PRU 16 – PN Pahang sasar 26 DUN, 10 Parlimen menerusi pemukiman

KUANTAN, 28 Apr – “Perikatan Nasional (PN) Pahang menetapkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi merealisasikan gagasan ‘PN Teraju Pahang’,” kata Setiausaha PN Pahang, Dato’ Andansura Rabu.
Menurut beliau, sasaran tersebut diputuskan menerusi Pemukiman Perikatan Nasional Pahang yang berlangsung di Kerdau baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah serta Ketua Badan Perhubungan PN Indera Mahkota berkata, pemukiman itu turut merumuskan komitmen PN Pahang untuk mengangkat pentadbiran yang mesra rakyat, berintegriti dan berkebajikan dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.
“Resolusi ini akan menjadi aspirasi utama PN Pahang sekiranya diberi mandat mentadbir negeri pada PRU16,” katanya.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, seluruh petugas dan jentera parti akan digembleng secara menyeluruh, tersusun serta berstrategi.
Beliau menegaskan, kesepaduan dalam kalangan pimpinan dan jentera parti merupakan kunci utama dalam memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi PRU16.
“Usaha ini penting bagi memastikan kemenangan sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan PN sebagai teraju pentadbiran Pahang.
“Saya optimis PN Pahang mampu menangani segala cabaran, sama ada dalaman mahupun luaran, agar setiap perancangan berjalan lancar dan dipermudahkan Allah,” katanya.
Program itu julung kali diadakan sejak PN Pahang dipimpin oleh Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Timbalan Presiden PAS, serta menghimpunkan pimpinan PAS, Bersatu dan Gerakan bagi memperkukuh kesepaduan dalaman.
