Kelantan laksana Kajian Penghayatan Solat pertama, ambil masa 10 bulan untuk disiapkan
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 29 Januari – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Bahagian Dakwah Halaqat Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sedang melaksanakan satu kajian penghayatan solat di seluruh negeri ini.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, kajian berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya dijalankan di Kelantan dan mengambil tempoh selama 10 bulan untuk disiapkan.
Menurutnya, kajian itu bertujuan memastikan rakyat di semua jajahan di negeri ini menunaikan solat fardu serta mengenal pasti tahap penghayatan solat dalam kalangan masyarakat Islam.
“Melalui kajian ini, kita dapat mengenal pasti bermula daripada peringkat akil baligh ke atas, siapa yang tidak menunaikan solat fardu serta peratusan mereka yang menunaikan solat fardu secara sempurna di Negeri Kelantan.”
Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian Program Iqamatu as-Solat Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tunjong, di sini, hari ini.
Sumber: inforakyat.kelantan.my