KelantanNegeri

Kutipan zakat MAIK tahun 2025 cecah RM354.6 juta, tertinggi dalam sejarah

Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 19 April — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah apabila mencecah RM354.6 juta bagi tahun 2025, meningkat 19 peratus berbanding RM296.8 juta pada tahun sebelumnya.

Yang Dipertua MAIK YBM Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan tersebut mencerminkan pertumbuhan positif kesedaran berzakat dalam kalangan masyarakat, selain disokong prestasi ekonomi yang memberangsangkan.

“Segmen terbesar kutipan zakat ini adalah daripada zakat pendapatan iaitu RM229.2 juta. Diikuti zakat perniagaan berjumlah RM62.1 juta, zakat wang simpanan RM25.4 juta, zakat harta RM14.5 juta serta lain-lain zakat termasuk zakat fitrah, emas dan perak, saham, ternakan, qada serta pertanian yang keseluruhannya berjumlah RM23.2 juta.

“Peningkatan terbesar direkodkan melalui zakat pendapatan dengan kenaikan sebanyak 24 peratus atau RM43.8 juta berbanding RM185.3 juta pada 2024,” katanya pada sidang media Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK, yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sumber: inforakyat.kelantan.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

📱 📘 🐦 ✈️