Ekspo Tani Kelantan 2026 catat jualan RM457,646 dalam tempoh tiga hari
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 26 Julai – Ekspo Tani Kelantan 2026 mencatat nilai jualan sebanyak RM457,646 setakat hari ketiga penganjurannya, sekali gus dijangka melepasi RM500,000 selepas berakhirnya program itu pada hari keempat.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jumlah itu direkodkan setakat hari ketiga program menerusi jualan di pelbagai gerai serta ruang pameran sepanjang ekspo yang berlangsung dari 22 hingga 25 Julai di Dataran Warisan Sultan Muhamad IV.
Katanya, walaupun penganjuran kali ini tidak diadakan dalam skala besar seperti sebelum ini, sambutan pengunjung tetap menggalakkan.
“Setakat hari ketiga, jualan yang dicatatkan oleh pelbagai gerai jualan dan juga di bahagian pameran ialah sebanyak RM457,646.
“Kalau dicampur dengan hari terakhir, iaitu hari keempat, kita jangka jumlah jualan akan melebihi setengah juta ringgit,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Ekspo Tani Kelantan 2026 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhamad IV, di sini, semalam.
Sumber: inforakyat.kelantan.my