SIRI 25: AIDIL ADHA & PENGERTIAN TADHIYYAH
Hari raya Aidiladha adalah merupakan hari kegembiraan buat seluruh umat Islam. Bahkan, hari raya ini adalah hati raya yang terbesar kerana mempunyai pelbagai timbunan peristiwa dan amalan yang istimewa.
TADHIYYAH
Tadhiyyah bermaksud pengorbanan, iaitu kesediaan seseorang untuk menyerahkan masa, tenaga, harta, malah jiwa demi mencapai keredaan Allah SWT dan kemaslahatan ummah tanpa mengharapkan balasan duniawi.
Dalam kehidupan seharian, aplikasi konsep ini dapat dilihat dengan contoh yang lebih dekat dengan kita iaitu apabila ibu bapa yang bekerja keras demi masa depan anak-anak. Itulah contoh tadhiyyah dalam membesarkan anak.
Manakala dari sudut ibadah, kita sebenarnya selalu diuji dengan tadhiyyah ini, kerana setiap orang yang beriman tidak akan dibenarkan ketaatan dan Iman dalam hati mereka melainkan setelah mereka diuji dengan perkara yang menyusahkan mereka. Maka, daripada itulah terbitnya konsep yang seiring iaitu tadhiyyah dan jihad.
PENGORBANAN MEREKA YANG MENUNAIKAN HAJI
Dengan mengambil tema tadhiyyah ini, umat Islam pada ketika ini sedang berusaha dengan sebaiknya untuk menghabiskan rukun-rukun fardhu Haji di Mekah setelah mereka wukuf di Arafah. Sudah tentu mereka sedang menghadapi pelbagai ujian sepanjang menunaikannya.
Penat lelah, kesesakan jutaan manusia, dan cuaca ekstrem adalah “ujian tarbiyah” yang melatih sifat sabar, toleransi, dan ihsan sesama manusia. Rasa reda dalam mengharungi ujian inilah yang membezakan antara sekadar “melancong” dengan beribadah. Itulah lumrah ibadah yang sejati kepada Tuhannya. Semakin mereka reda diuji dalam pengabdian mereka, semakin banyak limpahan kerahmatan keatas mereka.
Ibadah yang mereka kerjakan bukan sekadar ujian fizikal yang meletihkan, tetapi merupakan perlambangan penyerahan jiwa secara total kepada Allah SWT, menyingkap kembali sirah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.
PENGORBANAN SEORANG NABI KERANA UJIAN KETAATAN
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعۡیَ قَالَ یَـٰبُنَیَّ إِنِّیۤ أَرَىٰ فِی ٱلۡمَنَامِ أَنِّیۤ أَذۡبَحُكَ فَٱنظُرۡ مَاذَا تَرَىٰۚ قَالَ یَـٰۤأَبَتِ ٱفۡعَلۡ مَا تُؤۡمَرُۖ سَتَجِدُنِیۤ إِن شَاۤءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِینَ﴿ ١٠٢ ﴾
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
[Aṣ-Ṣāffāt, Ayat 102]
Bagi mereka yang selalu mendalami siri-siri sirah para nabi, sudah pasti akan tidak asing dengan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Sirah ini selalu ‘evergreen’ dan sentiasa relevan diceritakan pada musim perayaan Aidil Adha ini.
Bagaimana seorang Nabi mendepani ujian yang begitu besar apabila diperintahkan untuk menyembelih anaknya sendiri? Bahkan apabila diberitakan kepada anak baginda iaitu Nabi Ismail AS, Nabi Ismail AS akur dengan penuh keredaan kerana keimanannya kepada Allah SWT. Betapa tinggi pengorbanan kedua insan ini, seorang ayah yang berkorban demi ketaatannya kepada Tuhan dan pengorbanan seorang anak yang akur dengan ayahnya seorang Nabi yang mendapat arahan daripada Tuhannya.
Inilah keindahan cinta ahli keluarga yang masing-masing mencintai dan dicintai kerana Allah SWT. Sesungguhnya keredaan Allah SWT sentiasa bersama hamb-Nya yang dikasihi, maka Allah SWT menggantikan sembelihan anaknya itu dengan seekor kibas bagi menunjukkan rahmat dan kebesaran Allah SWT kepada hambanya yang taat kepad-Nya.
IBADAH KORBAN
Manakala di dalam perayaan ini, dikhususkan padanya amalan sunat korban yang menjanjikan pahala yang besar dan pengampunan dosa kepada mereka yang melaksanakan ibadah korban ini. Bahkan, hasil daripada binatang yamg dikorbankan itu akan dijadikan saksi keikhlasan kita di akhirat nanti.
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” [Riwayat al-Tirmizi (1493)]
PENUTUP
Aidiladha bukan sekadar perayaan penyembelihan haiwan korban, bahkan ia merupakan madrasah tarbiah yang mengajar umat Islam erti tadhiyyah dan jihad dalam kehidupan. Tadhiyyah mengajar kita tentang pengorbanan seperti dengan mengorbankan harta, masa, tenaga bahkan kehendak diri demi mencari keredaan Allah SWT. Manakala jihad pula bukan hanya terbatas di medan peperangan, tetapi merangkumi perjuangan melawan hawa nafsu, mempertahankan kebenaran serta istiqamah dalam mentaati perintah Allah SWT walaupun berat untuk dilaksanakan.
Justeru, semangat Aidiladha sewajarnya melahirkan umat Islam yang sanggup berkorban demi agama, masyarakat dan ummah. Semoga kita menjadi hamba yang sentiasa bersedia berjihad memperbaiki diri serta berkorban pada jalan Allah SWT demi meraih keredaan dan kasih sayang-Nya
WAN AHMAD SOLEH
LAJNAH DAKWAH, PERPADUAN NASIONAL & HUBUNGAN NGO