WP Kuala Lumpur

Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Wangsa Maju Berlangsung Meriah, Himpunkan 4,000 Pengunjung

Wangsa Maju, 13 April 2026 – Program Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Kawasan Wangsa Maju telah berlangsung dengan penuh meriah di Tapak Pasar Malam Taman Melati, Wangsa Maju, dengan kehadiran dianggarkan seramai 4,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. semalam.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat terdiri daripada pimpinan pelbagai parti politik, antaranya Ustaz Haji Azhar Bin Yahya, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, YB Ir Ts Zahir Hasan, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Ng How Doo, Pengerusi MCA Wangsa Maju, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia serta Mohamad Ridzal Ghazali, Ketua Bahagian PPBM Wangsa Maju. Kehadiran mereka bersama saf kepimpinan PAS dan parti-parti politik di Parlimen Wangsa Maju mencerminkan semangat muafakat dan keharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelbagai juadah tradisional dan moden telah disediakan oleh setiap PAS cawangan dalam kawasan Wangsa Maju, menjadikan program ini bukan sahaja sebagai medan ukhuwah, malah platform memperkenalkan kepelbagaian budaya makanan kepada para pengunjung.

Majlis turut diserikan dengan acara simbolik pemotongan kek oleh pimpinan parti-parti politik sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan. Selain itu, program penyampaian duit raya kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah turut menceriakan suasana, khususnya dalam kalangan keluarga yang hadir.

Acara bertambah meriah dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Nur Syahadah yang berjaya menarik perhatian para hadirin melalui alunan lagu-lagu yang menyentuh jiwa serta menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri.

Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Abdul Rani Mohamed Daud dalam ucapannya menzahirkan penghargaan atas kehadiran para tetamu dan sokongan padu masyarakat. Beliau menegaskan bahawa program seperti ini menjadi medium penting dalam mengukuhkan hubungan silaturrahim serta mendekatkan PAS dengan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Wangsa Maju, Beyhaqi Ramli dalam ucapannya menyeru golongan muda untuk terus memainkan peranan aktif dalam masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan ummah secara holistik.

Secara keseluruhannya, Rumah Terbuka Aidilfitri ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform penyatuan masyarakat serta memperkukuhkan jaringan hubungan antara pimpinan dan rakyat di Parlimen Wangsa Maju.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️