Program Iqamatu as-Solat bentuk generasi kekal dirikan solat – Dato’ Mohd Amar
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 29 Januari – Program Iqamatu as-Solat yang dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan membina satu generasi yang kekal mendirikan solat dan menjadikan ibadah itu sebagai sifat yang melekat dalam diri, kata Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Dr Mohd Amar Abdullah.
Katanya, solat tidak seharusnya dilaksanakan hanya ketika rajin atau dalam keadaan lapang, sebaliknya perlu didirikan dalam apa jua keadaan.
“Bukan melaksanakan sembahyang ketika rajin dan tidak sibuk sahaja, tetapi sentiasa melaksanakan ibadah sembahyang walau dalam apa keadaan sekalipun.”
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin pada Majlis Perasmian Program Iqamatu as-Solat Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, di sini, hari ini.
Dato’ Dr. Mohd Amar berkata, amalan solat perlu dijadikan sebagai darah daging dan nadi dalam kehidupan sehingga seseorang terdorong untuk mendirikannya secara automatik apabila masuk waktu.
Sumber: inforakyat.kelantan.my