Kursus Keusahawanan Produk Sejuk Beku bantu 40 peserta e-Kasih pertingkat taraf hidup
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 27 Januari – Penganjuran Kursus Keusahawanan Produk Makanan dan Minuman Sejuk Beku peringkat negeri Kelantan membantu meningkatkan taraf hidup 40 peserta daripada pangkalan data e-Kasih, sekali gus menyokong usaha mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya menjadi penyumbang kepada ekonomi komuniti setempat.
Program anjuran Pertubuhan Ikatan Pembangunan Usahawan Malaysia (PIAGAM) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu melibatkan kursus intensif selama lapan hari bermula pada 19 hingga 26 Januari lalu di sebuah hotel, di Kota Bharu.
Sehubungan itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah berkata, program tersebut dirangka secara menyeluruh merangkumi modul teori dan latihan praktikal bagi melahirkan usahawan berdaya saing dalam bidang produk makanan dan minuman sejuk beku.
Menurutnya, sebaik tamat kursus, setiap peserta akan dibekalkan peralatan perniagaan bernilai RM10,000 termasuk peti sejuk beku serta kelengkapan berkaitan bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan dalam tempoh 15 hari selepas tamat latihan.
Sumber: inforakyat.kelantan.my