Anak muda Machang berjaya tanam tin, potensi agropelancongan berkembang
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Media ADN
MACHANG, 27 Januari – Kejayaan seorang anak muda dari Machang mengusahakan kebun tin dan berkonsepkan agro-pelancongan mendapat perhatian pemimpin tempatan apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemuning YB Ahmad Zakhran Mat Noor mengadakan kunjungan ke Kebun Anggur dan Tin Machang (Po-Land GrapeFig Mace) di Kampung Batu 31, Jalan Kuala Krai, d sini, pada Khamis.
Kebun tersebut diusahakan oleh Nur Taufiq Yusuf, 36, seorang mantan jurugambar profesional yang kini memilih haluan baharu sebagai petani moden dengan menumpukan penanaman pokok tin, khususnya varieti Masui Dauphine (MDA) dan Constantine De Algerie (CDA).
YB Ahmad Zakhran menzahirkan ucapan tahniah kepada usahawan muda itu atas kejayaannya menghasilkan buah tin berkualiti tinggi dengan keunikan rasa yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan tempatan bahkan turut menarik minat pelanggan dan pelancong dari luar negara.
βKita kagum dengan kegigihan anak muda Machang ini. Bermula dengan hanya lima anak pokok dan modal sekitar RM500, kini bukan Taufiq saja yang mampu tersenyum puas melihat deretan pokok tin miliknya yang berbuah lebat. Pengunjung pelanggan tempatan bahkan pelancong antarabangsa pun terpesona,β katanya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my