Halal, keselamatan makanan agenda serius kerajaan negeri – TMB Kelantan
Oleh: Irham Hilmi Hashim
Kredit foto: Media YB Dato’ Tuan
MACHANG, 7 Mei — Kerajaan Negeri Kelantan memberi penegasan serius terhadap kepentingan memperkukuhkan kefahaman berkaitan penyembelihan halal dan keselamatan makanan sebagai agenda penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat serta pematuhan terhadap tuntutan syarak terus dipelihara.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, isu halal dan keselamatan makanan adalah isu serius kerana melibatkan aspek hukum, kesihatan awam dan kebajikan haiwan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Asas Pengenalan Penyembelihan Halal dan Pengurusan Penyakit Ternakan di Dewan Majlis Daerah Machang, di sini, hari ini.
Menurutnya, kefahaman yang tepat berkaitan penyembelihan halal perlu diperkukuhkan agar setiap amalan yang dilaksanakan benar-benar menepati hukum syarak dan standard keselamatan makanan yang ditetapkan.
“Dalam masa yang sama, sektor penternakan memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan makanan negara. Oleh itu, pengurusan ternakan dan penyakit ternakan yang sistematik serta berkesan amat diperlukan bagi memastikan kualiti hasil ternakan sentiasa terjamin.
“Saya melihat penglibatan para imam dalam kursus ini sebagai satu langkah yang sangat baik kerana mereka merupakan agen penyampai maklumat kepada masyarakat berkaitan halal dan kebajikan haiwan,” katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my