ISLAM LIBERAL CABARAN GERAKAN ISLAM
KERTAS KERJA
LIQA FIKRI PAS PUSAT
ISLAM LIBERAL: CABARAN GERAKAN ISLAM
MUQADIMAH
Perkembangan mutakhir apabila musuh Islam menentang Islam daripada dalam dan luar, sehingga melibatkan aspek aqidah umat Islam.
Serangan dilakukan dengan menimbulkan perpecahan mazhab dalam perkara furu’ atau cabang yang tidak merosakkan iman dan Islam, mewujudkan firqah yang nyata diketahui sesat daripada ajaran Islam dan mencipta ideologi moden yang dilahirkan daripada fahaman ‘ilmaniyyah (sekularisme), yang bermaksud agama itu tiada kaitan dengan urusan dunia.
Perkara ini perlu menjadi perhatian kita kerana ajaran-ajaran ini telah dibawa masuk ke dalam negeri umat Islam dan menjadi senjata serangan pemikiran yang berkesan pada zaman ini untuk menjauhkan umat Islam dengan cara dan hujah yang halus.
Mereka tidak menolak Islam dan masih mengaku sebagai penganut Islam, tetapi serangan pemikiran ini telah berjaya menyesatkan aqidah atau sekurang-kurangnya memecahbelahkan umat Islam yang jahil atau tidak sempurna ilmunya kepada berbagai-bagai ideologi dan kumpulan yang memperjuangkan ideologi tersebut. Sehinggakan, berlaku pertarungan sesama sendiri dan hanyut dari Islam secara sedikit demi sedikit.
Benarlah firman Allah SWT:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ كَٰفِرِينَ ١٠٠﴾
“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu taat akan satu golongan dalam kalangan mereka yang mempunyai kitab, nescaya mereka akan menyesatkan kamu setelah kamu beriman menjadi orang-orang yang kafir!”. [Surah Ali ‘Imran: 100]
Hadis Rasulullah SAW:
قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: «لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ. قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، آلْيَهُودُ وَالنَّصَارَى؟ قَالَ: فَمَنْ؟»
Rasulullah SAW bersabda, “Kamu akan terpengaruh dengan perjalanan (ajaran) orang-orang zaman dahulu sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu ikut juga.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda bersabda, “Siapa lagi?”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-I‘tisam bi al-Kitab wa al-Sunnah, No. 7320, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-‘Ilm, No. 2669, daripada Abu Sa‘id al-Khudri. Lafaz bagi Muslim.]
Aliran ideologi, falsafah, dan teori tersebut, khususnya mengenai urusan kenegaraan, ekonomi, atau kemasyarakatan memakai berbagai-bagai nama seperti sekularisme, kapitalisme, nasionalisme, pragmatisme, dan sebagainya. Kini, ia berterusan lebih mengelirukan apabila segala aliran tersebut dimasukkan atas nama pengajian Islam menggunakan jenama tersendiri seperti Islam liberal dan sebagainya.
Umat Islam kini berada dalam keadaan yang sangat bahaya kerana penganutnya sendiri menganut fahaman-fahaman yang tiada kena-mengena dengan Islam, walaupun mereka mengaku Islam dan ada yang masih sayang akan Islam kerana masih memiliki kemanisan iman. Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
«ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.»
“Sesiapa yang ada pada dirinya tiga perkara, nescaya dia memiliki kemanisan iman: Allah dan Rasul lebih disayangi daripada yang lain, tiadalah kasihnya kepada seseorang melainkan kerana Allah, dan dia benci kembali menjadi kufur setelah Allah menyelamatkannya bersama Islam laksana dia tidak mahu dicampak ke dalam Neraka.”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 16, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 43, daripada Anas bin Malik]
Timbulnya umat Islam yang bersikap sedemikian mungkin disebabkan kejahilan dan tiada sesiapa yang mengajarinya. Hal ini dinyatakan oleh al-Marhum al-Shahid ‘Abd al-Qadir ‘Awdah dalam karyanya ‘الإسلام بين جهل أبنائه وعجز علمائه’ (Islam antara Kejahilan Penganutnya dengan Kelemahan Ulamanya) dan al-Shaykh Muhammad al-Sayyid al-Wakil dalam karangannya ‘هذا الدين بين جهل أبنائه وكيد أعدائه’ (Inilah Islam antara Kejahilan Penganutnya dengan Tipu Daya Musuhnya).
Justeru itu, gerakan islah dan tajdid hendaklah terus-menerus berperanan dalam menyelamatkan aqidah umat Islam dalam bentuk dan ulasan yang berbeza mengikut perubahan masa, tempat, situasi, dan realiti.
ISLAM LIBERAL
Kemunculan ajaran baharu yang meletakkan jenama Islam bersamanya, iaitu Islam liberal, mengikut pengaruh liberalisme Barat adalah berkonsepkan kebebasan daripada ikatan agama dan akhlak.
Fahaman liberalisme berakar umbi daripada Zaman Pencerahan (Enlightenment) di dunia Barat setelah mengalami zaman kegelapannya. Perubahan berlaku selepas mereka terpengaruh dengan Hadarah Islamiah (Tamadun Islam) dengan memisahkannya daripada agama Islam yang sempurna.
Akhirnya tercipta tamadun barat dan membuahkan aliran sekularisme yang meminggirkan agama daripada urusan duniawi, khususnya politik yang mentadbir negara.
Mereka berusaha mempengaruhi umat Islam dengan teori yang sesat ini. Maka, beberapa istilah yang disebut dalam Islam dikelirukan dengan menggunakan akal tanpa merujuk kepada petunjuk yang bersumberkan ajaran Islam yang sebenar.
Antaranya ialah mengambil kesempatan daripada kesempurnaan Islam yang berkonsepkan alam sejagat, kebebasan atau kemerdekaan, keadilan, persamaan (al-musawah), keseragaman, dan rahmat untuk sekalian alam (rahmah li al-‘alamin) serta banyak lagi dengan pendekatan yang mengheret keluar daripada landasan aqidah, syariah, dan akhlak yang sempurna dalam Islam.
Perlu diketahui bahawa Islam daripada Allah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana adalah paling sempurna dengan kejadian manusia. Allah menetapkan petunjuk-Nya dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia, dengan nas yang nyata melalui kitab yang diwahyukan serta Rasul yang dipilih dan dikawal tindak-tanduk dan langkahnya untuk menjadi teladan kepada seluruh manusia.
Namun, dalam perkara yang mampu dicapai oleh keupayaan dan pengalaman, manusia diizinkan untuk membuat keputusan secara ijtihad, dengan syarat kemampuan dan ketajaman akal serta pengalaman supaya tidak sesat dan tidak hanyut.
Islam menetapkan konsep kebebasan manusia dengan ikatan aqidah, memperhambakan diri kepada Allah sehingga dibebaskan daripada kezaliman sesama manusia, bukannya terbabas sehingga terputus hubungan dengan Allah yang sentiasa memelihara mereka.
Keadilan ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan peranan manusia dengan saksama, manakala persamaan pula adalah dalam perkara tertentu seperti pahala amal soleh antara lelaki dan perempuan.
Adapun kejadian manusia tetap tidak sama dari sudut kemampuan dan peranan, maka hendaklah kembali semula kepada konsep keadilan mengikut ketetapan Allah. Contohnya, dalam pembahagian harta faraid, hendaklah kembali kepada konsep yang adil dalam sifat yang tidak ada persamaan berkaitan peranan dan tanggungjawab manusia dalam berkeluarga.
Rahmat Allah adalah menyeluruh dan adil terhadap semua makhluk-Nya. Maka, Allah tidak mengizinkan seorang penjenayah dan orang yang zalim dibiarkan tanpa dihukum atas nama rahmat, sehingga mengorbankan orang yang dizalimi dan ditindas orang yang lemah sewenang-wenangnya. Begitulah kebijaksanaan Allah dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia yang bersifat makhluk dan tetap mempunyai kelemahan.
Konsep liberalisasi hari ini telah menghilangkan harga diri manusia di negara yang beramal dengannya. Runtuhnya harga diri manusia dan musnahnya hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, sehingga manusia menjadi lebih hina daripada binatang.
Mereka membenarkan perkahwinan sejenis atas nama kebebasan setelah mereka mengizinkan hubungan tanpa perkahwinan yang telah merosakkan institusi kekeluargaan. Bukan sahaja pakaian dan makanan yang tanpa peduli akan halal dan haram, bahkan telah membawa penyakit roh dan jasad. Maka, berlakulah firman Allah SWT:
﴿وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩﴾
“Dan sesungguhnya, Kami telah sediakan bagi Neraka Jahanam itu ramai dalam kalangan jin dan manusia, yang mempunyai akal namun tidak berfikir dengannya, mempunyai mata namun tidak melihat dengannya, dan mempunyai telinga namun tidak mendengar (mengambil pengajaran) dengannya. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]
Mereka merosakkan diri sendiri dan bumi tempat mereka berpijak disebabkan kebebasan di luar batas sifat kemanusiaan atas nama kebebasan sejagat. Allah SWT berfirman:
﴿ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ ثُمَّ رَزَقَكُمۡ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡۖ هَلۡ مِن شُرَكَآئِكُم مَّن يَفۡعَلُ مِن ذَٰلِكُم مِّن شَيۡءٖۚ سُبۡحَٰنَهُۥ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٤٠ ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾
“Allah sahaja Tuhan yang mencipta kamu, kemudian Dia memberikan rezeki kepada kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Adakah pula sekutu-sekutu yang lain menjadi tuhan kamu? Siapa lagi yang berkuasa mencipta sesuatu? Maha Suci dan Maha Tinggi Tuhan atas apa-apa sahaja yang mereka lantik menjadi sekutu-sekutu. (40) (Sebenarnya) telah nyata kemusnahan di daratan dan lautan dengan sebab usaha yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia, supaya dirasakan sebahagian daripada akibat kerja jahat mereka, supaya mereka kembali sedar dan insaf. (41)” [Surah al-Rum: 40–41]
Liberalisme beranggapan sistem ekonomi pasaran bebas lebih cekap dan menjana lebih banyak kemakmuran, di samping mempengaruhi urusan lain dalam kehidupan bermasyarakat, berkeluarga dan akhlak individu.
Dalam aspek ekonomi pula, Islam mengakui hak kebebasan individu yang saksama dengan kewajipan bermasyarakat. Begitu juga dalam aspek-aspek yang lain, khususnya aspek pembangunan insan yang memenuhi ciri-ciri fitrah manusia yang mempunyai roh, jasad, dan akal, serta berjati diri dan bermasyarakat yang tidak berpisah dan berwawasan dunia hingga akhirat.
Adapun Islam tetap beristiqamah dan teguh dalam perkara rukun, prinsip, dan fitrah. Islam juga ada murunah (fleksibel) dalam menangani perubahan dan perbezaan dalam kehidupan manusia dan kejadian alam dengan tajdid dan islah yang tidak berpisah daripada asas agama Islam dan rukunnya mengikut hikmah manusia diciptakan.
Semua mazhab dalam Islam melahirkan pendapat yang berbeza dalam perkara cabang bagi menangani sebarang perubahan dan pembaharuan, namun tetap bersatu dalam perkara rukun aqidah, syariat, akhlak, dan fitrah yang tetap. Hal ini menjadikan semua urusan tidak berpisah daripada agama Islam.
Walaupun hilangnya kuasa Islam dalam pemerintahan pada zaman kelemahan umat sehingga dijajah dan dibelasah oleh penjajah, ilmu Islam dalam semua mazhab muktabar tetap terpelihara. Al-Quran yang menjadi mukjizat ilmu juga tidak hilang kerana dipelihara oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:
﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ ٩﴾
“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya, Kami benar-benar memeliharanya.” [Surah al-Hijr: 9]
Maka, Islam tidak perlu meminjam istilah Barat seperti ortodoks, konservatif, liberal, progresif, dan sebagainya sehingga mengubah prinsip, rukun, dan hukum fitrah.
Allah memberikan amaran supaya jangan terpengaruh dengan pihak lain yang berkitab suci tetapi melakukan penyelewengan terhadap prinsip agama Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗا لَّسۡتَ مِنۡهُمۡ فِي شَيۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ١٥٩﴾
“Sesungguhnya, orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu kepada mereka. Sesungguhnya, urusan mereka hanyalah terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu mereka apa-apa yang telah mereka berbuat.” [Surah al-An‘am: 159]
Dalam aspek politik, Islam menegaskan kewajipan berkonsep adil yang menyeluruh. Islam menerima konsep khilafah, republik, dan raja berperlembagaan yang mendaulatkan syariat Allah, berteraskan iman, dan mewajibkan kepimpinan Islam yang berkuasakan Islam.
Pada masa yang sama, Islam menolak segala bentuk kezaliman sama ada oleh individu ataupun kumpulan yang berjenama demokrasi tetapi menipu rakyat. Demikianlah keadaan yang tidak boleh dikawal oleh konsep sekularisme.
Al-Quran menunjukkan contoh khilafah seperti pemerintahan Nabi Dawud AS dan raja berperlembagaan seperti pemerintahan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain yang adil. Paling akhir ialah pusaka ajaran Rasulullah SAW, para sahabat, dan tabiin.
CABARAN GERAKAN ISLAM
Di sana, ada lagi ajaran-ajaran dan badan-badan yang ditubuhkan pada zaman mutakhir yang boleh merosakkan aqidah, selain berjuang ke arah merosakkan pegangan manusia terhadap Islam dengan berbagai-bagai cara dan nama yang menarik lagi mengelirukan.
Ada yang melahirkan simpati dan berpura-pura tidak bercanggah dengan Islam, malah dengan beraninya menisbahkan Islam kepadanya. Ada juga yang pada zahirnya kelihatan membantu untuk memajukan Islam, tetapi dalamnya ditaburkan racun-racun perosak aqidah yang sangat berbahaya.
Antaranya ialah ajaran yang mencampuradukkan antara satu sama lain seperti pragmatisme yang mengambil cara baru daripada campuran kapitalisme, komunisme, sosialisme, dan sebagainya yang difikirkan munasabah mengikut akal mereka. Sehingga meresap masuk melalui pengaruh politik, ekonomi, dan tokoh tertentu.
PAS yang berpegang kepada aqidah Islam dan syariatnya yang sempurna menentang langkah ke arah perubahan berjenama progresif atau liberal yang berkonsepkan sekularisme serta sesiapa yang bersekongkol dengannya. Konsep ini nyata mencabar Islam dan konsep kepimpinannya, sama ada oleh satu parti seperti DAP dan sepertinya ataupun kerjasama gabungan seperti Pakatan Harapan dan komponennya walaupun berjenama Islam.
Firman Allah SWT:
﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ ١٢﴾
“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi.’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya, kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.’ (11) Ingatlah, sesungguhnya, mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar. (12)” [Surah al-Baqarah: 11–12]
PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dalam titik persamaan yang tidak mengheret PAS keluar dari prinsip beristiqamah, beraqidah Islam, dan berkonsepkan Islam memimpin bukan dipimpin, berpandukan firman Allah SWT:
﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣﴾
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu ikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
Rasulullah SAW mentafsirkan ayat di atas dengan melakar satu garisan yang lurus di atas tanah. Kemudian, Baginda melakar cabang-cabang yang di setiap cabang itu adanya syaitan yang menggoda supaya terpesong dari sampai ke hala tuju, yakni jalan yang lurus mengikut petunjuk Allah. [Hadis riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Tafsir, No. 11109, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukhthirin min al-Sahabah, No. 4437, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
PAS membatalkan kerjasama dengan parti-parti yang mengheretnya keluar dari sempadannya apabila nyata memusuhi Islam, menafikan kedaulatan dan kepimpinannya seperti sekularisme, atau memesongkan dari dasar dan hala tujunya dengan menggunakan istilah yang menarik dan bahasa yang menggoda seperti liberal, progresif, madani, dan lain-lain.
Firman Allah SWT:
﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١﴾
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]
Firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]
PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak secara tahaluf atau ta‘awun dalam sempadan prinsip dan rukun perjuangannya. Tindakan ini berpandukan firman Allah SWT yang diulangi dengan tegas beberapa kali:
﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩﴾
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Firman Allah SWT:
﴿… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢﴾
“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan melampau. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya, Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]
PAS mempunyai pasukan ilmuwan yang memelihara hukum nas dan ijtihad secara jama‘i dalam Majlis Syura Ulamak serta kepimpinan berbagai-bagai lapangan yang cukup dalam segala jurusan, bagi memelihara ilmu dan mentadbir dalam lapangan perjuangannya.
PERANAN DEWAN ULAMAK, DEWAN MUSLIMAT DAN DEWAN PEMUDA
Dewan Ulamak
Ulama’ mesti berperanan untuk menyedarkan umat Islam agar ada jati diri berasaskan Islam. Menyedarkan masyarakat terhadap bahaya serangan pemikiran yang merosakkan jati diri seorang muslim, seperti Islam Liberal, Islam Plural, Ideologi Pragmatism yang menjadikan sebahagian orang Islam hilang identiti beragama, pecah amanah, rasuah dan khianat, serta kejahilan ummah terhadap Islam dan cara mengatasinya.
Dewan Muslimat
Manakala Muslimat mesti memperkasakan program pembinaan keluarga dan kemasyarakatan, di samping memainkan peranan utama dalam isu wanita dan keluarga berasaskan kepada penyelesaian Islam.
Dewan Pemuda
Pemuda pula mesti berperanan dalam menggerakkan program pendidikan politik dalam kalangan anak muda. Memperkenalkan tentang politik Islam yang mampu menjadi benteng menyelamatkan diri, keluarga, harta benda dan kehidupan bersosial daripada terus pincang dan rosak.
PENUTUP
Perkara-perkara yang disebut dalam penulisan ini hanyalah sebagai contoh untuk peringatan supaya kita tidak terjerumus ke dalam ajaran-ajaran baru dan lama yang bercanggah dengan Islam, serta tidak melakukan kemungkaran terhadap aqidah Islamiah dan penganutnya.
Bagi mengetahui lebih lanjut dan terperinci, bolehlah melakukan kajian mengikut perkembangan yang berlaku dari semasa ke semasa, kerana pertarungan antara iman dengan kufur akan sentiasa berpanjangan hingga Hari Kiamat.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Julai 2024