serta memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Orang Melayu, Cina, India dan semua komuniti merupakan rakyat yang sama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara. Kestabilan politik akan membawa keyakinan ekonomi, peluang pekerjaan dan kesejahteraan yang akhirnya dinikmati oleh semua.

“DMPNT menyeru seluruh Muslimat agar menjadi jambatan yang menghubungkan, bukan tembok yang memisahkan. Kita perlu membantu akar umbi memahami bahawa muafakat bukan bererti melupakan prinsip, tetapi mengurus perbezaan dengan hikmah bagi mencapai maslahat yang lebih besar.

“Peganglah muafakat ini dengan kejujuran, adab dan keikhlasan, jangan biarkan ego kepartian mengatasi kepentingan rakyat, sekiranya kerjasama ini dipandu oleh integriti, keadilan dan kesungguhan untuk berkhidmat, insya-Allah ia boleh menjadi permulaan kepada politik yang lebih stabil, matang dan diberkati,” katanya optimis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️