YB Mohd Adanan santuni dua atlet Bola Tampar Pantai SUKMA Kelantan
Oleh: Syamimi Manah
TUMPAT, 2 Ogos – Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan menyantuni dua anak mukim DUN Kelaboran yang bakal mewakili Kelantan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dengan menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada mereka pada 28 Julai lalu.
Dua atlet berkenaan, Muhammad Shahrin Zulkifli dan Tuan Ahmad Aba Khair Tuan Soh bakal menggalas cabaran Kelantan dalam acara Bola Tampar Pantai (Beregu) pada temasya SUKMA akan datang.
YB Mohd Adanan berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memberikan sokongan moral kepada atlet muda yang berusaha mengharumkan nama negeri dalam bidang sukan.
Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat membantu sedikit sebanyak urusan persiapan kedua-dua atlet sepanjang menghadapi kejohanan selain menjadi suntikan semangat untuk mereka memberikan aksi terbaik.
Sumber: inforakyat.kelantan.my