Hiburan kontroversi di Cherating perlu diteliti

KUANTAN, 29 Apr — Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Dato’ Andansura Rabu meminta pihak berkuasa meneliti secara lebih berhati-hati penganjuran acara hiburan yang berpotensi menimbulkan sensitiviti agama dan budaya setempat.
Beliau difahamkan acara Music Water Festival di Cherating yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.
“Saya memohon agar acara berkenaan tidak diberi kebenaran untuk diteruskan, selain aspek ekonomi dan pelancongan, penganjuran sesuatu acara perlu mengambil kira sensitiviti agama, budaya serta manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurut beliau, penganjuran acara seumpama itu menimbulkan persoalan memandangkan ia pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini dan masyarakat mempersoalkan manfaat beberapa program yang dianjurkan di sekitar Kuantan, khususnya melibatkan golongan muda.
Beliau yang juga sebagai Setiausaha Perikatan Nasional Pahang, turut menggesa pihak berkuasa supaya lebih selektif dalam meluluskan acara agar tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap pentadbiran negeri.
Tambahnya, walaupun terdapat banyak program yang memberi manfaat, penganjuran acara yang tidak sesuai boleh memberi gambaran kurang baik kepada masyarakat.

“Institusi dan pihak berkuasa perlu dilihat peka dalam membuat pertimbangan supaya keseimbangan antara pembangunan dan nilai masyarakat dapat dipelihara, kita mengrharapkan pembangunan negeri dapat dilaksanakan seiring dengan pemeliharaan nilai sosial serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.