Pahang

 MUHASABAH DIRI KEPADA SIAPA KITA BERSANDAR?

Oleh : FARIDAH KAMARUDDIN

Bersandar kepada makhluk, kita mungkin kecewa.

Bersandar kepada pokok yang rendang, suatu hari ia mungkin tumbang.

Bersandar kepada harta dan benda, akhirnya semuanya akan binasa.

Bersandar kepada manusia, mereka boleh berubah, pergi dan meninggalkan kita.

Maka, kepada siapa lagi kita hendak bersandar?

Bersandarlah kepada Allah SWT.

Konsep bersandar dan menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT melalui tawakal merupakan antara tanda keimanan serta sumber ketenangan jiwa seorang Muslim. Tawakal bukan bererti meninggalkan usaha, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh sambil menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥٓ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَٰلِغُ أَمْرِهِۦ ۚ قَدْ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

“Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Talaq: 3)

Ayat ini mengajar kita bahawa orang beriman hendaklah meletakkan pergantungan hatinya kepada Allah SWT, kerana Dia mengetahui segala keperluan hamba-Nya dan berkuasa mengatur setiap urusan.

Allah SWT turut berfirman:

وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا

“Dan bertawakallah kepada Allah; dan cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.”

(Surah al-Ahzab: 3)

Dalam menghadapi cabaran kehidupan, manusia boleh menjadi sebab kepada pertolongan Allah, tetapi jangan sampai hati kita bergantung mutlak kepada manusia. Yang menentukan segala sesuatu tetap Allah SWT.

Allah SWT berfirman:

إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِي يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan, maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah? Dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”

(Surah Ali ‘Imran: 160)

Tawakal bukan bererti meninggalkan usaha Rasulullah SAW mengajar bahawa tawakal yang sebenar tetap disertai usaha.

Daripada Umar bin al-Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu akan diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki; ia keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang pada waktu petang dalam keadaan kenyang.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Perhatikan kehidupan burung. Ia tidak duduk diam di sarangnya menunggu rezeki datang. Ia keluar mencari makanan. Namun rezekinya tetap datang daripada Allah SWT.

Begitulah tawakal.

Usaha dilakukan dengan anggota, tetapi pergantungan diletakkan di dalam hati kepada Allah SWT.

Jangan sandarkan hati kepada makhluk Manusia boleh menjadi sebab, tetapi manusia bukan penentu mutlak.

Harta boleh hilang. Kedudukan boleh berubah. Kesihatan boleh merosot. Sahabat boleh pergi. Bahkan orang yang paling kita harapkan juga mempunyai batas kemampuan.

Sebab itu hati seorang Mukmin tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada makhluk.

Allah SWT mengingatkan:

وَعَلَى ٱللَّهِ فَتَوَكَّلُوٓاْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

“Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Ma’idah: 23)

Ayat ini menghubungkan tawakal dengan keimanan. Semakin kuat hubungan seorang hamba dengan Allah SWT, semakin teguh hatinya ketika berhadapan dengan ujian.

Allah SWT mempunyai nama-nama yang menggambarkan kesempurnaan dan kekuasaan-Nya.

Al-Hayy – Yang Maha Hidup, tidak pernah mati dan tidak akan mati.

Al-‘Aziz – Yang Maha Perkasa, tiada siapa mampu mengalahkan-Nya.

Al-Jabbar – Yang Maha Berkuasa, yang mampu menguatkan hati yang lemah dan memperbaiki keadaan hamba-Nya.

Maka, jangan jadikan manusia sebagai tempat bergantung mutlak.

Jadikan Allah SWT tempat hati bersandar.

Apabila hati benar-benar bersandar kepada Allah, saat manusia berubah, kita tidak mudah rebah.

Saat dunia pergi, kita tidak kehilangan arah.

Saat segala jalan terasa tertutup, kita masih yakin bahawa jalan Allah sentiasa terbuka.

Saat Rasulullah SAW mengadu kepada Allah antara gambaran paling menyentuh tentang pergantungan kepada Allah SWT ialah doa Rasulullah SAW ketika menghadapi ujian berat selepas peristiwa di Taif.

Baginda mengadu:

اللَّهُمَّ إِلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ رَبُّ الْمُسْتَضْعَفِينَ، وَأَنْتَ رَبِّي، إِلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إِلَى بَعِيدٍ يَتَجَهَّمُنِي؟ أَمْ إِلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي؟ إِنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عَلَيَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظَّلُمَاتُ، وَصَلَحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ يَحِلَّ عَلَيَّ سَخَطُكَ، لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِكَ

Terjemahan:

“Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahan kekuatanku, sedikitnya dayaku, dan kehinaanku di sisi manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Engkau adalah Tuhan orang-orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau hendak menyerahkan diriku? Adakah kepada orang jauh yang berwajah suram/marah kepadaku, atau kepada musuh yang Engkau berikan kuasa menguasai urusanku? Jika Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli, namun perlindungan (‘afiyah) daripada-Mu adalah lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari segala kegelapan, dan yang dengannya urusan dunia serta akhirat menjadi baik, daripada Engkau menurunkan kemurkaan-Mu atasku atau turunnya azab kemarahan-Mu kepadaku. Hanya pada-Mu tempat aku memohon sehingga Engkau reda, dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan-Mu.”

Doa ini menggambarkan betapa dalamnya pergantungan seorang hamba kepada Allah SWT. Ketika manusia menolak, Allah tetap menjadi tempat mengadu. Ketika kekuatan diri terbatas, Allah menjadi tempat memohon pertolongan.

Namun, perlu difahami bahawa kekuatan seorang Mukmin bukanlah kerana hidupnya bebas daripada ujian. Sebaliknya, kekuatannya lahir kerana dia mempunyai tempat untuk kembali setiap kali diuji.

Cukuplah Allah SWT bagi kita.

Dialah sebaik-baik tempat bergantung, tempat mengadu dan tempat menyerahkan segala urusan dalam kehidupan serta perjuangan ini.

Semoga kita sentiasa diberikan kekuatan untuk berusaha, kesabaran menghadapi ujian dan hati yang teguh dalam bertawakal kepada Allah SWT.

Wallahu a’lam.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️