TOPENG DEMOKRASI, WAJAH DIKTATOR
Minda Presiden PAS
[Bil: 28 / 2026]
TOPENG DEMOKRASI, WAJAH DIKTATOR
Inilah konsep reformasi yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di negaranya. Presiden dan ahli Kongres yang dipilih oleh rakyat, yang ditipu dan dibeli, diwajibkan pula patuh kepada Presiden secara mutlak, mengetepikan perlembagaan dan undang-undang, termasuk undang-undang antarabangsa. Keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dibatalkan dengan kuasa veto dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga diketepikan. Presiden mengangkat diri sendiri dengan angkuh sebagai yang paling bijak, seolah-olah semua presiden terdahulu bodoh. Bukan itu sahaja, bahkan rakyat juga diperbodohkan.
Konsep ini ditolak oleh demokrasi sebenar yang menjadi asas perjuangan Amerika Syarikat dan Blok Barat, berslogankan demokrasi purba “suara rakyat, suara tuhan” (Vox Populi, Vox Dei). Di Malaysia, diubah pula kepada “suara rakyat, suara keramat.”
Perubahan tersebut dilakukan oleh Donald Trump yang mengisytiharkan perang, menceroboh negara berdaulat Venezuela dan menawan presidennya, Nicolas Maduro. Selain itu, Trump juga turut membantu negara Zionis Israel mengganyang kumpulan Islam Palestin dan semua kumpulan Islam yang bersamanya serta menyerang Republik Islam Iran. Semuanya disenaraikan sebagai pengganas yang dihalalkan darahnya.
Secara terbuka, Donald Trump pula sangat rakus mencari kepuasan nafsu dan jasad tanpa sempadan yang dipandu akal yang hanya ada pada manusia, tetapi tidak ada pada binatang yang bernafsu semata-mata. Apabila nafsunya menguasai akal, maka kejahatannya lebih bijak daripada binatang. Menjadikannya terpalit dalam semua skandal seperti wanita, harta dan takhta.
Kemudian, bertindak merampas harta rakyat dan menceroboh negara berdaulat yang banyak hasil buminya seperti Venezuela, mahu menjajah Kanada dan Greenland, menyerang Republik Islam Iran dan mahu menakluk negara Asia Barat yang kaya dengan harta. Semuanya dilakukan dengan kuasa mutlak tanpa kelulusan rasmi negara serta melanggar undang-undang antarabangsa, dengan keganasan melampau yang mengatasi sifat kebinatangan.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَـٰمِ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩
Surah 7: 179
Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu laksana binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Allah SWT berfirman berkaitan mereka yang bertuhankan hawa nafsu:
أَفَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَٰهَهُۥ هَوَىٰهُ وَأَضَلَّهُ ٱللَّهُ عَلَىٰ عِلۡمٖ وَخَتَمَ عَلَىٰ سَمۡعِهِۦ وَقَلۡبِهِۦ وَجَعَلَ عَلَىٰ بَصَرِهِۦ غِشَٰوَةٗ فَمَن يَهۡدِيهِ مِنۢ بَعۡدِ ٱللَّهِۚ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ ٢٣ وَقَالُواْ مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا ٱلدُّنۡيَا نَمُوتُ وَنَحۡيَا وَمَا يُهۡلِكُنَآ إِلَّا ٱلدَّهۡرُۚ وَمَا لَهُم بِذَٰلِكَ مِنۡ عِلۡمٍۖ إِنۡ هُمۡ إِلَّا يَظُنُّونَ ٢٤ وَإِذَا تُتۡلَىٰ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتُنَا بَيِّنَٰتٖ مَّا كَانَ حُجَّتَهُمۡ إِلَّآ أَن قَالُواْ ٱئۡتُواْ بَِٔابَآئِنَآ إِن كُنتُمۡ صَٰدِقِينَ ٢٥
Surah 45: 23-25
Maka, pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya serta Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya, dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka, siapakah yang akan memberikan kepadanya petunjuk, sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka, mengapa kamu tidak mengambil pelajaran? (23) Dan mereka berkata, ‘Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia saja, kita mati dan kita hidup, dan tidak ada yang akan membinasakan kita selain masa.’ Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga saja. (24) Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas, tidak ada bantahan mereka selain daripada mengatakan, ‘Datangkanlah nenek moyang kami jika kamu adalah orang-orang yang benar.’ (25)
Bertuhankan nafsu dirinya, memperkecilkan kepercayaan kepada Allah dan kepercayaan tentang adanya Hari Akhirat. Mendapat kuasa daripada rakyat yang diperbodohkan merupakan pendekatan yang sama telah diamalkan oleh taghut (pelampau) pada zaman purba yang diceritakan oleh al-Quran.
Musuh yang paling besar baginya ialah Islam sebagai al-din, semua anbiya’, para penganutnya dan negara yang berpegang pada petunjuk Allah yang dibawa oleh para rasul dan anbiya’ AS yang merupakan pilihan Allah. Khususnya, Nabi Muhammad SAW dan umatnya, kerana mendedahkan kesesatan dan kezalimannya yang melampau. Dianggap menjadi penghalang nafsu kezalimannya dan mendedahkan keburukan serta mengoyak topengnya yang menipu dan memperbodoh rakyat.
Para rasul dan anbiya’ ditugaskan oleh Allah untuk menyelamatkan manusia dan menghadapi golongan pelampau yang zalim.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ ۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٣٦
Surah 16: 36
Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul kepada setiap umat (untuk menyeru), ‘Sembahlah Allah (saja), dan jauhilah taghut itu (pelampau)’, maka, antara umat itu ada orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka, berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul).
Maka, wajib berlakunya pertarungan antara pihak yang benar dan adil dengan pihak pelampau yang zalim bagi menyelamatkan dunia dan penduduknya.
Firman Allah SWT:
… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١
Surah 2: 251
… Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.
Semua rasul menentang pihak berkuasa yang melampau pada zaman masing-masing, yang berwatak individu mahupun kumpulan (al-mala’).
Nabi Nuh AS menentang golongan al-mala’ (kumpulan yang melampau pada zamannya). Mereka membodohkan Nabi Nuh AS.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوۡمِهِۦٓ إِنِّي لَكُمۡ نَذِيرٞ مُّبِينٌ ٢٥ أَن لَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّا ٱللَّهَۖ إِنِّيٓ أَخَافُ عَلَيۡكُمۡ عَذَابَ يَوۡمٍ أَلِيمٖ ٢٦ فَقَالَ ٱلۡمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِن قَوۡمِهِۦ مَا نَرَىٰكَ إِلَّا بَشَرٗا مِّثۡلَنَا وَمَا نَرَىٰكَ ٱتَّبَعَكَ إِلَّا ٱلَّذِينَ هُمۡ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ ٱلرَّأۡيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلِۢ بَلۡ نَظُنُّكُمۡ كَٰذِبِينَ ٢٧
Surah 11: 25-27
Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya, (dia berkata), ‘Sesungguhnya, aku ialah pemberi peringatan yang nyata bagi kamu. (25) Agar kamu tidak menyembah selain Allah. Sesungguhnya, aku takut kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya (pada) Hari Pembalasan.’ (26) Maka, berkatalah pemimpin-pemimpin yang kafir daripada kaumnya, ‘Kami tidak melihat kamu, melainkan (sebagai) seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang-orang yang mengikuti kamu, melainkan orang-orang yang hina-dina antara kami yang mudah percaya (berfikiran singkat), dan kami tidak melihat kamu memiliki sesuatu kelebihan apa pun yang mengatasi kami, bahkan kami yakin bahawa kamu ialah orang-orang yang dusta.’ (27)
Sedangkan Nabi Ibrahim AS menghadapi Raja Namrud yang memerintah negara Babylon, seorang pemerintah yang berlagak memiliki kuasa mutlak.
Firman Allah SWT:
أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِي حَآجَّ إِبۡرَٰهِۧمَ فِي رَبِّهِۦٓ أَنۡ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ٱلۡمُلۡكَ إِذۡ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ رَبِّيَ ٱلَّذِي يُحۡيِۦ وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا۠ أُحۡيِۦ وَأُمِيتُۖ قَالَ إِبۡرَٰهِۧمُ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَأۡتِي بِٱلشَّمۡسِ مِنَ ٱلۡمَشۡرِقِ فَأۡتِ بِهَا مِنَ ٱلۡمَغۡرِبِ فَبُهِتَ ٱلَّذِي كَفَرَۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٢٥٨
Surah 2: 258
Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan, ‘Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.’ Orang itu berkata, ‘Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan (kuasa membunuh mengikut nafsu).’ Ibrahim berkata, ‘Sesungguhnya, Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah ia dari barat.’ Lalu, terdiamlah orang kafir itu. Dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Nabi Musa AS pula menghadapi Firaun yang mengaku menjadi Tuhan.
Firman Allah SWT:
وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ ٥١ أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ٥٢ فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ ٥٣ فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ ٥٤
Surah 43: 51-54
Dan Firaun menyeru kepada kaumnya (seraya) berkata, ‘Wahai kaumku, bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku, maka apakah kamu tidak melihatnya? (51) Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)? (52) Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang daripada emas atau malaikat datang bersama-sama mengiringinya?’ (53) Maka, Firaun mempengaruhi kaumnya (memperbodohkan dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka ialah kaum yang fasiq. (54)
Semua rasul dan anbiya’ dianggap musuh besar oleh para pelampau pada setiap zaman.
Segala sifat melampau tersebut terdapat pada diri Donald Trump yang bermegah dengan dirinya sebagai pendukung demokrasi paling hebat di seluruh dunia, dengan sikap paling angkuh dan kuasa kuku besinya. Kenyataannya bersamaan dengan apa yang pernah diucapkan oleh Abu Jahal pada zaman Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بَطَرٗا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ ٤٧
Surah 8: 47
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari kampungnya dengan rasa angkuh dan dengan maksud riak kepada manusia serta menghalang (orang) dari jalan Allah. Dan (ilmu) Allah meliputi apa yang mereka kerjakan.
Ayat ini menceritakan lagak Abu Jahal yang sombong tatkala ingin memerangi Rasulullah SAW yang dianggapnya sebagai sesat dan bodoh, sedangkan dia tidak menyedari bahawa dirinya sendiri yang paling zalim, bodoh dan sesat.
Puncanya, manusia digoda oleh Iblis yang merupakan makhluk perosak pertama yang kufur terhadap Allah kerana sifat takbur yang ada dalam dirinya, walaupun boleh menghadap Allah dan berdialog dengan-Nya. Walaupun bijak dan cerdik, tetapi sifat takbur tidak melayakkannya mendapat hidayah daripada Allah, lalu dengki terhadap Adam dan zuriatnya makhluk manusia pilihan Allah.
Firman Allah SWT:
قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِي مِن نَّارٖ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِينٖ ١٢ قَالَ فَٱهۡبِطۡ مِنۡهَا فَمَا يَكُونُ لَكَ أَن تَتَكَبَّرَ فِيهَا فَٱخۡرُجۡ إِنَّكَ مِنَ ٱلصَّـٰغِرِينَ ١٣ قَالَ أَنظِرۡنِيٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ ١٤ قَالَ إِنَّكَ مِنَ ٱلۡمُنظَرِينَ ١٥ قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِي لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٰطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ١٦ ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ ١٧
Surah 7: 12-17
Allah berfirman, ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) pada waktu Aku menyuruhmu?’ Menjawab Iblis, ‘Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.’ (12) Allah berfirman, ‘Turunlah kamu dari syurga itu, kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.’ (13) Iblis menjawab, ‘Berikan penangguhan kepadaku hingga waktu (hari) mereka dibangkitkan.’ (14) Allah berfirman, ‘Sesungguhnya, kamu termasuk mereka yang diberikan penangguhan.’ (15) Iblis menjawab, ‘Kerana Engkau telah menghukumku tersesat, maka demi sesungguhnya aku benar-benar akan (menghalang) mereka dari jalan Engkau yang lurus.’ (16) ‘Kemudian, aku akan mendatangi mereka dari hadapan dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). (17)
Kedengkian terhadap manusia mendedahkan sifat takbur (mengangkat diri sendiri), lalu menjadikannya bodoh kerana dikuasai nafsu kebinatangan. Seterusnya, merosakkan manusia dengan menggodanya atau memaksanya menjadi bala tentera yang melawan Allah dan juga melawan manusia adil yang mendapat hidayah Allah.
Maka, manusia yang benar-benar melaksanakan tugas ialah mereka yang bertarung dan berperang dengan makhluk perosak Iblis dan bala tenteranya yang mendapat ‘tarbiah’ Iblis.
Sifat zalim dan derhaka yang melampau ditolak oleh manusia yang masih mempunyai sifat fitrahnya, walaupun belum mendapat hidayah Allah. Islam yang berjenama al-din memenuhi ciri-ciri kejadian manusia dan peranannya, termasuk aspek politik menentang para pemimpin diktator yang berlagak laksana tuhan yang berkuasa mutlak dengan nafsu kebinatangannya.
Donald Trump menipu seluruh dunia dengan lakonannya, menjadi pendamai yang layak mendapat anugerah yang akhirnya dibatalkan. Namun, memaksa masyarakat antarabangsa dengan peperangan yang ganas supaya ia diterima. Sehinggakan, banyak dalam kalangan negara Blok Barat yang mendukung demokrasi dan hak kemanusiaan tidak menerima peperangan yang dilakukan kerana terlalu melampau.
Sejak zaman dahulu, para rasul menjadi mangsa kezaliman pelampau khususnya kaum Yahudi. Kini, mereka mengumpulkan semua kumpulan zalim menjadi penganut ajaran melampaunya dalam organisasi Zionis Antarabangsa, iaitu kumpulan pelampau Yahudi, sebagaimana yang dinyatakan oleh
firman Allah SWT:
… أَفَكُلَّمَا جَآءَكُمۡ رَسُولُۢ بِمَا لَا تَهۡوَىٰٓ أَنفُسُكُمُ ٱسۡتَكۡبَرۡتُمۡ فَفَرِيقٗا كَذَّبۡتُمۡ وَفَرِيقٗا تَقۡتُلُونَ ٨٧
Surah 2: 87
…Adakah setiap kali datang kepada kamu seorang rasul membawa sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai dengan keinginan kamu, lalu kamu menyombong (menolaknya); maka beberapa orang (antara mereka) kamu dustakan dan beberapa orang (yang lain) kamu bunuh?
Amerika Syarikat yang paling dipengaruhi oleh Zionis diheret oleh Donald Trump ke dalam perjuangan Zionis, laksana kerbau dicucuk hidungnya, boleh diheret ke mana sahaja.
Kita menyaksikan langkah puak Zionis dan Amerika Syarikat yang melampau terhadap kumpulan Islam Palestin serta melakukan pencerobohan terhadap kumpulan Islam dan Iran yang berjenama Islam, setelah dijatuhkan Shah Iran yang terkenal dengan kezalimannya, yang dipelihara dan diabdikan oleh Blok Barat.
Begitulah permusuhan melampau terhadap kumpulan berjenama Islam di seluruh dunia, apabila menzahirkan Islamnya kerana Islam dianggap musuh yang paling besar. Namun, apa yang berlaku telah menggerakkan hati manusia yang masih ada sifat fitrahnya (naluri); sama ada kalangan Islam atau bukan Islam, semuanya melahirkan bantahan dan penentangan terhadap Donald Trump dan Benjamin Netanyahu, termasuk kalangan rakyatnya sendiri. Malah, ada kalangan yang mendapat hidayah Allah berpindah menganut Islam.
Ketika negara yang dahulunya dinamakan Blok Timur, berubah kepada lebih fleksibel dalam polisinya selepas kegagalan ideologi yang diperjuangkan, serta mula bersimpati kepada Islam dan kemanusiaan. Tiba-tiba, Donald Trump mengheret Amerika Syarikat ke zaman purba yang ganas, dengan kecenderungan kepada penjajahan secara ketenteraan, politik penindasan, keruntuhan ekonomi yang membebankan rakyat dan kebebasan sosial yang meruntuhkan akhlak kemanusiaan.
Keadaan menjadi lebih ekstrem daripada zaman koboi yang menembak dengan pistol, kepada menggunakan senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang, melalui undang-undang binatang ganas di rimba yang menegakkan nafsu keganasan sehingga merendahkan martabat kemanusiaan kurniaan Allah.
Firman Allah SWT:
۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠
Surah 17: 70
Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam; Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami berikan kepada mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan bagi mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.
Ketika seluruh negara dunia berusaha ke arah perdamaian bagi membuka laluan antarabangsa, tiba-tiba Donald Trump mengisytiharkan negaranya menjadi lanun di lautan luas.
Berlagak seperti Firaun di Mesir, “Akulah Tuhan kamu yang paling tinggi dan mulia.” Hal sedemikian terjadi disebabkan Trump merasakan dirinya ialah sosok yang paling kuat di dunia. Walaupun mereka telah dikalahkan di Somalia dan Afghanistan. Kini, kalah lagi di Asia Barat.
Namun, keadaan hari ini berubah ke arah kemusnahan alam yang lebih parah, bukan sahaja manusia bahkan seluruh alam sekitar, serta menempah bencana alam yang paling dahsyat melalui ujian senjata pemusnah.
Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١
Surah 30: 41
Telah nampak berbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan-perbuatan buruk mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).
Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.
Apabila diserahkan urusan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah Kiamat (kehancuran alam).” [Hadis riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no. 59, daripada Abu Hurairah] Inilah akibat yang terpaksa diterima rakyat Amerika Syarikat yang dikatakan paling bertamadun apabila tersalah memilih presidennya, sehingga menyebabkan negara besar itu menjadi negara jakun.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Zulqa‘dah 1447 / 23 April 2026